Friday, May 3, 2013

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Melucutkan Sandang Ketua Imam Khalifah Anwar Ibrahim #PRU13 #GE13





SEREMBAN 2 Mei - Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) hari ini melucutkan Sandang Ketua Imam Khalifah yang diberikan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007 selepas mendapati perjuangan pemimpin itu telah tersasar.

Pelucutan itu diumumkan oleh Waris Keturunan Mutlak Mahaguru PSSGM, Datuk Siti Fadzilah Meor Abd. Rahman dalam sidang akhbar khas di sini.

''Selepas membuat kajian terperinci, kita dapati Anwar dengan jelas menyokong agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan fahaman pluralisme agama yang sangat bercanggah dengan perjuangan silat gayong termasuk mentaati Tuhan, setia kepada raja dan pemimpin negara serta beramal baik.

''Saya selaku anak dan waris mutlak seni silat gayong yang diasaskan oleh Mahaguru Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dengan ini menarik semula anugerah ini," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Imam Khalifah PSSGM Negeri Sembilan, Datuk Dr. Ishak Hassan dan Pengasas serta Pemegang Amanah Yayasan Beladiri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohamad Fairus Khairuddin.

Siti Fadzilah berkata, pihaknya tidak perlu menghantar sebarang surat pelucutan kepada Anwar kerana tiada keperluan berbuat demikian kerana sudah mengumumkan kepada media.

''Selain itu, berdasarkan aku janji dalam pertubuhan PSSGM, sebarang pelakuan yang tidak selari dengan perjuangan pertubuhan itu akan dilucutkan apa-apa anugerah yang diberi sebelum ini secara automatik.

''Apa yang diperjuangkan Anwar sekarang jelas menyalahi tatasusila sebagai seorang pemimpin gayong kerana telah melanggar ikrar dan perjuangan silat seni gayong," jelasnya.

Pada sidang akhbar itu juga, beliau mengingatkan kepada semua anak murid dan guru silat gayong di seluruh negara agar tidak menentang kerajaan.

''Semua anak gayong di luar sana berdiri teguhlah di bawah kepimpinan Imam Khalifah Agong Gayong iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, taat setia kepada raja dan pemimpin negara.

''Sebagai anak murid kepada mahaguru, kita mesti mencontohi sifat taat setia mahaguru kita kepada raja-raja Melayu dan pemimpin negara," katanya.

No comments: