Sunday, June 17, 2012

Syeikhul Universiti Al-Azhar Minta Rakyat Malaysia Sokong Kerajaan BN



KUALA LUMPUR 16 Jun - Rakyat Malaysia harus berterima kasih dan terus menyokong dasar kerajaan yang diamal selama ini kerana ia membantu membangunkan Malaysia sebagai antara negara Islam termaju di dunia.

Bekas Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, Sheikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour berkata kerajaan Malaysia, yang diketuai oleh seorang pemimpin Islam, telah banyak melakukan kebaikan kepada masyarakat serta berusaha membangunkan (mendaulatkan) Islam dan ia seharusnya perlu terus disokong.

"Pemerintah Islam Malaysia telah lakukan banyak kebaikan serta membangunkan Islam, maka tidak patut untuk cuba menjatuhkannya terutama melalui cara tidak demokratik.

"Oleh kerana kerajaan telah lakukan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat, maka patut rakyat terus beri peluang dan menyokong. Jangan timbulkan sesuatu perkara yang boleh menghalang perkembangan pembangunan kerana ia boleh menjadi fitnah pula kepada masyarakat itu sendiri," katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk "Fiqh Mentaati Pemimpin" di sini, hari ini.

Beliau adalah antara pembentang kertas kerja pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, yang bermula semalam hingga 17 Jun.

Seminar tiga hari itu bertujuan membincangkan isu dalam ilmu Fiqh yang sering diabaikan iaitu prinsip membabitkan hubungan rakyat dan pemimpin.

Sheikh Mahmoud Ashour turut memberi ingatan agar tiada pihak yang menggunakan Islam untuk menakutkan masyarakat.

"Dalam proses mewujudkan sebuah negara Islam, tidak wajar menimbulkan suasana takut kepada masyarakat, dan tidak boleh memperjuangkan Islam secara kasar," katanya.

Beliau menekankan bahawa dalam memperjuangkan Islam, nama tidak penting, sebaliknya isi perjuangan lebih penting. - BERNAMA.

1 comment:

nor rasid said...

berdarahlah hidung2 ulamak politik pas mengalir tak henti2 spi muka pucat lesu.