Sunday, September 14, 2014

#PengkalanKubor : Isu Royalti Adalah Isu Yang Sengaja Diadakan Adakan Untuk Kelirukan Rakyat



Kenyataan Kementerian Kewangan mengenai pengkongsian dana wang ehsan Kelantan
13 September 2014

Kerajaan Persekutuan ingin menegaskan bahawa berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa, Kerajaan Negeri Kelantan, sepertimana juga semua negeri di Semenanjung Malaysia, tidak berhak ke atas 5 peratus Bayaran Tunai daripada hasil petroleum yang dijumpai dan dikeluarkan dari kawasan perairan yang melebihi tiga batu nautika dari garis air surut ataupun persisiran pantai negeri.

Namun demikian, Kerajaan Persekutuan tetap membuat bayaran kepada Kerajaan Negeri Kelantan daripada hasil pengeluaran dari kawasan perairan yang melebihi tiga batu nautika dari garis air surut atau persisiran pantai Negeri Kelantan dalam bentuk wang ehsan.

Bayaran tersebut yang diterima daripada PETRONAS mulai tahun 2010 tidak digunakan oleh Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, ia dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Wang Ehsan Negeri Kelantan.

SEHINGGA September 2014, jumlah bayaran yang diterima daripada PETRONAS yang telah dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Wang Ehsan Negeri Kelantan adalah sebanyak RM224.3 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM120.8 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPP Kelantan) untuk membiayai Program Wang Ehsan.

KERAJAAN Persekutuan memutuskan supaya mulai tahun 2015, Program Wang Ehsan yang sebelum ini dilaksanakan oleh JPP Kelantan turut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pada nisbah 50:50 tertakluk kepada siling RM25 juta setiap agensi.

SKOP Program Wang Ehsan masih dikekalkan iaitu memberi tumpuan kepada program pembasmian kemiskinan, bantuan persekolahan, khairat kematian, bantuan bencana serta bantuan anak yatim.

PENGLIBATAN MAIK adalah diharapkan dapat meningkatkan lagi keberkesanan Program Wang Ehsan. Perkara ini adalah selaras dengan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Istana Negeri Kelantan. Untuk rekod, pentadbiran MAIK diterajui oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

INI merupakan satu langkah interim sehingga penyelesaian yang komprehensif dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan setelah kes tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan diputuskan oleh mahkamah kelak.

Kementerian Kewangan
PUTRAJAYA
12 September 2014

No comments: