Thursday, July 21, 2011

Harun Taib Tidak Setuju Dengan Azizan Razak


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib mengakui hubungan Pas dan DAP ‘bukan satu ikatan yang kuat’ meskipun ada pihak mendakwa parti itu terpaksa tunduk kepada DAP berhubung isu larangan premis hiburan di Kedah.

Harun menjelaskan, hakikatnya Pas dan DAP sekadar bergabung dalam satu pakatan pembangkang untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara.

Ini kerana, menurut beliau, walaupun dalam pakatan yang sama, Pas dan DAP adalah dua parti yang berbeza.

“Pas dan DAP ‘bukan satu ikatan yang kuat’, maknanya ia (kedua-dua parti) belum jadi satu parti. Masing-masing ada partinya sendiri dan mereka (DAP) berhak untuk bersuara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau diminta mengulas pendirian Pas yang dikatakan terpaksa tunduk kepada DAP sehingga menarik balik keputusan melarang premis hiburan daripada beroperasi sepanjang bulan Ramadan di Kedah.

Harun memberi alasan Pas tidak sekali-kali tunduk kepada DAP berhubung isu larangan ke atas premis hiburan di negeri itu, sebaliknya pendirian itu berubah setelah mengambil kira aspek Perlembagaan.

Malah, beliau turut menyifatkan keputusan Kerajaan Pas Kedah menarik balik larangan itu hanya untuk sementara dan kemungkinan undang-undang tersebut akan dikuatkuasakan semula pada masa akan datang.

“Buat sementara ini, kita kena kaji dulu dengan terperinci dan kemungkinan undang-undang melarang premis hiburan beroperasi pada bulan Ramadan akan dikuatkuasakan juga kelak, bukan sahaja di Kedah malah di negeri lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Harun berkata, setiap kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang untuk orang Islam manakala lesen premis hiburan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

“Jadi, kalau nak batalkan serta-merta premis hiburan itu daripada beroperasi akan menyusahkan orang bukan Islam,” tambahnya.

1 comments:

anti bohmau said...

awat nak ikut perlembagaan yg juak pas lord reid taik tu kata perlembagaan kapir? sampai tuduh umno kapir sbb ikut perlembagaan tu! makna kata bila pas ikut perlembagaan yg sama, pas jadi apa? double ka..????