Tuesday, June 19, 2012

Negeri Ditadbir BN Tarik Pelaburan Lebih Baik Berbanding Negeri Pembangkang




KUALA LUMPUR, 13 Jun -- Sabah menerima pelaburan swasta tertinggi pada suku pertama tahun ini, diikuti Selangor, Johor, Sarawak dan Terengganu, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pelaburan swasta bagi tempoh itu di Sabah ialah RM10 bilion Johor (RM2.6 bilion), Sarawak (RM2.3 bilion) dan Terengganu (RM1.4 bilion).

Angka pelaburan bagi Selangor bagimanapun tidak dinyatakan.

"Ini menunjukkan bahawa negeri dalam pentadbiran BN mempunyai prestasi tinggi dalam menarik pelaburan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Azmin Ali (Gombak-PKR).

Mengenai dua negeri di bawah pakatan pembangkang iaitu Pulau Pinang dan Selangor yang menjadi antara negeri memperoleh pelaburan terbanyak di Malaysia, Mukhriz berkata itu adalah ekoran infrastruktur yang telah dibangunkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di kedua-dua negeri itu pada masa lepas.

"Seperti sedia maklum kedua-dua negeri itu menjadi destinasi pelaburan kerana infrastruktur sempurna seperti pelabuhan, jalan raya, universiti dan utiliti. Ini sudah tentu diusahakan kerajaan BN sebelum ini," katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong-BN) yang bertanya prestasi pelaburan negara terkini, Mukhriz berkata Malaysia berjaya menarik pelaburan RM17.9 bilion dalam sektor perkilangan melibatkan 268 projek antara Januari dan April tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah pelaburan tersebut RM10.1 bilion merupakan pelaburan domestik manakala selebihnya pelaburan asing.

"Tahun lepas Malaysia menerima RM56.1 bilion pelaburan sektor perkilangan melibatkan 846 projek," katanya.

Mukhriz berkata Malaysia berjaya menarik RM32.9 bilion pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun lepas berbanding RM29.3 bilion pada 2010 dan RM5 bilion pada 2009.

Beliau berkata perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas tidak memberikan kesan mendalam terhadap keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia kerana dasar ekonomi Malaysia sendiri yang kukuh.

"Namun perlu diingat, sekiranya perhimpunan ini berterusan di masa depan, ia mampu memberi kesan terhadap keselamatan Malaysia seterusnya pelaburan masuk ke negara ini," kata beliau.

Mukhriz berkata berdasarkan kajian dijalankan Institute for Management Development (IMD) di Lausanne, Switzeland, Malaysia kini menduduki tangga ke-14 antara negara yang mempunyai ekonomi berdaya saing berbanding kedudukan ke-16 tahun lepas.

"Kejayaan negara memperbaiki kedudukan ke tangga 14 menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil kerajaan dalam memperbaiki daya saing ekonomi negara.

"Langkah tersebut merupakan usaha berterusan penambahbaikan terhadap system perkhidmatan awam, peningkatan ketelusan dan akauntabiliti bagi menjana sector swasta yang berdaya mampan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang sama juga Malaysia mengekalkan kedudukan kedua daripada negara yang memiliki Nilai Pendapatan Isirumah (GDP Per Kapita) kurang RM60,000 di hadapan negara membangun seperi China dan Chile.

Prestasi lebih baik itu juga turut digambarkan dalam Indeks Keyakinan Pelabur Asing 2012 oleh A.T Kearney di mana kedudukan Malaysia berada di tempat ke-10 berbanding ke-20 pada 2010, katanya.

No comments: