>

Sunday, July 6, 2014

Bekas Calon STAR Ini Biadap, Wajar Ditangkap Kerana Menghina Nabi Muhammad SAW


 KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (Concerns) hari ini membuat laporan polis terhadap seorang anggota Parti Reformasi Negeri (Star) kerana mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam.
Laporan polis dibuat oleh Pengerusi Concerns, Sainuri Yahmin di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini kira-kira pukul 10.30 pagi terhadap anggota parti berkenaan, David Orok.

"Kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh individu tidak bertanggungjawab ini adalah serius dan sengaja dibuat untuk membangkitkan kemarahan umat Islam selain kekecohan dan perpecahan kaum," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

David juga merupakan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Sulaman pada pilihan raya umum lalu.

Sainuri berkata, beliau mewakili gabungan itu dan umat Islam meminta agar polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan segera serta tegas ke atas David.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Putatan turut membuat laporan polis berhubung insiden sama.

Ketuanya, Ir Shahelmey Yahya berkata, tindakan David itu dikhuatiri akan mencetus perbalahan antara masyarakat berlainan kaum dan agama.

Di TAWAU, Persatuan Bela Belia Tawau (Pembela) membuat laporan polis berhubung kenyataan biadab David yang menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam.
  
Laporan polis dibuat oleh pengerusi Pembela, Mohd Shamry M Sani di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini kira-kira pukul 4.30 petang dengan disertai 30 anggota persatuan itu.
  
Shamry berkata individu tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.
  
"Perkara ini sangat serius dan saya berharap pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia segera mengambil tindakan terhadap David yang sengaja membuat kenyataan yang boleh mengakibatkan perpecahan kaum.
  
"Beliau (David) perlu dikenakan tindakan tegas. Kita di negara ini hidup berbilang kaum, agama dan bangsa dan kenyataan biadab David itu boleh menjejaskan keharmonian," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu. - Bernama


No comments: