Thursday, April 3, 2014

Kenyataan Penuh @NajibRazak Di Perth Australia Mengenai #MH370




KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Berikut teks penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media di Perth, Australia, berhubung misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang:

"Saya ingin memulakan bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus berusaha mencari MH370.

"Sepanjang tiga minggu lepas, beratus-ratus orang telah mengharungi perjalanan beribu-ribu kilometer untuk membantu. Mereka telah melakukan pencarian dalam keadaan laut bergelora, berkabus dan suhu amat sejuk.

"Mereka belayar dalam keadaan ribut petir untuk mencari pesawat. Kita terhutang budi kepada setiap seorang daripada mereka.

"Ini merupakan satu usaha yang amat mengagumkan, telah menyatukan negara-negara dari seluruh dunia. Semasa MH370 didapati hilang, berpuluh-puluh negara menjawab seruan bagi bantuan. Komitmen mereka tidak akan dilupakan.

"Tatkala berdepan tragedi ini - bagi negara-negara yang warganegara mereka berada dalam pesawat ini, dan keluarga yang anggota keluarga tersayang mereka hilang -- kerjasama ini memberikan kekuatan kepada kita.

"Perbezaan diketepikan, pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat. Kehilangan MH370 merupakan insiden yang tidak pernah dialami sebelum ini; begitu juga dengan misi pencarian ini.

"Pagi ini saya berjumpa dengan anggota tentera laut dan tentera udara di Pangkalan Udara Pearce. Saya juga berbual dengan komander dari tujuh negara yang berada di sini untuk misi mencari MH370.

"Mereka memberitahu saya tentang kesukaran misi pencarian seperti ini; dari segi jarak, dan cuaca, dan untuk mengekalkan semangat jitu untuk tempoh yang lama.

"Ketika ini, 10 pesawat dan sembilan kapal sedang melakukan pencarian di Lautan Hindi bagi mengesan sebarang petanda berhubung pesawat yang hilang. Kawasan pencarian amat luas, dan keadaannya bukan mudah.

"Tetapi kawasan pencarian baharu yang telah dikecilkan memberikan kita harapan baharu. Dan saya percaya semangat dan keberanian adalah setara dengan tugas itu. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih atas apa yang mereka sedang lakukan.

No comments: