Saturday, May 21, 2011

Anwar Patut Letak Jawatan


Anwar Ibrahim sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang kerana beliau kini berdepan dengan isu moral ekoran dakwaan pembabitannya dalam isu video seks.

Pensyarah Kanan bahagian Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, sekiranya Ketua Pembangkang itu tidak berbuat demikian, beliau gagal mencerminkan sikap yang sepatutnya dizahirkan seorang ahli politik yang beretika.

Menurutnya, Anwar enggan berbuat demikian dengan menjadikan alasan bahawa tuduhan terhadapnya merupakan konspirasi pihak tertentu yang mahu menjatuhkan karier politiknya.

"Keadaan politik negara ini tidak wujud situasi di mana orang yang melakukan kesalahan bertindak meletak jawatan kecuali apabila terpaksa.

"Ia berbeza dengan negara Barat, apabila ada ura-ura terlibat dalam apa jua kesalahan mereka akan meletak jawatan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut laman web http://newledger.com, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, 62 dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, 64, serta bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz, 68, dikatakan menghadapi nasib yang sama apabila mereka telah didakwa terbabit dengan dakwaan berkaitan skandal seks.

Ketiga-tiga individu terkenal itu sama ada Strauss-Kahn, Anwar mahupun rakan rapatnya, Wolfowitz, kesemuanya pernah didakwa terbabit dalam hubungan skandal mereka dengan wanita.

Azeem Fazwan berkata, masyarakat tidak harus terpengaruh dengan kata-kata Anwar yang sentiasa menyifatkan sistem kehakiman negara adalah berat sebelah apabila segala keputusan tidak memihak kepada beliau.

"Sistem perundangan kita berbeza dengan negara luar tetapi tidak bermakna orang yang disabitkan kesalahan tidak dibacakan dengan adil," katanya.

''Tetapi Anwar sedaya-upaya akan mewujudkan satu persepsi kepada masyarakat bahawa sistem kehakiman kita tidak adil semata-mata untuk tujuan politik,'' katanya.

0 comments: