Thursday, November 21, 2013

Video Ini Menjelaskan Mengapa Hudud Boleh Terus Dilaksanakan PAS Di Kelantan





KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Kerajaan Pas Kelantan tidak perlu lagi berdolak dalik dalam isu perlaksanaan undang-undang enakmen jenayah syariah (hudud) memandangkan sistem kehakiman di negeri itu sudahpun bersedia daripada sudut infra kehakiman untuk melaksanakan enakmen jenayah tersebut, demikian menurut Datuk Zulkifli Nordin.

Kata beliau, jika Pas benar-benar ikhlas mahu melaksanakan hukum hudud ini, kini adalah waktu yang amat sesuai untuk Pas bagi melaksanakan undang-undang tersebut.

"Pada saya, selama ini Pas menggunakan hudud sebagai politik. Tetapi dengan kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan yang mengakui secara terbuka bahawa Kelantan kini sudah bersedia untuk melaksanakan undang-undang hudud, maka bagi saya tidak ada alasan lagi untuk Pas tidak melaksanakannya di negeri itu.

"Jika mereka terus berdolak dalik dengan mengatakan bahawa ada masalah dari sudut perlembagaan dan sebagainya, ini membuktikan bahawa slogan hudud ini adalah sekadar retorik politik saja. Jika Pas benar-benar mahu melaksanakan hudud, maka sekarang mereka boleh laksanakan.

"Jadi, soal berhubung perlembagaan tidak timbul dan bukan alasan untuk mereka tidak melaksanakannya," tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Jelas beliau, soal perlembagaan hanya akan timbul di peringkat perlaksanaan kerana enakmen jenayah syariah 1,2 dan 3 telah pun digubal, diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, ditandatangani oleh Sultan Kelantan dan telahpun digazetkan.

"Ini bermakna dari sudut perundangan, undang-undang tersebut sudah pun ada. Jadi tidak timbul lagi persoalan ia tidak boleh dilaksanakan. Samada undang-undang itu mengikut perlembagaan atau perlu patuh kepada perlembagaan, itu di peringkat perlaksanaan, itupun sekiranya ada pihak yang mempertikaikannya.

"Tetapi kalau tidak ada pihak yang mempertikaikan, berdasarkan dari segi perundangan yang sedia ada dan daripada segi infra kehakiman yang sedia ada, undang-undang enakmen jenayah syariah sudah boleh dilaksanakan di negeri itu," ujarnya.

Jika benar Pas ikhlas mahu melaksanakan hudud kata beliau lagi, sepatutnya tidak timbul soal wujudnya halangan dari sudut perlembagaan seperti alasan yang diberikan oleh kepimpinan Pas hari ini.

"Dalam isu perlaksanaan hudud ini, apabila Ketua Hakim Syarie memberikan saranan bahawa sistem kehakiman Kelantan sudah bersedia untuk melaksanakan hudud, pengumuman itu sepatutnya disambut dengan takbir yang gemuruh.

"Ini adalah pertama kali kita boleh laksanakan hudud dan ini sepatutnya merupakan satu berita gembira kepada kita. Maka laksanakanlah dan janganlah memberikan pelbagai alasan,"katanya.

Seterusnya beliau merumuskan bahawa sikap kepimpinan Pas yang berdolak dalik berhubung perlaksanaan hudud ini membuktikan bahawa hudud adalah hanya sekadar retorik politik parti tersebut saja.

"Saya juga cukup yakin kepimpinan Pas sebenarnya gentar dengan rakan sekutu mereka DAP, mempertikaikan perlaksanaan udang-undang ini. Kita sudah tengok banyak kali, apabila timbul soal hudud, reaksi DAP yang menentang menyebabkan Pas akhirnya berpatah balik.

"Dan saya juga telah nyatakan banyak kali bahawa sebenarnya Presiden Pas, Haji Hadi telah menandatangi perjanjian persefahaman bersama DAP dan PKR yang jelas menyebut bahawa hudud bukan sebahagian agenda Pakatan Rakyat.

" Jadi saya rasa kesal dengan sikap kepimpinan Pas di depan rakyat bercerita soal hudud tetapi di belakang cerita lain, serta menjadikan perkara hudud ini sebagai modal politik mereka," akhiri beliau. -MediaUMNO

No comments: