>

Wednesday, February 5, 2014

Luahan Hati Pekerja PKNS Yang Dibuang, Mereka Anggap Tindakan Itu Kejam & Tidak Berperikemanusiaan #PRKkajang

 

SHAH ALAM - Belum pun kemelut yang melanda Perbadanan Kemajuan Selangor (PKNS) bulan lalu sehingga menyebabkan dua pegawai kanannya dipindahkan ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri diselesaikan, kini 20 pegawai kontraknya pula berasa teraniaya apabila diberhentikan.

Mereka menerima notis penamatan perkhidmatan serta-merta, semalam.

Tindakan tersebut mengejutkan kakitangan yang menganggap penamatan tersebut tidak wajar kerana tiada notis pemberitahuan dan alasan munasabah diberi oleh syarikat.

Seorang mangsa dan bekas kakitangan PKNS Holdings berkata, mereka dipanggil berkumpul pagi semalam dan telah menerima surat penamatan kontrak daripada pihak pengurusan.

Menurutnya, tindakan mengejut itu difahamkan adalah arahan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun alasan yang diberikan dianggap tidak munasabah dan kejam daripada syarikat milik kerajaan negeri.

“Kami kecewa kerana kami adalah kakitangan profesional dalam bidang kepakaran masing-masing, tapi kini dilihat menjadi tempias kepada masalah dalaman politik kerajaan negeri dan PKNS,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mereka adalah dari Jabatan Kewangan, Sumber Manusia, Hospitaliti, Pemasaran, Perhubungan Strategik, ISO dan Perniagaan yang telah berkhidmat antara tiga bulan dan 18 tahun dan masih mempunyai kontrak di PKNS Holdings.

Seorang lagi bekas kakitangan PKNS Holdings berkata, mereka tidak diberi peluang dan pembelaan sewajarnya dalam perkara ini sehingga menutup periuk nasi dan rezeki.

Katanya, tindakan ini tidak boleh terima dan penamatan ini telah mencatat sejarah syarikat apabila sebuah syarikat milik Melayu menganiayai  kakitangan tanpa pembelaan.

“Janganlah disebabkan kita marah kepada orang lain, orang lain yang menerima akibatnya.

“Apa yang kami tanggung sekarang tidak mencerminkan sikap PKNS yang sepatutnya membela rakyat tetapi sekarang adalah di sebaliknya,” katanya yang berpengalaman 18 tahun dalam sumber manusia.

Jelasnya lagi, sebagai sebuah syarikat milik kerajaan, tidak mudah bagi sesebuah syarikat bertindak memecat kakitangannya walaupun masih mempunyai kontrak atau tidak.

Seorang lagi mangsa keadaan dari Jabatan Sumber Manusia berkata, sebelum ini sememangnya ada pelan untuk penstrukturan PKNS semula tetapi tiada rancangan untuk memecat kakitangan.

“Kami berkorban bekerja untuk PKNS kerana mahu berkhidmat untuk kerajaan walaupun mempunyai pekerjaan tetap sebelum ini.

“Tetapi apa yang dilakukan oleh PKNS sangat tidak wajar. Kami rata-ratanya yang mempunyai kemahiran masing- masing adalah untuk membantu PKNS menjadi sebuah organisasi yang lebih baik tetapi telah menerima layanan buruk,” katanya.

Sementara itu, satu aduan akan dibuat di Pejabat Perhubungan Perusahaan berhubung perkara itu kira-kira jam 10.30 pagi di Bangunan Umno Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan berlaku pemecatan 20 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Abdul Khalid berkata, tindakan tersebut adalah keputusan pihak pengurusan PKNS dan beliau menepis dakwaan berlaku pemecatan  sebaliknya penamatan kontrak.

“Kita percaya mesti ada sebab. Bukan dipecat tapi tidak meneruskan pelantikan. Berdasarkan nota-nota diberikan tiada pemecatan dan mereka pekerja-pekerja kontrak. Mungkin pengurusan nak menentukan jumlah pekerja sesuai maka kontrak itu ditamatkan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada penamatan kontrak itu mempunyai kaitan dengan kes Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, Abdul Khalid menepis dakwaan itu dan menyatakan bahawa kes tersebut masih di peringkat pendengaran - Sinar Harian

No comments: