Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempergunakan media asing sebagai
platform untuk memburukkan Malaysia di luar negara dilihat memakan
dirinya sendiri.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais
Yatim berkata, keadaan tersebut disebabkan ketelusan yang didukung media
berkenaan dalam menilai kesahihan kenyataan Ketua Pembangkang itu kini.
“Tindakan Anwar menjaja Malaysia sebagai negara tidak baik
menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak mengenang jasa setelah
diamanahkan sebagai seorang pemimpin suatu waktu dulu dan pernah
menerima habuan daripada negara.
“Oleh itu jika tohmahan terhadap negara diteruskan, dengan sendirinya
telah memalapkan imej Anwar, sekali gus reputasinya akan turun serta
lama-kelamaan ramai pihak tidak akan mempercayainya.
“Penilaian imej Anwar ini adalah seperti juga dikatakan oleh majalah
The Economist dan beberapa pihak yang begitu telus dan lantang pandangan
mereka terhadap pemimpin seperti itu,” katanya kepada pemberita pada
Majlis Pesta Durian Bersama Media Asing di Kompleks Kraf di sini hari
ini.
Antara yang hadir Ketua Biro The Globe and Mail di Beijing, Mark Mackinnin, media-media asing dan ketua-ketua pengarah jabatan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan The Economist
melabelkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai walaupun
Ketua Pembangkang itu baru dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas
pembantu peribadinya.
Seperkara lagi, kata beliau, sepatutnya Anwar berterima kasih kepada
sistem kehakiman negara atas pembebasan beliau berhubung kes liwatnya
tempoh hari.
Namun sehingga kini beliau gagal menyatakannya dengan jelas. Ini menunjukkan Anwar tidak percayakan sistem tersebut.
“Kita harapkan masyarakat boleh menilai dan menzahirkan dalam bentuk yang konkrit terhadap reputasi serta pimpinan seperti ini.
“Kerja-kerja baik yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dalam situasi kini kian lama kian baik dan ini seharusnya
diterima oleh masyarakat khasnya berhubung Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) dan pelbagai bentuk bantuan selepas ini,” kata beliau.





0 comments:
Post a Comment