Friday, July 31, 2009

Usah Ganggu Stabiliti Negara


Tiada gunanya berdemonstrasi. Bukankah sudah ramai wakil rakyat daripada pembangkang dalam Parlimen?. Mengapa tidak gunakan Parlimen sahaja sebagai tempat memperjuang isu secara lebih rasional, tertib dan berperaturan?. Mengapa masih mahu mengugat stabiliti negara?. Esok kalau terjadi perkara yang tidak diingini, berseronoklah wartawan asing memburukan negara. Mahu mansuh ISA kah atau mahu mencipta momentum untuk mengembalikan 'mood' berdemontrasi membela Anwar Ibrahim? Kedamaian negara ini besar harganya, jangan gadaikan ia dengan emosi yang berlebihan. Setiap masalah boleh diselesaikan. Tiada guna menunjuk kuat di jalan raya jika masalah tidak selesai. Usah ganggu stabiliti negara. Banyak lagi perkara berfaedah yang mahu dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk kebaikan bersama. Sebelum nasi menjadi bubur, bertindaklah dengan waras.

Alfatihah

Alfatihah buat Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman (ADUN Permatang Pasir) yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 6.30 pagi akibat sakit jantung. Pilihan raya sekali lagi. Namun apa yang perlu direnungkan ialah tentang penyakit jantung. Sudah beberapa orang ADUN dan Ahli Parlimen yang meninggal akibat sakit jantung. Apa pun Alfatihah buat Allahyarham Hamdan. Moga Allah SWT mencucuri rohnya. Amin.

Wednesday, July 29, 2009

Kemiskinan Terbela Di Malaysia, Tiada Racist.

Berikut adalah sumber dari Utusan Malaysia, 9 April 2008. Perhatikan berapa peratus pendapatan isi rumah Bumiputera berbanding Cina dan India. Apakah racist untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu yang masih lagi ketinggalan di tanah sendiri?

Namun ada pihak yang mengecam artikel "Kaki Dalam Kasut" tulisan Tun Mahathir sebagai racist. Jika racist, pastinya pendapatan isi rumah bumiputera yang lebih tinggi berbanding kaum-kaum lain di Malaysia. Jika racist juga, pastinya Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang diperkenalkan pada 1970 hany akan menguntungkan bumiputera sahaja, tidak pada kaum-kaum lain. Baca apa kata mereka yang sebenarnya racist ini, (baca sini)."

Pada 1970, iaitu ketika bermulanya DEB, kadar kemiskinan luar bandar berlegar sekitar 59 peratus dan menurun secara berperingkat kepada 15 peratus pada 2002 dan seterusnya 12 peratus pada 2004, sehingga menjadi 7.1 peratus pada dua tahun lepas. (baca sini). Kalau kemiskinan luar bandar diatasi, bukankah ianya meliputi semua kaum? Bukannya hanya untuk orang Melayu sahaja, tetapi untuk kaum-kaum lain juga. Hanya orang tidak tidak tahu berterima kasih sahaja suka mengatakan orang lain sebagai racist.

Pada tahun 1970 terdapat 387 akauntan Cina, India 47 dan Melayu 40 orang dan kini jumlah ini meningkat sebanyak 17,836 bagi orang Cina, 1,247 bagi orang India dan 6,265 bagi orang Melayu. Oleh itu, semua kaum ini telah mendapat faedah yang begitu banyak dalam aspek pembangunan negara melalui DEB. (Mingguan Malaysia, 5 Julai 2009). Ini bermakna dasar DEB tidak hanya untuk orang Melayu sahaja, tetapi kaum-kaum lain turut mendapat faedah yang besar dari DEB. Kat mana yang racist?

Penguasan ekonomi Melayu sekarang ini masih lagi 19.4% sedangkan peratusan Melayu adalah 56% daripada 27.7 juta penduduk Malaysia. Oleh itu, apakah racist untuk memberikan hak yang adil pada tempatnya kepada mereka yang sepatutnya berhak? Mereka yang sengaja mempertikaikan, meminta yang berlebih-lebihan dan dalam masa yang sama mahu mengambil bahagian yang lebih dari kaum lain, itulah yang sebenarnya racist. 21 buah negara lain mahu mempelajar kaedah Malaysia menanggani kemiskinan, tetapi ada rakyat Malaysia sendiri tidak tahu erti menghargainya.

Thursday, July 23, 2009

Selamat Hari Jadi Perdana Menteri

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. 1Malaysia. Salam Hari Jadi Buat Perdana Menteri Malaysia.

Wednesday, July 22, 2009

Jalanraya Bukanlah Mahkamah, Bersabarlah.


Pada jam 6.30 petang, 20 Jun 2009, Neda Salehi Agha-Soltan ( Pelajar Islamic Philosophy di Azad University dan pekerja sebuah agensi pelancongan) telah ditembak oleh snipper yang dikatakan bersembunyi di atas bangunan di kawasan Kargar Avenue, Tehran. Video kematian Neda disebarkan melalui Facebook dan Youtube. Pihak CNN dan BBC yang pertama melaporkan tentang kematian Neda. Tuduhan mula disasarkan kepada Basij (satu kumpulan militia) yang pro kepada Ahmadinejad. Pada 22 Jun 2009, kumpulan Mehdi Karroubi dan Mir Hossein Mousavi mengajak rakyat Iran berdemonstrasi terhadap kerajaan Ahamdinejad dan menyalahkan pihak Basij yang bertanggungjawab atas kematian Neda. Belum pun selesai penyiasatan, hukuman sudah pun dijatuhkan di atas jalanraya. Benarkah Basij yang membunuh Neda? Siapa yang mula tuduh?


(Gambar: Kumpulan berbaju hijau yang menyokong Mousavi di Iran. Di Thailand ada yang berbaju kuning dan merah. Di Malaysia, ada yang berbaju hitam (mogok lapar) dan kuning (BERSIH). Apakah pemakaian secara beruniform ini secara kebetulan sahaja? Atau ianya dirancang dengan teliti oleh pihak-pihak tertentu?)

Jalanraya menjadi mahkamah untuk menghukum di Iran. Emosi mengatasi segala-galanya.

Menurut Mohammad Hassan Ghadiri (Duta Iran di Mexico) kematian Neda telah dirancang oleh CIA. Ini berdasarkan bagaimana video Neda tersebut dirakamkan dan peluru yang digunakan untuk membunuh Neda tidak dijual di Iran. "Evidence shows that (protesters) have done it themselves and have raised propaganda against the system." kata Ayatollah Khatami. Pada 4 Julai 2009, Ezzatollah Zarghami (Head of Islamic Republic of Iran Brodcasting) mengeluarkan kenyataan media bahawa video kematian Neda adalah palsu dan ianya sengaja dibuat oleh BBC dan CNN. Kematian Neda telah menjadi satu turning point untuk menghalalkan demonstrasi terhadap kerajaan Ahmadinejad di Iran. Berdasarkan video dari BBC dan CNN, Tehran menjadi medan demonstrasi. Jalanraya di Tehran menjadi pentas untuk rakyat memprotes kerajaan.


Pada 17 Julai 2009, Teo Beng Hock (Pegawai Khas Exco Selangor) didapati mati di bumbung Plaza Masalam, Shah Alam. Sejurus selepas itu, tuduhan mula disasarkan kepada SPRM yang dikatakan sebagai punca kematian Teo Beng Hock. Belum pun siasatan terperinci dilakukan, tuduhan mula dibina. Rakyat diajak untuk berkumpul di stadium dan jalan raya untuk bersama-sama simpati, sambil menuduh pihak kerajaan sebagai pesalah. Akhbar yang pro kerajaan dibakar. Adilkah sesuatu perkara diadili sebegini? Membina persepsi dan spekulasi memang mudah. Iktibar dari Tehran dan Xinjiang telah menunjukkan bahawa tuduhan memang mudah dibuat tetapi adakah ianya penyelesaian terbaik? Takziah buat keluarga Beng Hock. Rakyat Malaysia harus bersabar dan jangan cepat melatah dengan persepsi dan andaian. Tunggu hasil siasatan. Mahkamah bukanlah di atas jalanraya. Usah ikut emosi, bencananya amat besar. Kita sayangkan keharmonian dan perpaduan di negara ini.

Monday, July 20, 2009

Salam Israk Mikraj


Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud :

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.”(Q.S. An-Najm: 13-18).

Salah satu peristiwa penting Israk Mikraj adalah perintah solat lima waktu yang diterima oleh baginda Nabi SAW di Sidratul-Muntaha. Mukjizat Israk Mikraj tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Ianya berlaku pada umat Nabi Muhammad SAW, umat akhir zaman. Namun sejauh manakah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa ini. Bermuhasabah kita.

Wednesday, July 15, 2009

Pengundi PAS Sudah Berubah Hati?

PAS menang di Manek Urai pada 14 Julai 2009. Dengan berkampungnya Muryidul Am dan kehadiran Anwar Ibrahim yang bergegas pulang dari Perth, Australia pada malam 12 Julai 2009, PAS hanya mampu dapat 65 undi. Kejatuhan mendadak berbanding majoriti 1,352 undi yang diperolehi PAS pada Mac 2008. Ke mana perginya undi-undi PAS sebelum ini? Pertama, mungkinkah orang PAS sendiri tidak bersetuju dengan pemilihan Nik Aziz yang mengenepikan calon lulusan Universiti Al-Azhar di Manek Urai. Apakah Nik Aziz tidak iktiraf bekas mudir yang berkelulusan Al-Azhar untuk menjadi calon di Manek Urai?

Dari Manek Urai, semua perhatian akan beralih kepada MU yang akan beraksi pada 18 Julai 2009 ini. Kehadiran Michael Owen yang menyarung jersi no. 7 pasti ditunggu-tunggu oleh peminat MU.

Kedua, sikap Nik Aziz yang cakap lepas dan menuduh yang bukan-bukan hanya menurunkan lagi undi PAS. Pengundi PAS sudah sedar bahawa "PAS Untuk Semua" tetapi "syurga bukan untuk PAS sahaja". Tidak undi PAS, tidak bermakna masuk ke neraka. Ketiga, pengundi sudah sedar, 19 tahun pemerintahan PAS, orang bawahan PAS hanya digula-gulakan dengan ceramah, ceramah dan ceramah. Bila buat Ladang Rakyat, untungnya hanyalah menantu dan orang-orang terdekat dengan Nik Aziz sahaja. Berbekal 65 undi, "Fauzi Ikan" hanya nyawa-nyawa ikan sahaja di Manek Urai. Fauzi perlu menunaikan tanggungjawab dengan baik, jangan tiru sikap Guan Eng yang menyalahkan orang di Kampung Buah Pala. Jika tidak kerana "pengundi 71" dan "pengundi import", pasti PAS sudah tertiarap di Manek Urai. Manek Urai atau lebih dikenal dengan "MU" akan berlarutan di stadium Sabtu ini. Malaysia bertemu dengan MU. Siapa pula yang menang di padang nanti?

Friday, July 10, 2009

Kekayaan Negeri Selangor Semakin Susut Di Bawah Khalid Ibrahim


(Gambar: Bersungguh benar Khalid Ibrahim. Seronok jadi Menteri Besar di negeri yang terkaya di Malaysia?). Apakah kekayaan itu masih ada lagi? Berdasarkan kutipan hasil negeri pada 1 Jun 2009, didapati terdapat pengurangan hasil sebanyak RM140 juta jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lepas. Berdasarkan hasil tersebut, unjuran hasil negeri Selangor dijangkakan akan menurun sebanyak RM300 juta pada Disember 2009 ini. Fenomena penurunan ini adalah yang pertama kali di Selangor sejak 7 tahun lepas. Apakah punca berlakunya penurunan hasil ini? Masalah ekonomi global? Penurunan berlaku kerana pengurangan hasil premium sebanyak RM102 juta dan pengurangan kutipan royalti pasir sebanyak RM14 juta. Pengurangan hasil ini disumbangkan oleh kencenderungan Khalid Ibrahim yang kerap menangguh dan membatalkan permohonan pembangunan hartanah daripada syarikat-syarikat bumiputera. Kalau tolak bumiputera, Khalid guna syarikat mana?


Bersih sungai atau cipta projek untuk rakan kongsi di luar? (baca sini)

Pada 17 Mei 2009, Khalid mencadangkan projek pembersihan Sungai Klang. Kemudian pada 18 Mei 2009, terus buat lawatan ke Singapura. Kononnya hendak belajar sistem di Singapura. Sebenarnya Projek Pembersihan Sungai Klang yang bernilai RM2 bilion tersebut telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat dari Singapura. Tanah-tanah rezab Melayu di sepanjang 6km di sepanjang Sungai Klang diberikan hak pembangunannya kepada syarikat terbabit sebagai trade off pembiayaan pembersihan Sungai Klang. Bijak benar Melayu yang bernama Khalid ini, bagi syarikat Singapura bersih sungai kemudian reward tanah rezab Melayu untuk dibangunkan kepada syarikat terbabit. Siapa yang untung?

Tricia Yeoh

Apakah pembabitan syarikat Singapura ini ada kaitannya dengan perlantikan Low Siew Moi sebagai Penasihat Kewangan kepada Khalid Ibrahim dan perlantikan Tricia Yeoh sebagai Pegawai Penyelidik Dasar-Dasar Awam kepada Khalid Ibrahim. Kedua-duanya hingga kini belum pun mengangkat sumpah menyimpan rahsia-rahsia kerajaan negeri. Apakah Khalid Ibrahim sudah ketandusan pegawai-pegawai Melayu untuk menasihatinya? Hinggakan memaksa Nadzwan (Bekas Setiausaha Nik Nazmi Nik Ahmad) melaporkan diri sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Khalid lebih pentingkan kroninya. Kekayaan Selangor di bawah pentadbiran Khalid semakin susut. Inilah padahnya mempercayai janji-janji PKR. Orang PAS dipinggirkan, PKR kaut kekayaan, DAP buat hal sendiri di Selangor. Beginilah masalahnya, bila berparti secara pakat-pakat kosong sahaja. Esok lusa bergasaklah mereka.

Thursday, July 9, 2009

Manoharan : Keluar Sahaja Sudah Buat Hal

“Saya tengok Tuan Speaker (Teng Chang Khim) memakai songkok. Saya tidak bersetuju .. kita berjuang atas prinsip bahawa kita tidak akan memakai songkok kerana tidak diiktiraf sebagai Bumiputera,” kata Manoharan (ADUN Kota Alam Shah) ketika ditanya pemberita ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 8 Julai 2009 (baca sini). Manoharan keluar dari ISA pada 2.30 petang, 9 Mei 2009. Keluar sahaja dari ISA, terus Manoharan buat hal. Kali ini sasarannya adalah mengungkit status bumiputera dan mempertikaikan pemakaian songkok. Tindakan Manoharan ini adalah satu perbuatan biadab dan tidak mengenang budi. Khalid Ibrahim sendiri selaku Menteri Besar Selangor dan sering memakai songkok harus menjawab sendiri pertikaian Manoharan ini. Mengapa Manoharan cetus isu ini? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk memikat kembali hati rakan-rakannya dalam Hindraf yang sudah marah kerana isu Kampung Buah Pala. Keluar sahaja dari ISA, bukan mahu berkhidmat kepada rakyat tetapi mencetuskan pertikaian dan kekeliruan. Inilah sikap pemimpin PKR dan DAP.

Wednesday, July 8, 2009

Sekali Lagi Nik Aziz Cakap Lepas

"Tok Ayah Pin dicap sesat. Habis kenapa Umno tidak sesat? Sama-sama tidak kenal agama belaka. Al-Arqam sesat kerana apa? Salah akidahnya. Ayah Pin sesat, kenapa? Salah akidahnya. Umno kenapa tidak sesat lagi? Salah juga akidah. Tolak Islam, ambil (fahaman) kebangsaan. Tak usah kata kami terima Islam, kami terima Islam. Tak payah cakap banyak, aku reti juga," kata Nik Aziz dalam ceramahnya di Chuchoh Puteri, Manek Urai pada 8 Julai 2009. (baca sini). Sekali lagi Nik Aziz cakap lepas dan yang bukan-bukan ketika berkempen. Mengapa perlu bercakap demikian? Nampaknya Nik Aziz sengaja memprovokasi UMNO agar menghentam dirinya supaya simpati timbul di kalangan pengundi. Ini strategi Nik Aziz untuk meraih undi selain meletakkan gambar sedang berdoa dan menangis di Manek Urai. Tindakan Nik Aziz ini amat memalukan buat seorang yang pengikutnya panggil sebagai Tok Guru. Beristigfarlah.

Monday, July 6, 2009

Khalid Ibrahim Tutup Premis NGO Di Selangor

Menurut The Sun, mukasurat 2, 90% pusat komuniti dan dewan serbaguna di Selangor telah dikembalikan untuk pihak berkuasa tempatan. Gambar atas menunjukan 100 orang penduduk di Taman Maju Jaya dan Taman Cheras Indah memprotes tindakan Khalid Ibrahim menutup pusat kegiatan komuniti, Yayasan Bakti Nusa di kawasan mereka. Salah satu tempat yang ditutup di Pandan Perdana akan dibina driving range oleh Khalid Ibrahim. Nampaknya, kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Khalid Ibrahim lebih mengutamakan pemaju dan meminggirkan kepentingan masyarakat. Sama seperti rakannya, Guan Eng, Khalid Ibrahim lebih mendahulukan pemaju dari rakyat. Wakil rakyatnya pula sibuk berdemonstrasi daripada berkhidmat kepada rakyat.


Inilah projek terbesar Khalid untuk Selangor sehingga kini. Tutup pusat komuniti dan NGO bagi Khalid adalah perkara kecil sahaja. Cuba bayangkan apa akan berlaku kalau projek RM100 juta di Sepang ini diteruskan ketika dunia sedang menghadapi swine flu sekarang ini? Orang di Pendang pun marah kalau kandang itu mahu dibina di tempat mereka. Mereka takut terkena selsema. PKR, DAP dan PAS bila memerintah dan bila dapat kuasa, mereka sudah lupa pada janji-janji yang dikata. Yang mereka ingat adalah projek, projek dan projek. Kalau kantoi rasuah, mereka akan kata itu adalah konspirasi. Yang kena pada mereka semua halal tapi bila tak kena sahaja semuanya konspirasi. Itulah dia ajaran Anwar bin Ibrahim di Malaysia ini. Apakah pengundi DAP, PAS dan PKR tidak serik-serik lagi?

Guan Eng Memang Pandai Berlakon

Mula mula jadi Ketua Menteri, Guan Eng berkata akan tinggal di rumah milik keluarganya sebagai langkah berjimat cermat. Pada 26 Jun 2008, Guan Eng berpindah ke Seri Teratai. Gambar di atas menunjukkan Guan Eng sedang main bola di halaman rumahnya di Seri Teratai bersama dengan anak dan isterinya Betty Chew. Setahun selepas itu, Guan Eng tidak mahu tinggal di situ lagi. Guan Eng berpindah ke banglo yang lebih mewah di No. 25, Jalan Pinhorn. Guan Eng berpindah lagi. Katanya di Seri Teratai ada anai-anai, semut api dan musang. Maka berbelanjalah Guan Eng, ratusan ribu ringgit untuk kos pengubahsuaian banglo mewah di Jalan Pinhorn (baca sini). Inilah amalan cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang diamalkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ini.


Gambar rumah penduduk di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang. Cekap, akauntabiliti dan telus, rumah banglo Guan Eng kalau hendak dibanding dengan rumah penduduk di Kampung Pala amat jauh sekali bezanya. Guan Eng tidak mahu turun ke Kampung Buah Pala. Dua orang timbalan diminta selesaikan masalah tersebut. Sampai ke sudah, Guan Eng tidak mahu turun. Akhirnya, untuk cuci tangan, Guan Eng minta kerajaan pusat selesaikan pada 5 Jun 2009 (baca sini).

Guan Eng memang pandai berlakon. Bila timbalan ketua menteri tidak buat kerja, dia minta letak jawatan. Bila ada anai-anai, semut api dan musang berpindah ke banglo mewah. Bila ada masalah di Kampung Buah Pala, minta timbalan ketua menteri yang selesaikan. Bila tidak boleh selesai, minta bantuan kerajaan pusat. Bila memerintah, perlu bertanggungjawab. Usah lepas tangan begitu sahaja. Memimpin macam Khalifah Umar Abdul Aziz, amal ma'aruf, nahi mungkar, apakah Guan Eng lupa pada kata-kata yang pernah diungkapkan ini?

Sunday, July 5, 2009

18 Tahun PAS Perintah Kelantan, Inilah Produknya

Majalah "Qiadah: Celebrating Differences" ini diterbitkan khas untuk pengundi Cina oleh PAS ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang. Ianya diberikan secara percuma. Dalam majalah ini dimuatkan cerita tentang PAS Kelantan yang kononnya tidak racist dan membuat monumen yang besar seperti tokong yang tidur, duduk dan berdiri di Kelantan. Namun segalanya berubah bila datang pilihan raya kecil di Manek Urai. Kedengaran di Kedah, ada usaha untuk merobohkan tokong dan menutup pusat sembelihan babi. Apakah isu ini sengaja dibangkitkan untuk mengambil hati pengundi di Manek Urai? Beranikah PAS memberikan majalah Qiadah ini secara percuma di Manek Urai?
Gambar: Patung Buddha duduk yang terdapat di Tumpat. Azizan Abdul Razak (MB Kedah) menafikan usaha kerajaan PAS Kedah untuk merobohkan kuil dan tokong di Kedah. (baca sini). Azizan menuduh DAP sengaja mencetuskan isu tersebut. Masa pililhan raya di Kuala Terengganu, PAS dan DAP sengaja bergaduh tentang isu hudud. Lepas pilihan raya, baik balik. Di Bukit Gantang, PAS langsung tak berani sentuh dan gaduh dengan DAP sebab hendak ambil hati pengundi di Kuala Sepetang dan Taiping yang majoritinya adalah Cina. Di Manek Urai, PAS sengaja bersandiwara bergaduh dengan DAP tentang isu tokong dan sembelihan babi. Lepas pilihan raya Manek Urai, berpeluk dan berdakap kembalilah DAP dan PAS. Sandiwara gaduh ini sengaja dibuat buat untuk menunjukkan bahawa PAS memang parti yang perjuang Islam.
Gambar: Patung Buddha yang berdiri di Bachok. Ada atau tidak mana-mana menara masjid di Kelantan yang lebih tinggi dari patung yang berdiri ini? Mengapa Nik Aziz dan kerajaan PAS Kelantan tidak mahu bina masjid yang lebih tinggi dari patung ini? Ke mana duit balak dibelanjakan? Inilah produk kerajaan PAS di Kelantan selama 18 tahun mereka menguasai Kelantan. "Sebagaimana difardukan solat, begitulah kewajipan mengukuhkan kerajaan Islam Kelantan agar gagasan Islam tidak pupus dan lupus tidak kira dalam pilihanaraya kecil atau pilihanraya umum," kata Husam Musa ketika berkempen untuk pengundi muda di Hotel Vistana, Kuala Lumpur malam tadi, 4 Julai 2009 (baca sini). Undi PAS bukan fardu ain. Undi PAS boleh kukuhkan kerajaan Islam?

"Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat... Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat. Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala," kata Nik Aziz semalam di hadapan 400 orang ahli Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) di Hotel Vistana. Tokong yang duduk, berdiri dan tidur di Kelantan siapa yang buat? Siapa bagi izin untuk buat? Buat pengundi PAS, sila buka mata dan minda anda. Bermuhasabalah.

Skandal Balak Di Kedah

Pada 19 Jun 2008, Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah) membuat kenyataan akan menebang balak di kawasan tadahan air untuk menambah pendapatan negeri Kedah. (baca sini). "Kita telah buat kajian kalau kita tebang balak setelah ditolak kos-kos, kita akan dapat RM100 juta setahun." kata Azizan. Namun siapa yang dapat tender untuk tebang balak ini? Gambar atas menunjukkan peta kawasan yang dikatakan mempunyai nilai balak RM100 juta setahun.

Ini adalah surat permohonan untuk menebang balak daripada syarikat AY Trading kepada Pengarah Jabatan Hutan Negeri Kedah pada 15 September 2008. Kawasan balak yang terbabit adalah di Lot 1771 dan Lot 1805, Bukit Kaci Pelanduk, Kubang Pasu. Kawasan ini dekat dengan Universiti Utara Malaysia. Ada sesiapa perasan ada lori-lori balak yang melalui Lebuhraya Changlun-Jitra pada waktu malam hari? Kerajaan Negeri Kedah amal tender terbuka atau beri projek ini kepada orang-orang terpilih sahaja?


Cek bernilai RM10,000 ditulis atas nama Pengarah Perhutanan Negeri Kedah. Tulis surat mohon tebang balak, kemudian bagi pelan lokasi balak dan beri cek RM10,000. Apa maksudnya? Suap? Orang-orang PAS Sungai Limau yang menyokong penuh Menteri Besar Kedah tidak mendapat peluang pun untuk merasai duit kayu balak ini. Melepaslah mereka. Duit ceramah dikutip dari orang kampung, tetapi duit balak orang kampung dapat semua kah? Siapa Aziz Ahmad, Pengurus AY Trading ini? (baca sini). Balak habis ditebang. Di Lojing, Kelantan, kawasan seluas 40km persegi telah habis ditebang dengan alasan Ladang Rakyat. Di Bukit Kachi, Kedah, cek RM10,000 dihulur untuk menebang balak. Mudah benar PAS memerintah sesebuah negeri. Tak cukup duit, tebanglah balak. Inilah mungkin yang dinamakan sebagai membangun bersama Islam?

Saturday, July 4, 2009

Keretakan Pakatan Menanti Belah

(Gambar: Thomas Su). Pada jam 5 petang, 1 Julai 2009, keretakan Pakatan Rakyat berlaku di Kedah. Thomas Su (Pengerusi DAP Kedah/Perlis) mengumumkan untuk keluar dari Pakatan Rakyat di Kedah. Pada 3 Julai 2009, ADUN DAP di Kota Darul Aman, Lee Guan Aik mengisyitharkan dirinya sebagai calon bebas dan berkecuali. Mengapa DAP keluar di Kedah? Alasan mereka adalah kerana pusat sembelihan babi. Di Kedah, PAS ada 16 kerusi, PKR 5 kerusi dan DAP satu kerusi. Dengan keluarnya DAP dari pakatan pembangkang maka kedudukan sekarang menjadi 21-Pakatan, 14-Barisan Nasional dan 1 Bebas.

Ramai yang membayangkan bahawa tindakan Lee Guan Aik akan menjadi pencetus kepada perpecahan yang besar dalam pakatan di Kedah sebagaimana tindakan Nasarudin Hashim (ADUN Bota) pada 25 Januari 2009 dengan melompat masuk ke dalam PKR tetapi membuat "u turn" selepas itu. Atas kebimbangan ini, maka Anwar Ibrahim terpaksa memanggil perjumpaan tergempar semua Ahli Parlimen dan ADUN di Kedah dan Pulau Pinang di Yayasan Aman Penanti pada 5 Julai 2009. Dalam kebimbangan menghadapi perbicaraan liwat pada 8 Julai 2009, Anwar sebenarnya bimbang juga dengan keretakan yang sedang berlaku dalam pakatan.


Di Pulau Pinang, penduduk Kampung Buah Pala marah pada Guan Eng. "Adakah permintaan itu banyak sangat? Jika Lim tidak dapat melakukan ini untuk rakyat yang mengundi kerajaannya, maka beliau harus meletak jawatan dan balik ke negerinya di Melaka," kata seorang penduduk. Mereka marah kerana Guan Eng tidak mahu membela permintaan mereka agar tanah 23 buah keluarga tidak diambil oleh oleh pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

“Dalam aspek ini, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa tanah itu milik koperasi dan pemaju. Suka tak suka, kena akur terhadap keputusan undang-undang sungguhpun penduduk itu telah tinggal lama di sana,” kata Guan Eng. Pada pandangan Guan Eng, 23 keluarga di situ tidak memberi apa-apa kesan kepada pentadbirannya. Guan Eng mengarahkan dua orang Timbalan Menterinya bagi menyelesaikan masalah. Dia sendiri takut untuk turun berdepan dengan pengundinya. Takut patungnya dibakar oleh orang kampung.


(Yayasan Aman, tempat Anwar dijangka bertemu dengan semua Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan pada 5 Julai 2009. Apakah bertemu untuk "mengamankan" keretakan yang sedang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang?)

“Saya kesal ada segelintir anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba hendak menjadi hero dan mengeruhkan keadaan,” kata Guan Eng. Kenyataan Guan Eng ini ditujukan kepada siapa? Kepada Zahrain? Lebih kalut bila Zahrain Mohamed Hashim (Pengerusi PKR Pulau Pinang) menyindir Guan Eng kembali pada 3 Julai 2009. Di Kedah, pakatan pembangkang sudah kalut sebab pusat sembelihan babi. Di Pulau Pinang, kalut kerana Kampung Buah Pala. Anwar Ibrahim segera panggil untuk berjumpa di Yayasan Aman. Apakah perjumpaan ini bertujuan untuk mengugut mana-mana ADUN yang tidak bersetuju agar letak jawatan? Atau mengurung mereka di Yayasan Aman? Retak sudah retak, hanya menanti belah sahaja. Situasi di Alor Setar dan Kampung Buah Pala nampaknya lebih meriah dari Manek Urai, tempat pilihan raya bakal berlaku. Besar kemungkinan, pada penghujung tahun ini, Pakatan Pembangkang akan musnah dan berpecah belah.

Wednesday, July 1, 2009

Conteng Menconteng Sudah Jadi Budaya Politik Kampus Di Universiti Malaya

Pada 24 Jun 2009, sekumpulan mahasiswa pro pembangkang disyaki telah bertindak menconteng perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebagai tanda protes kehadiran Datin Seri Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri) ketika datang ke Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya untuk merasmikan "Power of 10 Sen : Gaza Di Bela"(baca sini). Apakah wajar pembelaan untuk kanak-kanak Palestin disambut dengan tulisan caci dan kesat? Apakah kumpulan tersebut tidak suka wang dikutip untuk membantu kanak-kanak di Palestin?.

(Gambar di dinding, tulisan telah dipadam dan dicat semula). Menurut laporan polis, perbuatan menconteng dan menyimbah petrol di permaidani dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian. Ini bermakna perbuatan ini telah dirancang. Polis masih mencari tiga orang yang disyaki untuk tampil membantu siasatan iaitu Shazni Munir Ithnin (Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM), Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani (baca sini). Jika tidak bersalah, mengapa mereka takut untuk tampil membantu siasatan polis.

Pada 2 Februari 2008, tulisan "OM" diconteng di surau Kolej Kediaman Ke 2. Siapa dalang menconteng bangunan ini? Tulisan tidak jelas. Ia menunjukkan seorang yang tidak biasa dengan tulisan ini. Seperti baru belajar menyembur contengan ke dinding. Adakah persatuan yang tidak suka dengan pengetua melakukan kerja-kerja ini?. (Rujuk pemikirmahasiswaonline). Contengan ini dibuat ketika ketika kehadiran Tun Abdullah (Bekas Perdana Menteri) ke Universiti Malaya pada 2 Februari 2008 untuk ke program "Alumni Day : Home Coming 2008". Apakah ini tanda protes kepada kehadiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di UM? Ketika Datin Seri Rosmah datang ada lagi contengan dibuat. Modus protes yang sama tetapi kepada dua orang yang berbeza.

Sebelum itu, pernah berlaku, pejabat PMIUM diconteng dengan semburan cat juga. Lihat baik baik pada sasaran penyembur adalah pada dinding sebelah kiri pejabat. Seakan sama dengan tempat sasaran penyembur dalam kejadian conteng pada 24 Jun 2009 di Akademi Pengajian Islam dan tulisan "OM" pada 2 Februari 2008. Penyembur menggunakan tangan kanannya untuk menyembur spray tersebut. Siapa yang berani menyembur sorang-sorang di pejabat PMIUM? Tentunya ia dirancang rapi agar tidak kantoi dengan pihak keselamatan.

Satu lagi semburan pada pejabat PMIUM dengan tulisan yang lebih kesat lagi. Nampaknya hati orang yang menyembur ini tergamak mencaci apa-apa sahaja untuk mencapai niatnya. Apakah ini sengaja dibuat untuk reverse psychology dan membuatkan pihak lain dituduh sebagai pesalah? Mengapa PMIUM perlu dikaitkan dengan binatang tersebut? Apakah ianya dibuat untuk meraih simpati murahan daripada pelajar agar marah pada pihak tertentu?

Pada jam 5 pagi, 16 Januari 2009, pelajar-pelajar Universiti Malaya dikejutkan dengan penemuan dua kepala babi yang diletakkan atas bendera PAS dalam surau Akademi Pengajian Islam dalam kawasan Universiti Malaya (baca sini). Perhatikan betul-betul huruf-huruf yang disembur tersebut, bahan yang digunakan adalah sama iaitu penyembur cat. Apakah orang yang sama melakukan dan merancang perkara ini?

Sudah ada empat kejadian propaganda psywar menggunakan bahan penyembur di Universiti Malaya. Semburan di dinding pejabat PMIUM, semburan tulisan "OM" di surau, semburan tulisan "PAS" dalam kes kepala babi pada 16 Januari 2009 dan yang terbaru semburan pada dinding dewan Akademi Pengajian Islam pada 24 Jun 2009. Siapa yang melakukan semua ini? Apakah orang yang sama yang melakukannya? Ianya bukan lagi satu kebetulan tetapi ianya nampak seperti dirancang. Bertanggungjawablah orang yang membuatnya menghadapi hukuman yang setimpal. Jangan salahkan peraturan dan undang-undang bila sudah dihukum. Banyak lagi aktiviti berfaedah untuk tujuan membela pelajar daripada kerja conteng menconteng dinding. Bermuhasabahlah buat mereka yang mengaku pro kepada perjuangan mahasiswa.