>

Saturday, July 26, 2014

Hadi Awang Sudah Tidak Mahu Lagi Ikut Telunjuk Anwar?

MARANG 25 Julai - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui pendekatan politiknya sudah semakin berubah berasaskan faktor pengalaman, ilmu pengetahuan dan peralihan suasana politik di negara ini dan antarabangsa.

Katanya, hal demikian perlu untuk terus disesuaikan dalam persekitaran baharu dan pada masa yang sama memperjuangkan Islam yang memberi kesan kepada seluruh manusia.

"Kita tak boleh baca peta politik 20 tahun dulu. Hari ini suasana langit terbuka, bukan sahaja di peringkat nasional tapi antarabangsa kerana masyarakat sudah bercampur-campur.

"Oleh itu, kita kena ambil kira peranan kita sebagai sebuah parti yang membawa perjuangan Islam kepada seluruh manusia," ujarnya dalam pertemuan dengan wakil media tempatan di kediamannya di sini hari ini.

Ini merupakan kali pertama beliau menemui pihak media di sini setelah mengalami masalah kesihatan pada penghujung Mei lalu semasa mengunjungi Turki.

Beliau dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul dan kembali ke tanah air pada 18 Jun lalu dan masih menerima rawatan susulan.

Menurut Abdul Hadi, beliau masih di bawah pengawasan doktor dan dinasihatkan berehat selama tiga bulan.

"Namun saya ikuti (perkembangan politik dan keadaan semasa) sekadar kemampuan...ada kemampuan saya ikuti. Saya baca berita, baca internet, tengok televisyen, baca surat khabar...apa yang perlu saya komen, saya komen termasuk pada hari ni," katanya.

Ditanya tahap keupayaan kesihatannya untuk menangani persoalan politik yang semakin mencabar dan rumit, beliau menyifatkannya sebagai salah satu latihan kecergasan untuknya.

"Saya anggap ini sebagai satu exercise kepada saya. Isu-isu politik ini. Selagi nyawa ada, kita teruskan berkhidmat untuk rakyat dan untuk agama kita," ujarnya ketika ditanya sama ada kesihatannya akan membataskan tempoh kepimpinannya.

No comments: