Thursday, March 19, 2015

Tiada Istilah Kebal Di Parlimen




KUALA LUMPUR - Tiada istilah kekebalan jika mana-mana ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan berhubung kait isu hasutan semasa berhujah di dalam persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, setiap ahli Parlimen tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap sensitif kerana perkara  seumpama itu hanya akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

"Anggota Parlimen kena hormati undang-undang yang mereka sendiri terlibat dalam proses meluluskannya.

"Sebagai ahli Parlimen, amat memalukan jika tidak baca dan faham undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Antara Parlimen Malaysia-Korea  Selatan, Moon Hee-Sang di pejabatnya di Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) susulan kenyataan beliau pada persidangan Dewan Rakyat minggu lepas yang menyentuh sistem kehakiman negara.   

Jelas  Abu Zahar, setiap ahli Parlimen memiliki hak untuk berbahas tetapi tidak boleh melanggari undang-undang yang digariskan dan mempertikai badan kehakiman yang berperanan mendaulatkan  undang-undang negara.  
"Saya sendiri sebagai Yang Dipertua Dewan Negara sentiasa bagi galakan dan peluang kepada semua ahli Parlimen untuk bercakap tetapi jangan membangkitkan perkara  demi agenda politik dan boleh mengelirukan rakyat," katanya. 

Di bawah Seksyen 36(8), anggota Parlimen dalam perbahasan mereka adalah dilarang menyentuh kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Yang Dipertua Negeri atau hakim-hakim dan lain-lain orang yang menjalankan keadilan mahkamah atau ahli Majlis Pasukan Bersenjata. - Bernama

No comments: