Azmi Hassan
– TIDAK pernah terfikir bahawa perjuangan kumpulan lesbian, gay,
biseksual dan transgender (LGBT) menjalar ke Malaysia dan ironisnya
telah ditakrifkan sebagai perjuangan hak kebebasan bersuara yang tidak
sepatutnya disekat oleh kerajaan.
Sememangnya itu adalah fenomena global kerana di seluruh dunia
kumpulan tersebut begitu lantang memperjuangkan hak mereka dan agak
ironis sekali apabila ada antara mereka mengumpamakan kebangkitan LGBT
selari dengan revolusi rakyat Arab yang cuba bebas daripada belenggu
setelah ditindas oleh pemimpin diktator buat sekian lama.
Timbul kemusykilan mengapa dengan secara mendadak perjuangan LGBT
mendapat simpati dan sokongan padu global bukan sahaja dalam kalangan
individu atau pertubuhan malahan ada negara dengan secara rasminya
menyokong dan memberi bantuan kepada aspirasi perjuangan LGBT.
Mungkin ada agenda tersirat atau pun sememangnya gerakan LGBT ini mempunyai matlamat yang sah, agak menarik untuk dibahaskan.
Tetapi satu perkara yang agak nyata adalah persepsi yang cuba
digambarkan adalah bagi individu, pertubuhan atau negara yang menyokong
perjuangan LGBT, mereka ini dianggap sebagai kumpulan yang menghormati
proses demokrasi.
Sebab itu dikaitkan perjuangan LGBT dengan hak asasi
manusia dan revolusi rakyat Arab kerana kedua-duanya adalah sinonim
dengan perjuangan demokrasi.
Paling membimbangkan adalah kayu ukuran yang digunakan untuk negara
yang mempunyai undang-undang mesra LGBT dianggap sebagai sebuah negara
yang mempunyai sistem demokrasi yang matang.
Sebaliknya pula negara yang mengekang golongan LGBT dilabelkan
sebagai pemerintahan ala diktator yang langsung tidak mempunyai sifat
tolak ansur. Begitu mengaibkan sekali wujud pula masyarakat antarabangsa
yang akur dengan persepsi songsang tersebut dan terperangkap dengan
agenda yang lebih popular dikenali sebagai pinkwashing.
Rejim Israel umpamanya telah mengamalkan strategi pinkwashing ini
dengan mempergunakan agenda LGBT untuk menggambarkan bahawa sistem
demokrasi mereka adalah yang terbaik di rantau Asia Barat.
Tel Aviv dianggap sebagai antara bandar paling mesra LGBT dan rejim
tersebut tanpa segan silu mempromosikan gambaran tersebut sebagai benar
dan bukannya persepsi semata-mata. Tentera Israel daripada golongan LGBT
tidak perlu menyembunyikan kecenderungan mereka kerana hak mereka
diiktiraf.
Malah Mahkamah Agung Israel turut mengiktiraf hak seperti
pewarisan harta keluarga LGBT sama seperti keluarga lain.
Datuk Bandar Tel Aviv Ron Huldai dengan megah menyatakan bahawa
Israel cuba membentuk model masyarakat yang mempunyai sifat toleransi,
keterbukaan dan pluralisme dengan lebih memahami kehendak LGBT.
Jika kota London, Toronto atau New York dianggap sinonim dengan
ungkapan bandar mesra LGBT, tidak keterlaluan jika diandaikan Tel Aviv
telah berada jauh di hadapan di antara ketiga-tiga bandar raya tersebut.
Malah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika memberi
ucapan di hadapan perwakilan Kongres Amerika Syarikat pada Mei tahun
lepas dengan megah mengisytiharkan Israel adalah sebuah negara demokrasi
contoh terbaik di Asia Barat berbanding negara lain yang merejam
wanita, kumpulan gay dihukum gantung dan penganut agama Kristian
dikekang aktiviti mereka.
Begitu jelas sekali strategi Israel yang mengamalkan pinkwashing
bukan sahaja untuk menggambarkan demokrasi Israel adalah yang terbaik
tetapi dengan sekali gus memburukkan negara Islam.
Rejim Israel sebenarnya mempergunakan isu LGBT sebagai alat
perhubungan awam untuk mengaburi persepsi masyarakat antarabangsa
terhadap kekejaman yang telah diperlakukan terhadap rakyat Palestin
terutama sekali di Tebing Barat dan Genting Gaza.
Begitu pintarnya rejim
tersebut mengamalkan pinkwashing walaupun undang-undang Yahudi itu
sendiri tidak mengiktiraf hak kumpulan LGBT.
Strategi pinkwashing Israel telah diamalkan secara terancang sejak
2005 apabila rejim tersebut menilai isu LGBT boleh dipergunakan untuk
menutup segala kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Kempen yang pada asalnya dinamakan Brand Israel disasarkan khas
kepada mereka yang berumur di antara 18 hingga 34 tahun untuk
menggambarkan Israel sebagai sebuah negara yang moden dan relevan.
Setiap tahun kempen Brand Israel dengan strategi pinkwashing
dijalankan dengan begitu agresif kerana mempunyai pembiayaan kewangan
yang kukuh dan menerima sokongan daripada kepimpinan tertinggi kabinet
Israel.
Malah pada tahun lepas Lembaga Pelancongan Israel membelanjakan
hampir AS$90 juta secara khusus untuk menonjolkan Tel Aviv sebagai
destinasi terbaik untuk percutian golongan gay.
Amat menyedihkan jika ada rakyat Malaysia yang terbawa-bawa dengan
isu LGBT dengan mengaitkan dengan faktor hak asasi manusia dan menuduh
sesiapa yang menentang hak LGBT adalah berlaku kejam. Rakyat Malaysia
perlu berhati-hati dan menilai dengan teliti sama ada tuduhan tersebut
berasas atau pun mempunyai agenda tersirat.
Amat mengaibkan pula jika ada masyarakat antarabangsa yang termakan
dengan pinkwashing Israel yang cuba menutup kekejaman rejim tersebut
terhadap rakyat Palestin yang bukan sahaja menahan atau membunuh rakyat
Palestin tanpa usul periksa, malah merampas hak dan kedaulatan Palestin
tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa.
Sokongan terhadap kebangkitan LGBT tidak boleh disandarkan
semata-mata kepada hak kebebasan bersuara kerana kemungkinan tetap ada
ia melanggar hukum agama, adat susila dan kehidupan yang lazim.
Bukan itu sahaja kerana ia mungkin dipergunakan oleh pihak tertentu untuk agenda global tersirat seperti pinkwashing Israel.
PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara









0 comments:
Post a Comment