>

Friday, February 14, 2014

Malaysia : Destinasi Pilihan Pelabur Antarabangsa





Kuala Lumpur: Malaysia terus menjadi pilihan pelabur antarabangsa apabila berjaya menarik RM38.77 bilion pelaburan langsung asing (FDI) tahun lalu, meningkat 24 peratus berbanding RM31.12 bilion pada 2012.

Ia mengatasi rekod tertinggi FDI berjumlah RM37.33 bilion pada 2011, iaitu peningkatan 3.9 peratus walaupun berhadapan pemulihan perlahan dan persekitaran ekonomi tidak menentu. 

 Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam, pertumbuhan FDI tahun lalu turut mengatasi peningkatan FDI Global sebanyak 11 peratus, FDI negara membangun (6.2 peratus) dan FDI Asia Tenggara (2.4 peratus).


Prestasi lebih baik

Prestasi lebih baik itu berdasarkan laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Semua sektor ekonomi mencatat peningkatan aliran masuk FDI tahun lalu dengan sektor pembuatan menyumbang 37.6 peratus, perkhidmatan 28.8 peratus dan perlombongan 28.7 peratus.

Subsektor aktiviti kewangan dan insurans/Takaful serta Komunikasi dan Maklumat menjadi penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan sebanyak 55 peratus daripada pelaburan tahun lalu.
Pencapaian kerana kebanyakan syarikat berskala besar dan syarikat multinasional (MNC) terkemuka memilih Malaysia sebagai destinasi menubuhkan operasi serantau dan global, selain pusat mengintegrasikan nilai serta aktiviti rantaian bekalan bagi memanfaatkan ekosistem yang kukuh di negara ini.

Tingkat momentum

Menurut MITI, trend itu akan meningkatkan momentum berterusan menerusi sokongan dasar kerajaan yang mewujudkan persekitaran kondusif kepada komuniti perniagaan di Malaysia.

“Kebanyakan MNC juga mewujudkan struktur program latihan bagi memindahkan kecekapan utama mereka kepada pekerja Malaysia,” katanya.

Dalam jangka panjang, ia mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Malaysia dalam subsektor seperti perniagaan, perakaunan, kewangan, teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan perkhidmatan baharu lain termasuk rekaan dan sains analitikal.

Selain itu, Malaysia mencapai rekod pelaburan swasta positif iaitu RM161.1 bilion tahun lalu, meningkat 14.9 peratus berbanding RM140.2 bilion yang dicatat pada 2011.

Pencapaian negara dalam pelaburan swasta juga berjaya melepasi purata sasaran tahunan RM148 bilion seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

No comments: