Friday, January 3, 2014

Zainal Abidin Headwind Kecam Perusuh Dataran Merdeka Sebagai Golongan Tidak Berakal

Mungkin ini sebabnya Pak Samad tak nak hadir di Dataran pada malam tersebut?


KUALA LUMPUR 2 Jan. - Bekas penyanyi utama kumpulan Headwind, Zainal Abidin menyelar tindakan kumpulan perusuh yang merencatkan konsert sambutan tahun baharu 2014 ketika menyertai Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka malam kelmarin.

Penyanyi berumur 55 tahun yang terkenal dengan lagu Hijau berkata, dia sendiri tidak faham dengan kehendak segelintir perusuh yang kebanyakannya terdiri daripada remaja berketurunan Melayu.
"Saya tidak tahu apa yang mereka mahu dengan cara sedemikian. Mereka tidak fikirkah tindakan ini boleh menyebabkan kecederaan terhadap penonton.

"Jika hendak buat demonstrasi sekali pun, gunalah saluran yang betul. Negara kita ada undang-undang. Tidak boleh sewenang-wenangnya buat rusuhan begitu," katanya.

Zainal Abidin mengulas mengenai insiden peserta perhimpunan haram yang merampas pentas utama di Dataran Merdeka sehingga menyebabkan penganjur terpaksa membatalkan sambutan ambang tahun baharu 30 minit sebelum detik 12 tengah malam.

Menurutnya, apa yang menyedihkan adalah kebanyakan perusuh tersebut terdiri daripada anak muda Melayu.

Beliau yang berkesempatan mempersembahkan dua buah lagu menyifatkan tindakan perusuh itu seolah-olah tidak menggunakan akal yang waras.

"Mereka menjerit-jerit, melempar botol ke arah pentas dan turut mengajuk ketika ucapan Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib. Jika betul hendak berbincang, gunakan saluran yang betul.

"Tidak perlu sehingga begini. Kita semua hidup dalam negara demokrasi, orang luar kenal Malaysia sebuah negara yang beradab, tambah pula majoriti kita orang Islam, jadi adakah mereka semua tidak mempertimbangkan semua itu," katanya kesal dengan tindakan kumpulan perusuh itu.

Tambah beliau, tindakan perusuh itu seumpama terdesak dan jelas mereka sebenarnya diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu. 

"Bila kita tidak dapat kawal perasaan dan tunjuk kemarahan, itu tanda kita kalah. Bayangkan jika ada yang terkorban pada malam tersebut. Siapa yang kita hendak salahkan?," katanya.

Zainal Abidin turut memuji kesabaran pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mengendalikan keadaan pada malam tersebut.

"Saya ingin ucapkan rasa terima kasih dan saya memuji tindakan pihak polis dan petugas DBKL, walaupun mereka diejek, dicaci, namun mereka tenang menjalankan tugas.

"Mereka bijak memadamkan lampu pentas supaya keadaan tidak menjadi lebih huru-hara. Nasihat saya kepada mereka, berfikir sebelum bertindak, jangan kerana politik kita berpecah belah," katanya lagi.

1 comment:

Anonymous said...

Setuju sangat-sangat dengan pandangan Zainal. Bukan setakat tak berakal, tak waras..mereka semuanya berperangai macam berok..itu lah ilmu yang diajar oleh PKR,PAS dan DAP kepada mereka iaitu macamana nak jadi berok jadian..