>

Monday, March 16, 2015

Apa Kata Shahir Samad Mengenai 1MDB

1MDB : Cabaran untuk kekal dan mara ke depan

Syarikat pembangunan strategik, 1 Malaysia Development Berhad, (1MDB) kini hanya berdepan persoalan mampukah ia kekal wujud untuk mara ke hadapan.

Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, audit forensik yang sedang dilakukan Jabatan Audit Negara, (JAN) dan disusuli kajian laporan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, (PAC) akan menyukarkan 1MDB melindungi urusan perjalanan syarikat itu.

Sebarang langkah-langkah yang meragukan akan dipersoalkan JAN dan PAC yang berkuasa menyoalsiasat sesiapa sahaja berhubung urusan syarikat sejak penubuhan pada 2009.

Menurut Shahrir, persoalan ketelusan akaun kewangan 1MDB tidak timbul lantaran semua pihak boleh merujuk penyata kewangan syarikat itu yang dibuat mengikut peraturan.

Untuk rekod, 1MDB mencatatkan keuntungan RM424 juta pada 2010, RM544 juta pada 2011, menyusut kepada RM44 juta kepada 2012, untung melonjak RM778 juta pada 2013 namun mencatatkan kerugian RM665 juta pada 2014.

Menurutnya, 1MDB beroperasi seiring matlamat serta objektif penubuhannya sebagai pelaksana idea strategik dan mempunyai strategi jelas dari segi penjanaan kewangan serta struktur urus tadbirnya.

Bagaimanapun, 1MDB menjadi isu lantaran strategi penambahan rencah laporan seperti menggunakan personaliti (Jho Low, Paris Hilton, Riza Aziz) serta pembabitan syarikat antarabangsa seperti PetroSaudi dan syarikat yang dikuasai Low, Good Star Limited.

Menurut TS Shahrir, penggunaan pusat kewangan Cayman untuk menempatkan wang turut dikaitkan sedangkan tindakan itu katanya, adalah urusan biasa yang diamalkan syarikat-syarikat multinasional.

Penggunaan istilah-istilah pilihan seperti memindahkan wang (siphoning), disiasat (investigated) yang digabungkan dengan nama-nama personaliti menyebabkan 1MDB menjadi isu menarik untuk diperbahaskan.

Menurutnya, wujud dakwaan Jho Low menggunakan PetroSaudi sebagai topeng untuk membawa keluar AS$700 juta daripada 1MDB.

Fakta bagaimanapun menunjukkan 1MDB menarik keluar lebih awal pelaburannya dengan PetroSaudi sekaligus mencatatkan keuntungan.

Bayangkan jika 1MDB katanya, tidak bertindak awal dan hanya keluar sewaktu harga minyak mentah dunia merudum, maka sudah tentu isu 1MDB menjadi lebih teruk diperkatakan.

Persoalannya tanya Shahrir, ialah bagaimana penyata kewangan 1MDB menunjukkan syarikat itu mendapat balik segala pelaburan dengan PetroSaudi ditambah keuntungan bagi urusniaga itu.

Jadi wang siapakah yang diambil Jho Low kerana yang paling penting bagi syarikat ialah memperolehi keuntungan di hujung pelaburannya.

Menurut Shahrir, masalah 1MDB adalah kerana bermula dengan modal berbayar hanya RM1 juta sedangkan sepatutnya bermula dengan modal lebih besar untuk memiliki aset-aset bernilai tinggi.

Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek Tun Razak Exchange dianggarkan mencecah RM26 bilion dalam tempoh 10 hingga 15 tahun manakala Sungai Besi memiliki GDV sehingga RM35 bilion bagi tempoh 15 hingga 20 tahun.

Sehubungan itu, melangkah ke depan, 1MDB katanya, perlu meneliti semula pelan perniagaannya kerana memiliki aset-aset yang menjamin untuk keuntungan jangka panjang.

Untuk masa kini, 1MDB tegas Shahrir, perlu diasuh sepertimana yang dilakukan Khazanah Nasional terhadap syarikat-syarikat yang berdepan masalah sewaktu krisis ekonomi 1997.

Situasi persekitaran masa hadapan adalah sukar namun jika diasuh, 1MDB pasti mampu bangkit sepertimana dibuktikan Khazanah Nasional menerusi kejayaan pelbagai syarikat sebelum ini.- BNBBC.my
16 MAC 2015


No comments: