Tuesday, October 14, 2014

Anwar Punyai Rekod Buruk Urus Ekonomi Negara




KUALA LUMPUR 13 Okt. - Hasrat pakatan pembangkang untuk memperkenalkan Keuntungan Modal (CGT) sebagai alternatif kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membuktikan sikap tidak konsisten Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dalam mempertahankan hujahnya.

Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) (gambar) berkata, pada 1993, Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan pernah menyatakan di Dewan Rakyat bahawa beliau menolak cukai nilai tambah (VAT) iaitu sistem percukaian yang digunakan di negara-negara Barat.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Anwar kini berubah pendirian apabila mencadangkan dalam bajet pakatan pembangkang tentang pelaksanaan CGT mengikut model yang digunakan United Kingdom (UK).

"Terdapat banyak percanggahan berikutan ketidakupayaan Ketua Pembangkang untuk memahami tadbir urus ekonomi negara.

"Beliau juga mempunyai rekod buruk dalam tadbir urus ekonomi negara dan cuba menggunakan teori-teori Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam keadaan negara menghadapi krisis ekonomi," katanya ketika membahaskan Bajet 2015 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Anwar ketika membahaskan Bajet 2015 mencadangkan pelaksanaan CGT bagi menggantikan GST yang bakal dikuatkuasakan mulai 1 April depan.

Annuar menambah, ketidakupayaan Anwar untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan terserlah apabila negara dilanda krisis ekonomi pada 1997.

Menurut beliau, Anwar cuma tahu mencedok, meniru dan mengambil teori-teori yang disalin daripada model-model ekonomi yang diperkenalkan oleh pihak lain.

"Namun, saya memahami beliau tiada latar belakang dalam bidang ekonomi dan bernasib baik kerana apabila memasuki arus politik UMNO, beliau mendapat kedudukan secara fast track," ujarnya.
Annuar berkata, krisis ekonomi negara yang semakin meruncing menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa campur tangan bagi menyelamatkan keadaan.

1 comment:

Anonymous said...

Rekod terbaik Anuwar dalam ekonomi...gaji RM 1 tapi elaun boleh tuntut sampai RM 15 juta...pandai lah tu..