Monday, December 23, 2013

Pemilik Akaun Facebook Anjur Himpunan Mahu Guling Kerajaan Dikenalpasti

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang mengunakan nama Asmaelz Hadzeny II dikesan menulis kenyataan menghasut orang ramai melakukan rusuhan bagi mengguling kerajaan pada 31 Disember nanti.

Dia yang mendakwa berperanan sebagai cyber trooper Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekerja sebagai koordinator di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di dalam laman Facebooknya turut meminta orang ramai mendapatkan bom bagi tujuan tersebut.

Kenyataan berbaur ancaman dan hasutan itu dipercayai dimuat naik di laman Facebooknya beberapa hari lalu.

Berikutan kenyataan yang ditulis itu, lelaki yang mendakwa berasal dari Kuching, Sarawak dan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kelantan kini sedang diburu polis.
Polis juga telah membuka kertas siasatan dan menubuhkan pasukan khas dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menahan mana-mana individu yang terlibat dalam perhimpunan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan individu terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman 15 tahun penjara malah boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya ketika dihubhungi hari ini.

Katanya, kertas siasatan tersebut disiasat berhubung kesalahan bertujuan menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

"Bukan individu ini sahaja, kita juga akan mencari serta menahan dalang-dalang yang melakukan perkara ini," ujarnya.

Sementara itu, hasil tinjauan di laman Facebook Asmaelz Hadzeny II mendapati status berbaur hasutan yang menyuruh orang ramai mencari bom yang ditulisnya sebelum ini telah tiada.

Pada 18 Disember lalu, polis telah memberi amaran yang penyebaran poster mengajak orang ramai supaya menyertai himpunan haram pada 31 Disember ini merupakan satu bentuk ancaman keselamatan dan keharmonian rakyat negara ini dan boleh disiasat di bawah SOSMA.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memandang serius poster itu yang dikesan tersebar menerusi portal berita dan laman sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini, meskipun tidak mengetahui sejauh mana kebenarannya.

Beliau menegaskan, pihak polis sehubungan itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika siasatan mendapati kesahihan perkara tersebut termasuk menggunakan Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan SOSMA.

No comments: