Saturday, September 26, 2009

Menjelang Bagan Pinang, Anwar Terbang Berjumpa Al Gore di New York

Masa Bush berkuasa, Anwar terbang mencari Wolfowitz di Munich dan Washington. Bila Demokrat berkuasa, Anwar terbang mencari godfather lamanya iaitu Al Gore di New York. Kedua-duanya adalah tokoh neo konservatif. Bila ada masalah terbanglah dia mendapatkan petunjuk dari godfathernya.

Pada jam 2 pagi, 24 September 2009, Anwar Ibrahim berlepas ke New York untuk berjumpa dengan mentornya Al Gore (bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, dari kem Demokrat). Anwar diberi tiket kelas pertama oleh penganjur. Tentunya penganjur juga akan memberikan hotel kelas pertama dan layanan kelas pertama kepada Anwar di New York nanti. Istimewa benar Anwar disisi Al Gore. Malah sempat juga Anwar menonton filem Angel & Demons. Mungkin untuk memahami lagi strategi dan taktikal kod neo-konservatif. Bersedia sungguh Anwar untuk berjumpa dengan Al Gore. (baca sini).

Selain Sean McCormack dan Tom Casey yang membela Anwar dari jendela White House, Al Gore juga turut membela sama. Kenyataan media Al Gore pada 1 Ogos 2008 yang membela Anwar Ibrahim mengenai kes liwat.

Mengapa Anwar Ibrahim perlu berjumpa dengan Al Gore berulang kali? Apa yang mereka bincangkan? Pada 6 Ogos 2008, Anwar Ibrahim turut berdiskusi dengan Al Gore di Singapura. (baca sini). Sebelum itu, sewaktu Anwar menghadapi laporan liwat, Al Gore tampil memberikan kenyataan untuk membela Anwar pada 1 Ogos 2008. (baca sini). Jika diteliti, lima hari selepas Al Gore mengeluarkan kenyataan, terus satu pertemuan tertutup diaturkan di Singapura antara Anwar Ibrahim dan Al Gore. Tidak lain dan tidak bukan, isunya adalah kes liwat bukan?


Bual bicara atau pertemuan sulit di Singapura? Katanya bincang isu pemanasan global, ASEAN dan demokrasi, atau bincang strategi menghadapi kes liwat?

Pada 16 November 1998, Al Gore telah mempertahankan Anwar secara terbuka bila Anwar menghadapi kes liwat ketika berucap di Majlis Makan Malam Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), di Kuala Lumpur. Maka tidak menghairankan, mengapa Al Gore turut mempertahankan Anwar dalam isu sama sepuluh tahun selepas itu. Apakah Anwar berlepas ke New York juga untuk membincangkan isu yang sama?. Anwar mungkin mahukan strategi lain untuk menghadapi kes liwatnya di mahkamah. Strategi tangguh sudah dipakai berulang kali. Atau mungkin merangka strategi untuk Bagan Pinang?

Gambar: Anwar Ibrahim, Sivarasa Rasiah dan Khalid Ibrahim bersama dengan seorang wartawan asing yang menggunakan identiti Reuters ketika berkempen dalam pilihan raya kecil di Ijok. Mengapa orang asing minat pantau pilihan raya di Malaysia? Siapa yang jemput?

Ketika pilihan raya kecil di Ijok pada 19 April 2007, Anwar tidak hadir kerana berada di Hong Kong. Sehari kemudian pulang dan berkempen di Ijok bersama dengan beberapa orang wartawan asing. Sewaktu pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air, Anwar berada di Thailand. Datang berkempen kemudian ke Thailand semula untuk berurut sambil diwawancara. Semasa pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Anwar ke luar negara juga sebelum itu. Kemudian sekembalinya dari luar negara, membawa bersama Gus Dur dan Estrada untuk berkempen. Sewaktu pilihan raya umum lepas pun, Anwar sempat lagi ke luar negara. Untuk apa?

Apakah benar neo konservatif Amerika Syarikat telah mempergunakan Anwar Ibrahim? (Utusan Malaysia, 20 September 2008).

Apakah pemergian Anwar ke New York untuk menagih sesuatu dari Al Gore? Dulu Anwar amat intim dengan Wolfowitz dari kem Republikan, kemudian beralih arah kepada Al Gore dari kem Demokrat. Anwar memang intim dengan dua tokoh dari neo konservatif ini. Apakah di Bagan Pinang, Al Gore akan dibawa khas untuk berkempen? Atau Al Gore memberikan tips terbaru kepada Anwar untuk menghadapi kes liwat. Selain reformasi, bersembunyi di kedutaan, mengadu sakit pinggang, menuduh mahkamah sebagai tidak adil dan menangguhkan kes di mahkamah, Anwar tentunya akan pulang dengan helah yang baru. Saksikan bagaimana skrip Anwar seterusnya. Sampai bila rakyat perlu terus ditipu dengan skrip yang direka oleh Al Gore dan Wolfowitz ini? Skrip ini dilakonkan oleh Anwar. Jangan terpedaya dengan lakonan Anwar.

Friday, September 25, 2009

Alor Setar Ditimbuni Sampah

Warga Alor Setar menyambut Aidilfitri kali ini dengan keadaan persekitaran yang kotor dan busuk (baca sini). Itulah hakikat yang terpaksa diterima sejak pemerintahan PAS di Kedah. Dari atas kerusi kapal terbang hingga ke kerusi kedai kopi, rakyat berbicara tentang sampah di Kedah. (Sila lihat video ini). Sampah bertimbun tetapi tiada pihak dari kerajaan negeri yang mahu menyelesaikannya. Tanya MB, depa kata bulan November baru boleh selesai. Maknanya, tunggu berulat dululah jawabnya. Berbeza dengan harapan wakil rayat PAS yang mahukan isu sampah ini selesai pada bulan September (baca sini).

Yang lebih pelik, Phahrolrazi Zawawi (Exco Kerajaan Negeri Kedah, Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Kerja Raya dan Pertanian) mengeluarkan kenyataan pada 23 September 2009 menyatakan bahawa sesiapa yang mahu buat rumah terbuka perlu maklum terlebih dahulu kepada Majlis Bandaraya Alor Setar. Maklum bukan untuk kutip sampah tetapi mahu kenakan pungutan tong sampah bernilai RM100 hingga RM150. Nampaknya PAS Kedah jaga kebajikan rakyat sungguh, sampah pun depa buat bisnes .

"Dulu masa kami jadi pembangkang, isu inilah yang saya dan Dato' Mahfuz Omar jaja. Namun isu yang kita hadapi menjelang pilihan raya 2008 belum selesai hinggalah kini," kata Mohd Nasir Mustafa (ADUN PAS Kubang Rotan). Sekarang, isu ini sudah terkena batang hidung sendiri. Ustaz Azizan tidak boleh menunggu hingga bulan November untuk selesaikan isu sampah ini. Jika pandai berjanji dan menjaja isu, inilah akibatnya. Akhirnya ianya makan diri sendiri balik. Bukan senang untuk memerintah, bila berkuasa barulah rakyat akan menilai. Alor Setar sudah jadi bandar yang dipenuhi sampah, Gurun bakal dibangunkan kandang babi moden, balak sudah gondol dikerjakan di Bukit Kachi. Apakah orang-orang PAS di Kedah mahu tunggu ditampar oleh Gobalakrishnan baru hendak sedar? Tunggulah, kalau mahu. Banyak manfaatnya kerjasama dengan DAP dan PKR. PAS Selangor sudah berfikir-fikir untuk keluar, PAS Kedah tak kanlah nak peluk tubuh sahaja.

Saturday, September 19, 2009

Salam Aidilfitri


Moga Allah SWT terus memberkati kita semua, memudahkan urusan kita & memberikan kebahagiaan dunia dan akhirat. DariNya kita datang dan kepadaNya juga kita akan pergi. Alfatihah buat saudara-saudara dan sanak saudara kita yang telah pergi dahulu sebelum kita. Yang masih tinggal usah jemu dan lelah untuk terus berjuang demi alif, ba dan ta. Moga negara ini juga sentiasa berada dalam lindunganNya yang Maha Kuasa dari sebarang mala petaka, bencana, wabak penyakit dan dengki khianat pihak luar. Salam Aidilfitri, Salam 1Malaysia, Maaf Zahir & Batin.

Sunday, September 6, 2009

Alfatihah Buat Allahyarham Azman Mohammad Noor

Pada jam 2.30 petang, 4 September 2009, Allahyarham Azman Mohammad Noor (ADUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan) telah kembali ke rahmatullah di Seremban Specialist Centre. Pemergian yang mengejutkan bagi keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia. Mengejutkan kerana pemergian arwah bakal menyaksikan satu lagi kawasan Dewan Undangan Negeri mengalami pilihan raya kecil.

Sudah 9 kali pilihan raya kecil diadakan sejak 8 Mac 2008 iaitu sejak pilihan raya umum yang lepas. Diikuti dengan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Air, Penanti, Manek Urai, Permatang Pasir dan yang terbaru di Bagan Pinang. Pilihan raya sudah berlaku di Pulau Pinang (3 kali), Terengganu (1 kali), Perak (1 kali), Kedah (1 kali), Sarawak (1 kali), Kelantan (1 kali) dan yang terbaru adalah di Negeri Sembilan. Yang masih belum berlaku ialah di Perlis, Sabah, Johor, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

3 pilihan raya kecil diadakan di kawasan parlimen iaitu di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Manakala 6 pilihan raya kecil diadakan di kawasan DUN iaitu Bukit Selambau, Batang Air, Penanti, Manek Urai, Permatang Pasir dan Bagan Pinang. 3 pilihan raya diadakan kerana meletak jawatan iaitu di Permatang Pauh (PKR), Bukit Selambau (BEBAS) dan Penanti (PKR). Di 6 kali kawasan, ianya diadakan kerana wakil rakyatnya meninggal dunia. Tiga kawasan melibatkan tempat yang dimenangi oleh BN dalam PRU12 iaitu di Kuala Terengganu, Batang Air dan Bagan Pinang, 1 kawasan disandang oleh BEBAS (Bukit Selambau), 2 kawasan dimiliki PKR dan 3 tempat dimenangi oleh PAS dalam PRU12 iaitu di Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Dari segi kedudukan kemenangan dalam 8 pilihan raya kecil yang lepas, PAS menang 4 tempat, PKR menang 3 tempat dan BN menang di 1 tempat. BN mengekalkan tempatnya di Batang Air tetapi hilang kedudukan kepada PAS di Kuala Terengganu. Di enam kawasan lagi, BN gagal merampas kerusi dari PAS dan PKR tetapi majoriti kemenangan dikurangkan di Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir. Paling terserlah kemerosotoan undi PAS di Manek Urai. Biarpun Tok Guru berkampung, tetapi undi merosot teruk. Apakah ini petanda bahawa orang Melayu dalam PAS sudah mulai sedar mereka dipermainkan oleh PKR dan DAP?

Berbeza di Bagan Pinang, BN menang dengan majoriti yang besar. Jika kena calon dan gayanya, BN perlu mengekalkan kemenangan dan menaikkan majoriti di Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil nanti. Dalam DUN Bagan Pinang, orang Melayu ada 66% daripada 14,192 orang pengundi. Ini bermakna jumlah pengundi Melayu ada 9,366 orang. Apa akan jadi kalau undi Melayu ini berpecah? Sudah tentu ianya menguntungkan pihak lain bukan? Orang Melayu perlu matang dalam berpolitik, usah bergasak hingga menguntungkan pihak lain yang mengaut keuntungan daripada perpecahan sesama umat Islam. Alfatihah buat arwah. Moga orang Melayu mendapat pengajaran yang berguna daripada Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Permatang Pasir. Bila berpecah, kita akan diajar oleh orang lain. Berwaspadalah.