>

Thursday, January 19, 2017

Isu Beg Plastik 20 Sen, Azmin Ali Main "Passing Bola"




 KUALA LUMPUR, 19 Jan – Presiden Aktivis Belia Tanahair (ABATA), Azrinizam Ibrahim hari ini menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berhenti bermain politik “cuci tangan” dalam berdepan sesuatu isu termasuk isu terbaru kempen beg plastik 20 sen di negeri berkenaan.

Menurut beliau,  Azmin selaku Menteri Besar sentiasa gagal bertanggungjawab dan menjawab pelbagai isu yang melingkari pentadbirannya dengan menjadikan pihak lain sebagai alat menutup kelemahan diri sendiri.

 “Azmin sebenarnya tidak menjawab isu. Dia sentiasa cuba mengelak dan “passing” bola kepada orang lain untuk menjawab isu. Sama seperti isu DEIG, isu tanah Wetland, krisis air, cat pintu gerbang Selangor, isu bolasepak Selangor dan kini isu plastik 20 sen.

“Azmin sebenarnya cuba lari dari isu dengan membaling bola kepada orang lain. Jika dalam isu bolasepak Selangor, Azmin memilih meletak jawatan dan lari terus dari masalah. Gaji tertunggak pemain dan jurulatih ditinggalkan tanpa penyelesaian. Inilah cara Azmin mentadbir”,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi jika benar mahu berkempen penggunaan plastik, jangan benarkan terus beg plastik digunakan di kedai dan berikan beg kertas atau beg yang lebih mesra alam sebagai alternatif untuk memudahkan rakyat.

“Ini tidak, wang poket rakyat mahu dikutip. 20 sen dipinta bagi setiap plastik. Kalau rakyat beli taugeh, cili, taufu dan bawang, takkan rakyat hendak bawa barang ini pakai tangan? Kena beli plastik. Kena keluar 20 sen tambahan sebab kerajaan Azmin Ali berkempen begitu.

“Satu hari kalau ke pasar, sekurang kurang tiga atau empat beg plastik diperlukan rakyat untuk bawa barang pasar. Sudah kena tambah duit 60 sen ke 80 sen sehari. Ini menyusah dan meningkatkan kos sara hidup rakyat. Jika sebulan secara purata sudah 60 sen x 4 minggu, RM2.40,“ katanya.

Katanya lagi, di Selangor, ada sejumlah sejuta penerima BR1M dan secara kiraan mudahnya jika setiap penerima BR1M ini membayar sejumlah RM28.80 setahun untuk beg plastik maka  kempen beg plastik ini boleh menjana hingga RM30 juta.

“Ke mana wang ini pergi? Balik kepada rakyat untuk baiki jalan yang berlubang? Balik kepada rakyat untuk baiki sistem kutipan sampah yang tidak sistematik? Atau masuk ke tabung yang tidak kembali kepada rakyat tetapi untuk tujuan lain.

“Rakyat Selangor harus audit ke mana wang 2o sen plastik ini pergi. Siapa pembekal plastik ke semua pasaraya di Selangor? Apakah benar harga plastik itu 20 sen?

“Akhirnya Azmin dan Elizabeth kena tunjuk data dan hujah siapa yang sambut baik kempen plastik ini? Atau ianya hanya andaian kosong untuk tutup kritikan rakyat. 20 sen besar nilainya pada rakyat.  Jangan berdalih. Jelaskan pada rakyat. Mana wang plastik ini pergi?,” ujarnya.-MediaUMNO

No comments: