>

Monday, June 5, 2017

Penjelasan Menteri Besar Negeri Sembilan Mengenai Pembelian Saham Proton Oleh Geely



Kerjasama Proton-Geely: Rakyat Malaysia Jangan Terlampau Emosi - MB

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan meminta rakyat Malaysia supaya tidak terlampau emosi dan bersikap sentimen dengan mengandaikan kereta nasional Proton akan mati kerana Proton Holding Bhd bukan lagi milik negara, sebaliknya milik syarikat swasta, DRB-Hicom.

Beliau mengulas demikian apabila terdapat banyak spekulasi negatif dan positif tentang tentang kerjasama kedua-dua syarikat automatif ini.

Menteri Besar yang pernah lama berkecimpung dalam dunia automatif menegaskan bahawa, kerjasama DRB-Hicom dengan syarikat permotoran China, Geely Automobile Holdings sepatutnya telah lama dilakukan.

Menurut beliau, keputusan yang dilakukan DRB-Hicom bekerjasama dengan Geely adalah satu tindakan yang tepat kerana penutupan Proton memberikan impak yang besar kepada kira-kira 60,000 pekerja industri automobil ini sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak.

“Kita jangan terlampau beremosi, taksub dan jumud sangat apabila mendengar Proton akan dijual kepada Geely. Tidak ada bezanya dahulu apabila kita buat perkongsian dengan Mitsubishi dengan Geely sekarang ini. Satu dari Jepun dan sekarang dari China.

“Adakah kerana ego kita Proton mesti kita punya? Ego dalam zaman globalisasi sudah tak ada. Dunia globalisasi kita bercantum-cantum dan janganlah kita asyik hidup dalam tempurung yang lama,” ujarnya.

Katanya Proton memerlukan rakan kongsi yang kuat dan besar untuk memastikannya terus menjadi entiti perniagaan yang mampan, malah pengeluar automatif memerlukan jumlah pengeluaran yang besar.

Sudah menjadi amalan sesuatu industri kereta jika mereka tidak boleh mengeluarkan dan menjual lebih daripada satu juta unit setahun, bermakna industri tersebut sudah tidak mampu bertahan dan bersaing dengan yang lain.

Keadaan ini telah berlaku kepada syarikat-syarikat automatif lain yang bergabung dan ada juga terpaksa menjual syarikat mereka. Misalnya, syarikat automatif daripada United Kingdom sudah tidak ada lagi kerana semuanya telah dibeli oleh syarikat daripada Eropah ataupun Amerika.

“Proton masih bertahan kerana menerima bantuan subsidi daripada kerajaan walaupun pasaran kereta nasional itu terjual tidak sampai 100,000 unit. Tapi soalnya berapa lama kerajaan perlu berbuat begitu?” Soal beliau.

Menurut Menteri Besar sesebuah syarikat perlu berdiri sendiri, tambahan pula Proton bukan lagi syarikat milik kerajaan. Lagipun, menggunakan duit kerajaan yang pastinya daripada hasil cukai rakyat bagi memastikan Proton terus beroperasi adalah satu tindakan yang kurang tepat.

Jelasnya lagi, Geely dan Peugeot telah membuat bidaan untuk bekerjasama dengan Proton tetapi Peugeot mahukan pegangan saham yang lebih tinggi bagi mengawal majoriti 51 peratus, namun Geely telah bersetuju memegang pemilikan saham sebanyak 49 peratus.

“Proton beruntung kerana ada rakan kongsi yang mahu mengambil ekuti tidak sampai 50 peratus. Mana ada orang hendak beli sesuatu yang dia tak boleh kawal? Sebab itulah, jangan mempunyai pemikiran yang terlalu taksub dan jumud,” katanya lagi.

Menurut Menteri Besar lagi, bekerjasama dengan Geely adalah sesuatu yang baik kerana ia sebuah syarikat besar yang telah menguasai 100 peratus saham syarikat Volvo, malah telah mengeluarkan berjuta unit kereta di Negara China dan mempunyai banyak model.

Keadaan ini adalah satu peluang kepada Proton untuk mempunyai lebih banyak model yang boleh membantu kepada sokongan runcit.

Antara lain, kerjasama strategik dengan Geely juga merupakan peluang besar bagi Proton memasarkan produk walaupun bukan dalam bentuk model Proton ke Negara China dan negara-negara lain.

“Proton perlukan rakan kongsi yang ‘sihat’, mempunyai pasaran yang besar dan tersedia 1.6 bilion penduduk di negaranya dengan kedudukan kewangannya kukuh,” katanya mengakhiri.

No comments: