Tuesday, October 7, 2014

Bot CB 204 Yang Hilang Telah Ditemui

Kuala Lumpur – Bot CB 204 yang dilaporkan terputus hubungan pada 5 Okt jam 11.15 tengahari telah berjaya dikesan apabila KD GANAS berjaya memintas panggilan kecemasan melalui Radio Maritim VHF saluran 16 sekitar jam 3.00 petang semalam.

Bot CB 204 melaporkan melalui radio mengalami kerosakan jentera utama dan sistem kemudi dan berapung kira-kira 50 batu nautika (bn) timur Pulau Layang-Layang. KD GANAS berjaya menemui dan merapati CB 204 kira-kira jam 7.15 petang semalam.

Kesemua 7 warga bot berada dalam keadaan keletihan tetapi sihat dan bersemangat. Awal pagi semalam TLDM menerima maklumat dari pelantar minyak milik Petronas ERB WEST memaklumkan penglihatan sebuah bot dalam keadaan bergelap sekitar jam 4.30 pagi.

Bot didapati hanyut ke arah utara pelantar. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah melibatkan aset-aset dari TLDM, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan TUDM. TLDM telah menggerakkan KD LEKIU, KD SERANG, KD GANAS dan KD PAUS bersama sebuah pesawat helikopter Super Lynx sementara APMM telah menugaskan 2 buah kapal, KM MABUL dan KM BERANI bersama sebuah pesawat helikopter Agusta 135.

TUDM pula telah membantu dengan penugasan pesawat udara B 200T. KD LEKIU telah diarah ke lokasi bot dan dijangka tiba 4.00 pagi 7 Okt, hari ini. Bot CB 204 akan ditunda ke Kota Kinabalu sekiranya cuaca mengizinkan dan dijangka tiba Hari Rabu 8 Okt jam 8.00 pagi.

Kejayaan operasi SAR menunjukkan kerjasama erat dan profesionalisme pelbagai agensi, perkhidmatan dan syarikat awam. Operasi ini telah membuahkan hasil penemuan bot CB 204 dan krewnya dalam keadaan selamat. - oleh Laksamana Muda Dato' Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar, Panglima Wilayah Laut 2.

No comments: