Tuesday, November 19, 2013

Penjelasan Menteri Wilayah : Cukai Pintu Di Wilayah Persekutuan Tidak Akan Naik Secara Mendadak




KUALA LUMPUR, 13 Nov -- Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memberi jaminan bahawa kadar baharu cukai pintu di sekitar ibu kota tidak akan dinaikkan secara mendadak. Beliau juga menafikan dakwaan beberapa Anggota Parlimen pembangkang bahawa kadar baharu itu akan melonjak lebih 200 peratus berbanding kadar sekarang. 

Katanya, keputusan berkenaan dengan kadar baharu itu belum muktamad dan notis penyelarasan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada warga kota baru-baru ini hanya merupakan kadar yang dicadangkan sahaja. 

Kenaikan itu perlu memandangkan cukai pintu sudah tidak dinaikkan selama 21 tahun manakala harga hartanah di bandar raya ini telah melonjak tinggi dalam dua dekad ini, jelasnya. "DBKL hanya ingin mendapatkan maklum balas daripada penduduk sama ada kadar yang dicadangkan itu boleh diterima ataupun tidak dan mereka dikehendaki menjawab maklum balas itu sebelum 16 Disember ini," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pencelahan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang mendakwa ada penghuni di kawasan itu telah mengadu bahawa kadar baharu yang dijangka dilaksana Januari tahun depan, meningkat lebih 200 peratus. Tengku Adnan berkata perbincangan juga akan dibuat untuk melihat sama ada akan melanjutkan tempoh mendapatkan maklum balas.

No comments: