>

Friday, August 29, 2014

Ketua Polis Negara : PPS Akan Ditangkap Jika Masih Teruskan Aktiviti Haram





KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan menangkap anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang sekiranya mereka meneruskan aktiviti pertubuhan haram itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PPS dilihat telah terpesong daripada tujuan sebenar ia ditubuhkan empat tahun lalu iaitu berkhidmat kepada masyarakat.

"PPS telah mula memukul orang, ada wartawan telah dipukul, malah ada orang tak setuju dengan mereka, telah dibelasah mereka...sekurang-kurangnya dua laporan polis telah diterima daripada orang ramai dan pemberita yang dibelasah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rasid di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak di sini, Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Salleh akan bersara wajib 1 September ini setelah berkhidmat hampir 40 tahun dan jawatannya akan dipangku oleh Timbalan Pengarah Gerakan Jabatan KDNKA Bukit Aman DCP Datuk Ab Razak Ab Ghani.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin pertubuhan itu yang tersebar di internet semalam yang mencabar Khalid berikutan kenyataannya sebelum ini mengenai pengharaman PPS oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Di awal penubuhan PPS, polis melihat ia sebuah pertubuhan yang memberi khidmat kepada rakyat, tetapi kebelakangan ini PPS dilihat sudah terpesong daripada matlamat asalnya... Rondaan kononnya untuk menjaga keselamatan itu dulu, sekarang dah tak ada dah," katanya.

Pada Selasa lepas, Khalid dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa PPS dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar sebagai pertubuhan di bawah ROS.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa kononnya terdapat wanita warganegara Malaysia menawarkan khidmat seks kepada pejuang di Syria.

"Kita juga masih menafikan ada rakyat Malaysia yang terkorban di Syria kerana polis tidak mendapat laporan rasmi daripada kerajaan Syria dan juga tiada keluarga yang melaporkan ahli keluarga mereka hilang ataupun terkorban di sana, jadi kita tidak dapat mengesahkan," katanya.

Khalid turut memaklumkan beliau dan peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan berlepas ke Amsterdam Ahad ini untuk meneruskan rundingan berkaitan siasatan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

"Saya dan Abdul Gani akan menghadiri dua mesyuarat berkaitan insiden pesawat MH17 bersama dengan wakil dari Belanda dan Australia berhubung rancangan untuk meneruskan siasatan insiden itu," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Jom kita tengok, siapa sebenarnya ABANG BESAR, kpn atau lge. Nak tengok siapa akan tunduk malu tersipu2. Setakat ini khalifah penang masih besar mulutnya. Tengok kpn pulak, nak lawan cakap ke nak lawan dgn undang2...