Wednesday, May 31, 2017

Tuesday, May 30, 2017

Ucapan Penuh Perdana Menteri Dato Seri @NajibRazak Laporan Transformasi Nasional 2016






Bismillahir Rahmannir Rahim
Alhamdullillahi Rabbil A'lamin wabihi Nasta'in Allahumma
Solli A'la Saidina Muhammad Wa A'la A-li Saidina Muhammad

Saudara dan saudari rakyat Malaysia dikasihi sekalian

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia

1.Alhamdulillah, didahulukan semuanya dengan mengangkat setinggi-tinggi pujian dan rasa kesyukuran ke-hadrat Allah SWT kerana atas izin dan limpah perkenan-Nya jua, sekali lagi Laporan Program Transformasi Negara, atau NTP dapat diadakan.

2.Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, sebanyak lima pembentangan laporan ini telah diadakan bertempat di Auditorium Angkasapuri.

3.Akan tetapi, malam ini, saya memilih untuk membentangkannya di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, kepada kelompok yang lebih menyeluruh yang bukan sahaja terdiri daripada jemaah menteri, anggota pentadbiran serta pegawai tinggi kerajaan, sebaliknya, saya telah mengarahkan dan mahukan agar dijemput bersama-sama ke majlis ini untuk turut serta, adalah pimpinan dan ahli daripada semua parti komponen Barisan Nasional, ahli korporat, GLC dan swasta serta pelbagai lapisan rakyat.

4.Sesungguhnya pun, apa yang akan saya sampai dan utarakan malam ini, adalah hal-ehwal yang berkait langsung dengan kepentingan semua pihak sebagai stakeholders of the nation.

5.Dari itu, sebelum saya mulakan ucapan ini untuk membangkitkan sedikit semangat bak lirik lagu yang telah dinyanyikan tadi, Selamatlah Malaysia Jaya, Negaraku yang Kucintai, Seumurnya Maha Perkasa, Kedaulatan Ibu Pertiwi.

6.Lantaran itu, bolehkah kita mendengar sorakan suara dan tepukan daripada wakil NGO, pimpinan sukarelawan, pelbagai lapisan masyarakat, serta sekali lagi suara dan sorakan semangat daripada para mahasiswa dan mahasiswi, yang turut hadir kerana saudara-saudarilah, anak-anak Malaysia dan pewaris masa depan Malaysia generasi TN50.

7.Sesungguhnya, saudara dan saudari, apa yang saya dan pihak Kerajaan buat, adalah untuk kepentingan seluruh rakyat, tidak kira kaum, keturunan ataupun bangsa.

8.Jadi kita tidak mahu gaduh-gaduh, kita nak semua berbaik-baik, tolong-menolong antara satu sama lain, agar negara kita aman dan makmur.

9.Ni, depan saya ni, nampaknya Saudara Mat Over pun hadir dan Mejar David Teoh pun ada, duduk sama-sama lagi, macam ni la bagus, ini yang saya mahu sebagai PM dan Kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu-padu, barulah Malaysia akan berjaya. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

10.Sesungguhnya, ketika mana saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2009, barangkali semua masih ingat bahawa dunia pada tempoh itu sedang melalui detik-detik kemuncak krisis ekonomi dan kewangan global atau Global Economic and Financial Crisis, yang secara langsung telah memberi kesan kepada ekonomi kita.

11.Sehinggakan, Malaysia tidak ketinggalan antara negara diancam terjerumus dalam kancah kegawatan berlarutan, eksport yang rendah, pekerja hilang punca pendapatan dan kemerosotan permintaan domestik. Hatta, keyakinan pelabur menjunam dan hampir hilang.

12.Malah, kesuraman iklim ekonomi pada waktu tersebut, menjadi bahan dan peluru kepada pelbagai pihak dalam menghentam dan menghasut rakyat tentang kemampuan, keupayaan, mahupun kewibawaan Kerajaan Barisan Nasional, untuk berdepan dengan cabaran yang amat getir itu.

13.Alhamdulillah, berkat usaha gigih yang terancang, kecekalan pentadbiran Kerajaan yang cekap, sistematik, pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan efisien terhadap dasar-dasar fiskal serta monetari yang relevan lagi jitu, tahun demi tahun, kita telah mampu menongkah segala rintangan tersebut.

14.Makanya, kalau selama ini, ada orang sangsi akan kemampuan Kerajaan Barisan Nasional, untuk menangani pelbagai kemelut yang melanda, bahkan tidak henti-henti menuduh negara ini sebagai a failed state atau sebuah negara gagal; waima sampai ke tahap menyebarkan ramalan palsu kepada rakyat, kononnya Malaysia akan tersungkur muflis dan bankrap.

15.Akan tetapi, saudara dan saudari sekalian, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, dengan kehendak Tuhan Yang Maha Berkuasa, terbukti, terbukti, langkah-langkah berani yang telah diambil sejak lebih lapan tahun kebelakangan ini, berjaya mencetus momentum demi momentum, yang meletakkan kita terus teguh berada pada landasan ekonomi yang sihat dan betul.

16.Kerana itulah, walau mana-mana pihak berkata begitu atau berkata begini, saya selaku Perdana Menteri, mewakili pihak Kerajaan Barisan Nasional mengambil sikap 'gentleman' dan 'anak jantan', telah berani membentangkan laporan prestasi transformasi negara, semenjak tahun 2010 lagi.

17.Malah, sebetulnya pun, jika ditinjau, mana ada Kerajaan lain di dunia ini, yang sebegini telus dan mempunyai discipline of action demi melaksanakan janji-janji, mendahulukan kepentingan rakyat dan bukanlah sekadar omong-omongan kosong semata-mata.

18.Ini ternyata, melalui laporan-laporan yang telah saya sampaikan selama lima tahun berturut-turut sebelum ini, sebagaimana yang telah diseliakan, dirumuskan dan dilaporkan secara jelas oleh pihak PEMANDU, selaku sekretariat kepada Program Transformasi Negara.

19.Apa yang paling mustahak, seperti saban kali saya ulang, segala fakta, angka mahupun peratusan kejayaan yang dilaporkan, bukannya rhetoric, rekaan atau pun bak kata orang, Kerajaan hanya 'syok sendiri', namun, dengan tegas ingin saya nyatakan bahawa, kesemua fakta dan maklumat ini, telah diaudit dan diabsah oleh pihak antarabangsa yang berkecuali, bertauliah lagi berwibawa.

20.Berhubung ini, jika kita lihat di paparan skrin, pencapaian dalam pertumbuhan ekonomi diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, sejak tahun 2010, menunjukkan puratanya adalah pada, 5.1 peratus. Bahkan, angka ini, untuk makluman semua, adalah dua kali ganda daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia.

21.Berkait ini juga, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, tahun 2016, sekalipun sebagai tahun yang amat mencabar, komitmen Kerajaan terhadap Program Transformasi Negara telah memungkinkan asas atau fundamental ekonomi negara terus berdiri teguh.

22.Buktinya, Malaysia menjadi antara negara terawal yang menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi dunia.

23.Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari sekalian, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, this government, Barisan Nasional, has taken many bold actions, and many tough decisions, to achieve Malaysia's goal of becoming a High Income Advanced Economy.

24.The measures taken include removal of fuel subsidies, reducing dependence on oil revenue, rationalising subsidies, and the introduction of GST - are now, delivering huge dividends to the people and the country.

25.Oleh itu, saudara dan saudari, walau apa pun, yang hendak diperkata dan ditohmah, biar apa pun yang difitnah oleh segelintir pihak tertentu,

26.Alhamdulillah, Alhamdulillah, mutakhir, hasilnya, ekonomi kita telah berkembang pada kadar yang di luar jangka Kerajaan mahupun Bank Dunia, iaitu pada, 5.6 peratus untuk suku pertama tahun 2017. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

27.Kerana itulah, saya, bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional dengan rasa berbesar hati, mengajak kita semua, melahirkan rasa syukur bahawa Malaysia terus dilimpah-limpah rahmat kestabilan dan trajektori pertumbuhan ekonomi yang kekal positif.

28.Justeru, pada malam ini, kita akan dapat lihat dengan jelas bagaimana usaha-usaha Kerajaan telah meletakkan fundamental ekonomi negara di atas landasan yang utuh dan mampan dan hasil mahsulnya telah secara langsung membawa manfaat besar seperti yang dikecapi oleh negara dan rakyat teramai pada hari ini. Antaranya:

29.Pertama: Usaha Kerajaan yang konsisten dalam membela rakyat, telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 3.8 peratus pada tahun 2009 kepada 0.6 peratus pada tahun 2014 dan statistik terkini akan dikeluarkan pada September ini, di mana kadar kemiskinan dijangka akan mengecil lagi. Sementara, kemiskinan tegar sebenarnya telah hampir disifarkan kesemuanya.

30.Kedua: Kerajaan ini juga telah berupaya mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak daripada 41 peratus pada 2009, kepada 14.7 peratus pada 2016, dengan mempelbagaikan sektor ekonomi sebagai sumber pendapatan negara. Saudara dan saudari,

31.Ketiga: Kita berasa amat bersyukur kerana sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2020 setakat ini, telahpun mencapai angka 69 peratus, di mana sebanyak 2.26 juta pekerjaan baharu telah diwujudkan. Ini satu lagi bukti usaha kita membuahkan hasil dan berada di landasan yang tepat.

32.Keempat: Menurut Bank Dunia yang mengguna pakai kaedah Atlas, mendefinisikan Pendapatan Negara Kasar per Kapita atau PNK per Kapita bagi negara maju pada tahun 2010, adalah pada nilai 12,275 dolar Amerika. Sedangkan berbanding pada masa itu, Malaysia hanyalah berada pada tahap 8,230 dolar Amerika, yakni jurangnya pada tahap 33 peratus. Dalam kata mudah, waktu itu, negara kita masih bergelut dalam status negara middle income trap. Lantas, ingin dilaporkan, terkini, dalam tempoh enam tahun, anggaran sasaran bagi PNK per Kapita 2016 untuk negara maju, adalah pada nilai 12,272 dolar Amerika.

Maksudnya, pelaksanaan NTP oleh Kerajaan sebenarnya adalah satu usaha penting untuk membantu meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat Malaysia yang sewajarnya. Setakat ini, fakta menunjukkan kita telah mencapai 10,010 dolar Amerika, yakni jurang telah berjaya dirapatkan daripada 33 peratus pada tahun 2010 kepada kini hanya 18 peratus.

33.Selanjutnya, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, kita bersyukur, kerana Malaysia telah diiktiraf oleh firma antarabangsa iaitu, BAV Consulting & Wharton School dari Amerika Syarikat bahawa kita adalah negara yang terbaik untuk pelabur bagi tahun 2017. Bahkan, baru sahaja minggu lepas, majalah Forbes meletakkan Malaysia kedudukan paling atas dalam kalangan semua negara Asia untuk pelaburan asing.

34.Seterusnya lagi, dari sudut fiskal negara, Kerajaan telah berjaya mengurangkan lebih separuh defisit fiskal, daripada 6.7 peratus pada tahun 2009, kepada 3.1 peratus pada tahun 2016. Saudara dan saudari,

35.Bercakap tentang aspek GST pula, hakikatnya jika sebelum tahun 2015, 41 peratus daripada pendapatan negara datangnya daripada hasil minyak.

36.Namun, akibat daripada kesuraman ekonomi global dan penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang begitu ketara menyebabkan hasil Kerajaan telah berkurangan.

37.Syukur kepada Allah SWT, seperti yang saya sebutkan tadi, dengan iltizam yang tidak kunjung jemu, atau strong and unwavering political will, demi kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara dan rakyat, Kerajaan kekal dengan pendirian melaksanakan GST.

38.Dengan sebab keputusan itulah, Kerajaan telah berupaya menampung kekurangan daripada hasil minyak melalui perolehan hasil kutipan GST sebanyak 42 bilion ringgit pada tahun 2016.

39.Merujuk perkara ini, bagaimanakah mungkin ada pihak di luar sana, yang bercakap merepek dan mengarut, dengan 'menipu rakyat' kononnya kalau mereka menjadi Kerajaan, GST hendak di-zero-rated atau dihapuskan.

40.Lalu saya nak bertanya, kalau begitulah sifir pembangkang, daripada hasil sumber manakah yang mereka hendak dapatkan 42 bilion ringgit itu?

41.Kata orang talk is cheap. Semua orang boleh berkata apa sahaja, menjanjikan itu dan ini. Ertinya, seandai Kerajaan ini tidak cekal dan tabah, mana mungkin kita mampu menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan negara.

42. Malah, macam mana tujuh juta rakyat nak menerima bantuan BR1M, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia terpaksa kita hapuskan, peruntukan untuk 35 kampus UiTM di seluruh Malaysia kena kita potong bajetnya barangkali subsidi dan bantuan perubatan untuk rakyat terpaksa ditarik, ramai orang juga akan hilang pekerjaan.

43.Begitulah pula kos pendidikan anak-anak kita di sekolah dan universiti akan turut meningkat dan harus ditampung secara langsung oleh ibu bapa.

44.Itulah yang akan terjadi, sekiranya Kerajaan tidak mengambil langkah dan keputusan fiskal yang tepat lagi bertanggungjawab.

45.Oleh itu, ternyata perancangan pembangkang tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata, lagi memesongkan rakyat.

46.Sedangkan, negara India sebagai antara kuasa ekonomi terbesar dunia pun, dengan pertumbuhan purata ekonomi sekitar tujuh peratus, memutuskan untuk melaksanakan empat peringkat kadar GST, di mana kadar tertingginya adalah 28 peratus.

47.Malah, negara-negara Teluk pun (GCC) akan turut mengikut jejak bagi melaksanakan sistem cukai GST. Kesimpulannya, langkah pragmatik Kerajaan Barisan Nasional dalam melaksanakan GST adalah tepat pada masa, wajar dan telah terserlah buktinya. Saudara dan saudari,

48.Sekali lagi pada malam ini, saya dengan sukacitanya ingin melaporkan dari segi pencapaian keseluruhan, tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA telah merekodkan pencapaian purata KPI sebanyak 101 peratus.

49.Bagi Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA pula, kita telah berjaya mencatatkan pencapaian purata KPI sebanyak 110 peratus.

50.Semestinya lagi, NKRA dan NKEA ini tidak akan tercapai tanpa Inisiatif Pembaharuan Strategik atau SRI sebagai pemangkin, yang mampu mencatat purata KPI sebanyak 100 peratus. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

51.Pada sisi yang lain, Malaysia yang kita cintai ini telah 60 tahun merdeka. Diam tak diam, kita telah dari mulanya bertatih, kini sedang berjalan jauh sehingga sampai ke tahap ini.

52.Kita akan terus berjalan, mengorak langkah, setapak demi setapak, merancang strategi tersusun, untuk bergerak menuju visi 30 tahun berikutnya.

53.Lantas pada malam ini, saya ingin memulakan laporan pencapaian NTP, dengan berfokus kepada ehwal yang menjadi bualan dan dekat di hati saya, pihak Kerajaan yang dekat di hati rakyat, yakni projek-projek infrastruktur yang sedang giat dilaksanakan.

54.Apa yang penting, pada hemah saya, semua projek ini menyentuh dan sampai kepada semua golongan rakyat, tidak kira di bandar, di ceruk kampung, kawasan pedalaman, hatta di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang dan Lachau, Sarawak pun jalannya kita bina.

55.Sudah terang lagi bersuluh, bagi penduduk bandar khususnya di Lembah Klang, pelaksanaan projek LRT Extention telah pun kita laksanakan.

56.Manakala yang ditunggu-tunggu pula, yakni projek High Speed Rail, yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam hanya tempoh 90 minit, bakal menjadi kenyataan.

57.Pada sudut lain, saudara dan saudari sekalian, Kerajaan sentiasa menekankan aspek kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat. Contohnya, menerusi inisiatif River of Life dan Projek Taman Tugu.

58.Kedua-dua inisiatif ini akan menyaksikan Kuala Lumpur bertukar wajah menjadi sebuah bandar yang vibrant dan liveable.

59.Malah, kita akan melihat lebih banyak aktiviti riadah, menerusi ruang awam seperti kegiatan sukan, kebudayaan, kesenian dan kemasyarakatan, kelak menjadi realiti.

60.Menjengah ke pesisir pantai timur pula, rakyat akan menikmati connectivity terbaharu seperti pembinaan East Coast Rail Link atau ECRL, menghubungkan Pengkalan Kubor, Kelantan ke Pelabuhan Klang, yang akan memberi limpahan ekonomi di sepanjang laluannya. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

61.Kepada orang Sabah dan Sarawak pula, apatah lagi selepas diberi mandat kemenangan besar dalam Pilihanraya Negeri Sarawak pada tahun lalu, Kerajaan tatap mengotakan janji melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, dari Teluk Melano ke Lawas di Sarawak, membawa ke Sabah dari Sindumin ke Tawau, yang keseluruhannya sepanjang 2,325 kilometer, dengan kos hampir 30 bilion ringgit.

62.Keseluruhannya, 11 pakej kerja di Sarawak telah dilancarkan dan lima daripada 35 pakej kerja di Sabah pula telah mula dijalankan.

63.Merujuk kepada MRT Fasa 1, yang telah mula beroperasi pada 16 Disember 2016 lalu, uniknya projek ini kerana ia berjaya disiapkan lebih awal dari jadual yang ditetapkan, dengan pelaksanaan below what was budgeted, namun yang mustahak, ia tidak menjejaskan kualiti.

64.Pada hemah saya lagi, kejayaan ini sungguh menakjubkan, sebab ianya telah menghasilkan satu 'Big, Fast Result', dengan memberi impak positif kepada kehidupan seharian penduduk, khususnya di Lembah Klang.

65.Insya-Allah, Fasa 2 MRT yang seterusnya ini, akan memulakan operasi pada Julai 2017, akan melengkapkan jajaran Sungai Buloh - Kajang sepanjang 51 kilometer. Saudara-saudari sekalian,

66.Sememangnya, pembangunan luar bandar menjadi keutamaan selama ini kepada Kerajaan Barisan Nasional.

67.Melalui NKRA Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar, dari tahun 2010 sehingga 2016, kita telah membina dan menaik taraf 6,042 kilometer jalan raya luar bandar. Jika kita ingin bayangkan, jauhnya jarak jalan raya ini, adalah hampir bersamaan jaraknya dari Kuala Lumpur ke Riyadh, Arab Saudi, yakni 6,347 kilometer.

68.Selain daripada jalan raya, di bawah NKRA ini juga, Kerajaan telah menyediakan akses bekalan air bersih kepada lebih 350 ribu buah rumah.

69.Bukan setakat itu sahaja, dalam masa yang sama, lebih 153 ribu buah rumah di kawasan luar bandar telah disambungkan dengan khidmat bekalan elektrik.

70.Seterusnya, Kerajaan turut membina dan membaik pulih hampir 100 ribu buah rumah untuk golongan miskin luar bandar, dari tahun 2010 hingga 2016.

71.Jelas sekali, saudara dan saudari, apa yang ingin saya nyatakan di sini, secara keseluruhannya setakat 2016 sahaja, semua inisiatif ini, telah membantu meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup 6.2 juta rakyat Malaysia di luar bandar, sekali gus membolehkan mereka untuk turut serta dalam arus perdana pembangunan negara. Rakyat Malaysia sekalian,

72.Bercakap dari soal kemanusiaan dan Kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat, ada satu cerita benar yang menyentuh hati saya dan ramai kerana ia telah menjadi viral walaupun kisah itu berlaku pada tahun 2013.

73.Kisah ini berkaitan kisah Encik Razali Tompang dan bapanya dari Melaka.

74.Kisah ini amat menyentuh hati saya secara peribadi kerana Encik Razali Tompang melalui ceritanya di media sosial, melahirkan syukur dan terharu sebab terkejut apabila bil perubatan rawatan kanser bapanya, yang tercatat berjumlah 11 ribu ringgit di Hospital Kuala Lumpur.

75.Namun, beliau amat susah hati ketika itu kerana , yang ada dalam poket beliau masa itu, hanya 100 ringgit, yang cukup-cukup bagi belanja makan, duit minyak dan tol untuk mereka pulang ke Melaka, macam mana nak bayar bil 11 ribu ringgit itu?

76.Kemudian, beliau berasa amat terkejut apabila diberitahu oleh pihak Hospital Kuala Lumpur milik Kerajaan di kaunter pembayaran bahawa beliau hanya perlu membayar 31.80 ringgit sahaja kerana jumlah lain atas bil itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan!

77.Apa yang menarik untuk semua orang tahu tentang kisah ini adalah di Malaysia semua warganegara layak untuk menerima bantuan khidmat kesihatan, yang tidak mungkin seumpamanya di mana-mana negara dalam dunia ini.

78.Walau apapun, saya ucapkan takziah kepada Encik Razali sekeluarga, kerana saya difahamkan, bapanya yang sakit itu, telah pun kembali ke Rahmatullah, tujuh bulan selepas peristiwa tersebut.

79.Encik Razali Tompang juga sudi hadir untuk bersama kita pada malam ini, sebagai saksi kepada Program Transformasi Negara yang kita lakukan ini adalah demi rakyat, untuk rakyat, untuk negara tercinta.

80.Merujuk kepada pembangunan golongan B40 pula, tahap purata pendapatan bulanan telah meningkat, daripada 1,847 ringgit kepada 2,537 ringgit, yakni peningkatan sebanyak 17 peratus.

81.Pencapaian ini, merupakan salah satu daripada hasil NKRA bagi Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, antaranya melalui program 1AZAM.

82.Buktinya, sejak tahun 2010 sehingga 2016, daripada lebih 300 ribu peserta program 1AZAM, syukur kepada Allah SWT, saya berasa gembira untuk melaporkan setakat ini sahaja, seramai hampir 100 ribu peserta telah berjaya Kerajaan keluarkan daripada kepompong kemiskinan. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

83.Dari itu, seperti mana lazimnya setiap kali laporan dibentangkan, saya akan berkongsi kisah-kisah kejayaan rakyat, hasil pelaksanaan Program Transformasi Negara.

84.Kisah pertama marilah sama-sama kita saksikan video di skrin.

85.Saudara dan saudari, saya difahamkan. Encik Mohd Jaafar, ada bersama kita pada malam ini. Dijemput berdiri, dan marilah kita berikan tepukan tahniah kepada beliau!

86.Seterusnya, saudara dan saudari, cerita kejayaan yang kedua, tentang Encik Paddy Anak Sidung, dari Kampung Patung, Tebedu, Sarawak. Beliau juga adalah pekebun yang turut menyertai program AZAM Tani sejak tahun 2011.

87.Melalui program ini, Encik Paddy Anak Sidung menjalankan projek tanaman jagung manis yang membolehkan beliau meningkatkan pendapatan bulanan sebanyak dua kali ganda.

88.Dikhabarkan, atas sebab-sebab tertentu Encik Paddy Anak Sidung tidak dapat hadir pada malam ini, walaupun begitu marilah kita ucapkan tahniah kepada anak Sarawak ini, berilah tepukan agar beliau terus bersemangat dan maju jaya! Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

89.Menyonsong jendela yang lain, kita sewajarnya bersyukur, kerana rakyat di negara ini menikmati kehidupan yang aman dan sentosa serta selamat secara umumnya dari unsur-unsur jenayah.

90.Malah, saya berasa gembira apabila laporan Global Peace Index 2016 oleh Institute for Economics and Peace, menyebut bahawa, Malaysia merupakan salah sebuah daripada 30 negara paling aman di dunia.

91.Sebetulnya pun, kalau diimbau pada peringkat awal pelaksanaan NTP, keseluruhan jenayah indeks meningkat pada kadar hampir tiga peratus setiap tahun.

92.Namun, melalui langkah-langkah seperti meningkatkan keselamatan sempadan menerusi penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan pada April 2016 dan Inisiatif Kepolisan Moden, yang berorientasikan transformasi perkhidmatan polis menerusi penggunaan teknologi, maka dengan sukacitanya, bagi laporan malam ini, saya bentangkan bahawa hasil daripada NKRA Jenayah, Indeks Jenayah telah berjaya pihak Kerajaan kurangkan sebanyak 47 peratus.

93.Tahniah kita ucapkan kepada YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri dan tentunya khususnya kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia dan anggota keselamatan di seluruh Malaysia, yang telah berkorban siang dan malam demi tanah air tercinta. Saudara dan saudari sekalian,

94.Sememangnya lagi, sejak kita meraih kemerdekaan, pembikinan dan pembangunan negara turut sama dinadikan dan dimainkan peranan penting oleh kaum wanita.

95.Apa yang mustahak, usaha untuk memperkasakan martabat kaum wanita, terus menjadi komitmen Kerajaan Barisan Nasional.

96.Misalannya, sebelum perlaksanaan NTP, golongan wanita hanya memegang 7.6 peratus keahlian di peringkat Lembaga Pengarah bagi syarikat awam tersenarai.

97.Oleh yang demikian, Kerajaan pada 2011 telah menyasarkan 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan.

98.Maka itu, program NTP ini turut merangkumi pelbagai lapisan, termasuklah golongan korporat.

99.Setakat 2016, bagi sektor awam, saya berasa gembira melaporkan usaha ini telah melebihi sasaran dan mencapai tahap 35.8 peratus.

100.Manakala, di sektor swasta pula, bagi 100 syarikat awam dalam senarai teratas, penglibatan wanita di peringkat Lembaga Pengarah mencapai 16.8 peratus dan di peringkat pembuat keputusan pula adalah pada 26.7 peratus.

101.Sebagai contoh, saya ingin kongsikan bersama khabar yang gembira untuk wanita, bahawa baru-baru ini, kita menyambut baik perlantikan beberapa wanita yang kental lagi berhati waja dalam dunia korporat; iaitu pertamanya, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

102.Yang Berbahagia Datuk Mohaiyani, merupakan wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan bank terbesar di Malaysia iaitu Maybank.

103.Lantaran, silalah sama-sama kita beri tepukan tahniah kepada Datuk Mohaiyani Shamsudin, yang turut hadir bersama kita pada malam ini.

104.Keduanya, saudara dan saudari, adalah Yang Berbahagia Datuk Dr Nirmala Menon, seorang tokoh korporat wanita yang berpengalaman dalam sektor Insurans dan Kesihatan, seperti yang wajahnya dipaparkan di skrin. Kini, Kerajaan telah melantik beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

105.Sekalipun Yang Berbahagia Datuk Dr Nirmala Menon berada di luar negara, dan tidak dapat bersama kita pada malam ini, marilah kita tetap ucapkan syabas dan tepukan tahniah kepada beliau .

106.Dan ketiganya, suka saya memperkenalkan Puan Nor Fadhilah Mohd Ali, yang telah dilantik ke jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Telekom Malaysia.

107.Untuk pengetahuan hadirin, Puan Nor Fadhilah Mohd Ali, yang turut hadir bersama kita pada malam ini, merupakan wanita pertama sebagai Group Chief Financial Officer Telekom Malaysia.

108.Sememangnya pun, seperti yang sering saya nyatakan bahawa wanita sentiasa dianggap oleh Kerajaan sebagai rakan kongsi kepada pembangunan dan kemajuan negara.

109.Jadinya, demi mengangkat semangat dan memperkasa wanita Malaysia, marilah kita beri tepukan yang gemuruh kepada kaum wanita di seluruh Malaysia!!! Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

110.Sebetulnya, pendidikan merupakan satu bidang penting modal insan untuk menjamin kecerahan masa depan rakyat dan negara.

111.Makanya, melalui hasil usaha yang digembleng oleh NKRA Pendidikan, enrolmen prasekolah kebangsaan telah meningkat daripada 67 peratus pada tahun 2009 kepada 85.6 peratus pada tahun 2016.

112.Insya-Allah, saya bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional, yakin dan percaya jika inisiatif murni di bidang pendidikan ini dilakukan secara istiqamah, hari demi hari, kita akan menghampiri tahap 100 peratus enrolmen prasekolah kebangsaan menjelang tahun 2020.

113.Bahkan, menurut laporan Climbing the Ladder: Socio-Economic Mobility in Malaysia oleh Khazanah Research Institute pada Oktober 2016, menunjukkan bahawa faktor mobiliti sosial paling berkesan adalah melalui akses kepada pendidikan dan kemahiran.

114.Selanjutnya pula, dalam memartabatkan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa bertahap global, sebagai contoh EduCity@Iskandar di Johor, telah menempatkan institusi pendidikan terkemuka, antaranya University of Reading, Marlborough College Malaysia, Newcastle University of Medicine Malaysia dan University of Southampton.

115.Malah, setakat 2016 sahaja, kita telah merekodkan enrolmen melebihi 170 ribu pelajar antarabangsa.

116.Insya-Allah, menjelang tahun 2020 nanti, kita menjangkakan, enrolmen pelajar antarabangsa akan mencecah jumlah lebih 200 ribu pelajar. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

117.Kisah kejayaan seterusnya yang ingin saya kongsikan adalah tentang Bidang Ekonomi Utama Negara di sektor kelapa sawit.

118.Baru minggu lepas, kita dan saya telah merasmi dan meraikan ulang tahun ke-100 kejayaan industri sawit negara.

119.Berhubung laporan malam ini, mari sama-sama kita saksikan cerita kejayaan yang seterusnya.

120.Saudara dan saudari, saya difahamkan Encik Cheng Yin Teong, turut hadir bersama kita pada malam ini. Sekali lagi, berikan tepukan tahniah kepada beliau dan Kerajaan mengucapkan selamat maju jaya! Saudara dan saudari,

121.Sesungguhnya lagi, Malaysia ini negara yang kaya dengan khazanah alam, kepelbagaian budaya dan warisan, kemajmukan masyarakat dan bangsa menjadi tarikan orang luar untuk datang melancong.

122.Pada tahun 2016, industri pelancongan mencatatkan kehadiran 26.7 juta pelancong berbanding 25.7 juta pelancong pada tahun 2015, dengan perolehan pelancongan meningkat daripada 69 bilion ringgit pada 2015 kepada 82 bilion ringgit pada 2016.

123.Sebagai contoh, melalui pengenalan kemasukan tanpa visa dan eVisa, telah berjaya memacu peningkatan ketibaan pelancong dari negara China, daripada 1.1 juta pada tahun 2010 kepada 2.1 juta pada 2016.

124.Insya-Allah, dengan hubungan akrab antara Malaysia dan negara China, kita telah menyasarkan tiga juta pelancong dari negara Tembok Besar ini pada tahun 2017.

125.Bahkan, apa yang lebih membanggakan kita lagi apabila Malaysia telah diiktiraf sebagai Asia's Leading Destination, selama dua tahun berturut-turut di World Travel Award 2015 dan 2016. Rakyat Malaysia yang dikasihi,

126.Berkaitan NKEA Kesihatan pula, satu lagi cerita kejayaan yang ingin kita papar dan kongsikan pada malam pembentangan Laporan Transformasi Negara 2016 ini adalah kisah Encik Saravanan Govindasamy.

127.Encik Saravanan ada bersama kita pada malam ini dan marilah kita beri tepukan syabas dan Kerajaan mengucapkan selamat maju jaya kepada usaha perniagaan beliau! Rakyat Malaysia yang dikasihi,

128.Seterusnya lagi, demi mempastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang makmur lagi berjaya, kita perlu menggiatkan usaha dalam merancakkan aktiviti ekonomi kita, antaranya untuk memacu lebih banyak penyertaan swasta dalam ekonomi negara melalui NTP.

129.Sukacita saya melaporkan, aktiviti pelaburan sektor swasta telah meningkat daripada 55 peratus pada tahun 2010 kepada 67 peratus pada 2016.

130.Ini membuktikan, keyakinan pelabur semakin kukuh terhadap iklim ekonomi Malaysia yang kondusif dan dasar Kerajaan Barisan Nasional yang properniagaan.

131.NTP juga saudara dan saudari, turut menyumbang kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing. Buktinya, jumlah pelaburan langsung asing telah meningkat daripada hanya 5.1 bilion ringgit pada 2009 dan kini melonjak kepada 41 bilion ringgit pada tahun 2016.

132.Jumlah ini, tidak termasuk potensi pelaburan baharu yang bakal kita terima menerusi 14 MoU perniagaan bersama negara China, yang bernilai 144 bilion ringgit.

133.Ini semua adalah hasil daripada persahabatan akrab kita dengan China yang mendatangkan untung kepada kedua-dua buah negara. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

134.Selanjutnya, usaha gigih dan kerja keras Kerajaan tidak terhenti di situ sahaja.

135.Pembukaan tirai tahun 2017 telah diserikan lagi dengan pelaburan oleh Saudi Aramco, yang bernilai 31 bilion ringgit dalam Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor. 136.Sesungguhnya, ini merupakan pelaburan asing tunggal terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia setakat hari ini.

137.Seiring dengan itu, selain Malaysia dijadikan role model dalam kalangan negara Islam, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, turut memuji negara ini yang mengamalkan wasatiyah atau kesederhanaan dengan begitu berjaya sekali.

138.Terkini pula, baru pagi tadi, saya pulang dari menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat.

139.Pada sidang tersebut, kita berbesar hati apabila Malaysia telah mendapat kepercayaan Arab Saudi dalam usaha antarabangsa memerangi keganasan, apabila diminta memainkan peranan penting dalam kerjasama membabitkan negara Islam dan Amerika Syarikat.

140.Ini merupakan satu pengiktirafan, bukan sahaja dari Arab Saudi, tetapi juga dari negara serata dunia, terhadap peranan aktif Malaysia menangani keganasan pada peringkat global.

141.Tidak terhenti di situ, hasil kunjungan rasmi saya dan rombongan Kerajaan ke India, baru-baru ini, kita telah berjaya membawa pulang potensi nilai pelaburan sebanyak 158.4 bilion ringgit, menerusi 31 MoU perniagaan. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

142.NTP juga turut menetapkan sasaran 100 Multi-National Corporation atau MNC baharu untuk beroperasi di Kuala Lumpur sebagai pusat operasi serantau mereka, menjelang tahun 2020.

143.Sehingga tahun 2016, InvestKL telah berjaya membawa masuk sejumlah 64 MNC ke tanah air kita.

144.Menerusi inisiatif ini, anak watan kita turut dapat menimba pengalaman berharga. Antaranya ialah saudari Anniza Soh dari Tawau, Sabah, yang bekerja dengan Schlumberger, iaitu sebuah syarikat perkhidmatan medan minyak yang terbesar di dunia.

145.Untuk menyelami kisah dan pengalaman menarik saudari Anniza, marilah kita sama-sama saksikan cerita beliau.

146.Nampaknya, saudara dan saudari, sungguh penuh berinspirasi kisah Saudari Anniza tadi.

147.Seperti yang kita dengar tadi, apa yang menyentuh hati kita semua adalah tekad beliau untuk terus memberikan sumbangan kepada tanah air Malaysia, yang telah memberi beliau peluang kerjaya yang amat bernilai.

148.Semangat patriotik gadis dari Tawau, Sabah ini, perlulah dicontohi dan ayuhlah kita beri tepukan yang gemuruh kepada Saudari Anniza Soh. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

149.Menjengah masa depan negara, kini, seluruh dunia berada di ambang Fourth Industrial Revolution, yang datang dalam kombinasi pelbagai bentuk agen perubahan seperti teknologi maklumat dan Internet, robotik, teknologi nano, task automation serta percetakan 3D.

150.Laporan oleh World Economic Forum menjangkakan revolusi ini akan memberi kesan yang sangat signifikan kepada pasaran buruh dan pekerjaan.
151.Antaranya, peluang pekerjaan baharu menerusi Digital Economy, yang dianggap sebagai industry of the future.

152.Melalui pelancaran DFTZ pada 23 Mac lalu, yang menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital pertama di dunia, di luar negara China.

153.Insya-Allah, melalui inisiatif seperti ini, Kerajaan menjangkakan, Ekonomi Digital mampu mewujudkan 60 ribu peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu, sekali gus berupaya menyumbang lebih 20 peratus penghasilan kepada KDNK negara.

154.Tambahan lagi, bermula 1 Oktober tahun ini, sebanyak 1,500 PKS Malaysia yang layak, akan disenaraikan di platform e-dagang, Alibaba.com.

155.InsyaAllah, DFTZ ini menerusi inisiatif Kuala Lumpur Internet City, akan dimajukan di Bandar Malaysia sebagai hab e-commerce yang terhebat lagi terunggul di dunia. Saudara-saudari,

156.Selanjutnya, melalui Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia, yang baru sahaja dilancarkan 8 Mei lalu, telah menetapkan sasaran pertumbuhan minimum produktiviti buruh kepada 3.7 peratus setiap tahun menjelang 2020.

157.Selain itu, Kerajaan mahu meningkatkan pekerja mahir dalam pasaran buruh, daripada 28 peratus pada tahun 2015 kepada 35 peratus.

Saudara dan saudari,

158.Di samping itu, pada 19 April lalu, kita telah melakarkan sejarah baharu, apabila saya melancarkan Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera setelah DEB 45 tahun berlalu.

159.Jadinya, bertolak daripada itu, kini, sebarang dasar yang melibatkan Bumiputera, tidak boleh menjadi satu program yang bersifat tersendiri, terasing atau stand alone.

160.Ertinya, Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, sewajibnya bersifat terangkum, yakni all encompassing, merentasi setiap daripada tiang utama yang menjunjung Dasar Transformasi Nasional. Saudara dan saudari sekalian,

161.Di sisi lain pula, pada bulan lepas juga, saya bagi pihak Kerajaan telah melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia atau MIB, menjadi satu 'kenyataan' atau dalam Bahasa Tamilnya disebut 'nij-jem'.

162.Dengan MIB yang inklusif ini, kepada masyarakat India khususnya, mereka dapat menyatakan bahawa 'the future also belongs to us' atau dalam bahasa Tamilnya juga 'naa-lay nama-they'. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

163.Selanjutnya, Kerajaan juga akan terus berusaha gigih dalam meningkatkan nilaian ekonomi dan dagangan semasa negara daripada 1.3 trilion ringgit kepada 2 trilion ringgit menjelang tahun 2025.

164.Atas segalanya, saya, bersama-sama dengan YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berserta barisan jemaah menteri, demi rakyat Malaysia seluruhnya, kita akan terus berjuang memakmurkan negara, menuju TN50 nanti, seraya menjulang Malaysia pada kedudukan negara 20 termaju di dunia kelak. Insya-Allah. Rakyat Malaysia yang dikasihi,

165.Sebagai kesimpulan, jelasnya, cendekiawan dan ahli sejarawan dahulu kala, sejak dari zaman berzaman menyebut-nyebut bahawa sesuatu kejayaan itu tidak akan terjelma dengan sendirinya. As the saying goes, Rome was not built in a day.

166.Jadinya, untuk menempa sesebuah kejayaan, ia menuntut kepada usaha dan sokongan padu daripada segenap rakyat untuk sama-sama, bahu-membahu, ganding-berganding, seiring dan sejalan, senada dan seirama, rakyat dan Kerajaan, demi mensejahterakan Malaysia.

167.Sejak enam dekad, indeed, between two roads diverged in a wood, we have taken the one less travelled by and that, has made all the difference and it is now paying-off. 168.Also to us, Kerajaan Barisan Nasional, failure is not an option!!!

169.Sekali kita melangkah ke hadapan, kita tidak akan berpatah pulang dan berbalik haluan, sebaliknya, kita hanya ada satu pilihan sahaja, untuk terus maju, terus berjaya dan terus mencapai kemenangan.

Kata orang, Biar taufan datang melanda,
Walau badai menggunung tiba,
Kerajaan Barisan Nasional akan tetap mara,
No retreat no surrender, Takkan undur, Takkan mengalah,

Akhir sekali, mari laungkan bersama-sama saya dengan penuh gemuruh,
Negaraku, MALAYSIA!!! Negaraku, MALAYSIA!!!
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.