Undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini relevan
dan berperanan luas dalam mengekang gejala di luar tabii yang melanggar
kejadian semula jadi itu daripada terus menular.
Sambil membidas tindakan mempertikaikan undang-undang tersebut, Ketua
Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor
Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kewujudan
undang-undang berkaitan homoseksual itu selaras dengan undang-undang
Islam dan lain-lain peraturan agama di Malaysia.
Di dalam Perlembagaan, katanya, secara jelas menyatakan bahawa Islam
sebagai agama rasmi dan tiada pihak boleh meminda undang-undang yang
sememangnya selaras dengan agama Islam.
"Pada pendapat saya, kita tidak harus terikut-ikut dengan pendekatan
hak asasi tajaan Barat. Undang-undang berkaitan homoseksual yang ada
selaras dengan undang-undang Islam dan semua peraturan agama lain di
Malaysia.
"Menghalalkan gejala homoseksual dan seumpamanya akan merosakkan
reputasi negara kita pada mata dunia Islam sebagai negara Islam yang
berpegang kuat kepada undang-undang agama itu di samping menjadi sebuah
negara di ambang status negara maju.
"Kenapa kita harus merosakkan semua itu dengan meminda undang-undang
sedia ada demi kepentingan kumpulan-kumpulan songsang ini? Saya rasa ini
adalah untuk kepentingan politik peribadi jangka masa pendek yang dapat
memberi kesan jangka panjang teramat besar kepada orang islam
khususnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikai undang-undang berkaitan
kegiatan seks songsang tersebut dengan menyifatkannya sebagai lapuk dan
tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang relevan.
Pakar undang-undang, Prof. Dr. Roselina Ahmad Sufi berkata,
kenyataan bahawa sesebuah undang-undang tidak relevan atau lapuk adalah
tidak tepat kerana undang-undang yang dimaktubkan Parlimen adalah
terpakai selagi ia tidak dimansuhkan.
Justeru, katanya, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan perlu mematuhi dan mendaulatkan undang-undang tersebut.
"Jika terdapat pihak yang mengatakan ia tidak relevan, adalah wajar
untuk kerajaan meneliti semula setelah mengambil kira pandangan semua
lapisan rakyat berkenaan klausa-klausa mana yang tidak relevan.
"Namun begitu, pandangan hanya seorang individu atau segelintir pihak secara jelas tidak mencukupi," katanya.






0 comments:
Post a Comment