Friday, January 10, 2014

Artikel Ini Membuktikan Perangai Lim Guan Eng Yang Sebenarnya

ORANG ramai hanya mampu menggeleng kepala apabila melihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terkenal dalam kalangan rakyat kononnya ahli politik rendah diri, berhemah, 
sederhana dan mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) secara tiba-tiba bertukar angin 'menerima' Mercedes-Benz S300L berwarna perak sebagai 'hadiah' Tahun Baru 2014 kerajaan negeri Pulau Pinang kepadanya.

Kerajaan negeri yang terajui Guan Eng sudah tentu tahu mengenainya terlebih dahulu dan tentu mesyuarat untuk menempah kereta itu di- pengerusikan oleh beliau. Tidak mungkin Guan Eng tidak tahu akan menerima hadiah semahal itu walaupun penulis di- maklumkan Guan Eng mengakui kepada media beliau langsung tidak tahu menahu tentang kereta tersebut sehinggalah disampaikan kepadanya pada malam Tahun Baru. 

Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait mengumumkan Guan Eng akan menggunakan kereta rasmi jenis Mercedes-Benz S300L bernilai RM657,218 yang dibeli dengan harga istimewa RM298,263.75. Pengumuman itu dibuat tidak sampai tiga bulan selepas kerajaan DAP Pulau Pinang menukar kereta rasmi kepada Toyota Camry 2.5.

Sensitiviti
Penulis turut dihujani dengan pelbagai reaksi serta panggilan telefon daripada akar umbi DAP dan bekas-bekas parti itu yang meluahkan rasa marah dan tidak puas hati dengan sikap retorik Guan Eng yang 'cakap tak serupa bikin' kerana selama ini melabel dirinya sebagai 'Menteri Jimat' di mata rakyat.

Lebih dikesalkan keputusan itu tidak mengambil kira sensitiviti pelbagai pihak terutama rakyat yang berdepan tekanan peningkatan kos sara hidup.

Bukan sahaja mereka marah bahkan media-media arus perdana berbahasa Cina yang selama ini sering menjadi 'jurucakap' kepadanya juga tampil kecewa sehingga mengkritik beliau kerana selama ini Guan Eng begitu lantang menuding kerajaan Barisan Nasional membazirkan wang rakyat.

Media Cina berterusan menempelak Guan Eng apabila 'kantoi' mengatakan selama ini beliau tidak tahu sebagai kerajaan beliau boleh mendapat pelepasan cukai. Apabila disoal mengapa penjual kereta itu juga boleh memberikan beliau diskaun sehingga RM100,000, Guan Eng enggan melayan soalan itu. Diskaun itu bukanlah sedikit, apakah agenda di sebaliknya?

Seperti biasa, Guan Eng akan menjadikan orang lain sebagai kambing korban apabila dengan mudah membiarkan orang lain mempertahankan beliau menggunakan kenderaan mewah tersebut walaupun realitinya beliau yang menikmati kemewahan itu. Antaranya Pengerusi DAP, Karpal Singh yang merasakan Setiausaha Agung yang jawatannya belum disahkan itu layak menggunakan Mercedes berikutan status serta maruahnya sebagai Ketua Menteri.

"Tiada orang boleh mempertikaikan kemudahan ini. Beliau (Guan Eng) layak menerimanya memandangkan Pulau Pinang telah berkembang dengan hebat di bawah kepimpinannya sejak tahun 2008," dakwanya melalui satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Ironinya, mungkin Karpal sudah lupa, Guan Eng jugalah yang pernah mengkritik tindakan Kerajaan Negeri Terengganu membeli kereta jenama serupa pada 24 Julai 2008 bagi tujuan sama.

Guan Eng jugalah yang pernah berkata kepada media pada 31 Oktober 2009, penjimatan berpunca daripada usaha kerajaan negeri mengurangkan perbelanjaan berdasarkan kepimpinan melalui teladan seperti menempah tambang kapal terbang kelas ekonomi, membatalkan pembelian kereta baru dan projek mewah.

Seandainya menggunakan kereta mewah seperti Mercedes itu mampu menjaga imej dan status seorang Ketua Menteri, mengapa selama ini retorik? Mengapa berbohong kepada rakyat seolah-olah pemimpin parti itu sangat telus dan berjaga-jaga dalam membelanjakan wang rakyat? 

Apakah Guan Eng hebat serta bermaruah lebih daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih menggunakan Proton sebagai kenderaan rasmi? Sebelum perintah Pulau Pinang, Guan Eng boleh pula naik basikal dan motosikal. Boleh juga naik kapal terbang kelas ekonomi. Namun kini, demi menjaga 'maruahnya' beliau kena bermewah bersesuaian dengan statusnya?

Bak kata peribahasa Inggeris, 'Walk The Talk atau Practice what you preach" perlu di hayati oleh Guan Eng sebelum sesuka hati menuduh kerajaan itu dan ini tetapi akhirnya beliau sendiri melakukan perkara yang sama. Bercakap memang senang, untuk melaksanakan sesuatu perkara itulah yang paling sukar, daripada Guan Eng terus mewarnai fikiran rakyat dengan perkara yang tidak betul, cermin dulu diri sendiri. - Utusan Malaysia