Saturday, October 29, 2011

Surat Berpeluru Modal Akhir Cari Simpati?

29 Oktober 2011, Aziz Bari telah menerima peluru yang diposkan ke rumahnya di Gombak. Ayat yang ditulis "Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti". Modus kata-kata tersebut jika dibaca sekali lalu adalah menunjukkan bahawa mereka yang tidak berpuas hati dengan Aziz Bari yang mengirimkannya. Itu analisis secara sepintas lalu. Namun insiden kirim peluru ini bukannya kali pertama berlaku.

20 Februari 2009, Karpal Singh (Pengerusi DAP) telah menerima satu ancaman peluru hidup. Anehnya peguam pakar Anwar Ibrahim tersebut terus menuduh UMNO sebagai pengirimnya (baca sini). Isunya ketika itu adalah berkaitan dengan krisis di Perak.

Tony Pua juga menerima ugutan peluru pada 26 Julai 2010. Tony Pua menerima ugutan tersebut setelah meminta kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah.

Selain peluru, ada satu lagi bentuk ugutan yang diterima oleh ahli politik pembangkang iaitu bom petrol. 26 September 2008, rumah ibu bapa Teresa Kok telah menerima nota ugutan dan dibaling dengan bom petrol. Isunya ketika itu adalah berkaitan dengan kes laungan azan dan tulisan jawi.





Mat Sabu yang mencetuskan kontroversi dengan mengatakan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan turut menerima ugutan simbah asid pada 9 September 2011. Pihak yang bersuara membela bagi pihak Mat Sabu adalah DAP.

Jika dibaca satu persatu kes ugutan surat peluru, bom petrol dan simbah asid di atas. Ianya berlaku pada pengakhiran sesuatu isu yang membuatkan pelbagai pihak marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli ahli politik pembangkang terbabit. Selepas ugutan tersebut, maka isu tersebut akan mula dilupakan. Pihak lawan terus dituduh sebagai pembuat ugutan tersebut.

Apakah ini adalah teknik untuk menagih simpati rakyat? Atau ini adalah teknik untuk menamatkan sesuatu isu daripada dibincangkan lagi. Jika benar ini adalah sebahagian teknik psywar yang digunakan, maka ianya adalah satu ancaman keselamatan yang serius. Hinggakan ke universiti pun peluru simpati hendak dimainkan. Perkara sebegini perlu dihentikan.

0 comments: