Thursday, April 30, 2009

Pilihan Raya Kecil Lagi Di Kota Alam Shah?

Berikut adalah kenyataan yang diambil dalam Malaysiakini pada 30 April 2009 berkaitan kemungkinan pilihan raya kecil diadakan di Kota Alam Shah, Selangor. Setelah 6 pilihan raya kecil termasuklah di Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei 2009, satu lagi kawasan di bawah negeri Pakatan Rakyat berkemungkinan menghadapi pilihan raya kecil. Puncanya ialah kerana mahu meletak jawatan. Mengapa menjadi wakil rakyat jika belum pun habis mandat sudah mahu meletak jawatan?

Ianya seumpama satu percaturan taktikal bagi Pakatan Rakyat untuk mencipta momentum ke arah pilihan raya umum yang ke-13. Satu persatu kawasan yang dimiliki oleh mereka akan dijadikan sebagai testing ground untuk menguji mandat rakyat. Lebih-lebih lagi bila mereka tahu BN tidak mahu melayan perangkap mereka dan tidak mahu makan umpan mereka.

(Gambar: Nik Aziz sudah mula ditegur oleh anak sendiri. Ada yang mengecam anak Nik Aziz sebagai 'mee goreng'. Terpulang kepada Nik Aziz sekarang. Mahu mendengar kumpulan mee celup yang diketuai oleh Anwar atau mendengar kumpulan yang dianggap sebagai 'mee goreng' yang sayangkan perpaduan antaranya dengan Haji Hadi Awang?)

Buat BN, wajar untuk bertanding di mana-mana tempat sekalipun. Soal kalah dan menang, ketepikan sebentar. Buat PAS, wajar juga untuk bertanding di mana saja PKR mahu meletak jawatan. Inilah masa terbaik untuk golongan ulama dalam PAS meruntuhkan keegoaan kumpulan Erdogan yang sedang menguasai orang Melayu dalam PAS dan PKR sekarang. Nik Abduh dan kumpulan ulama perlu mempertahankan PAS daripada dikuasai oleh kumpulan Erdogan. Pilihan raya kecil ini adalah wadah terbaik untuk beradu kekuatan antara Ulama dan Erdogan. PAS For All lawan Kepimpinan Bersama Ulama. Nik Abduh layak bertanding Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Wednesday, April 29, 2009

Anwar Berurut Di Thailand

Gambar Yoon (tukang urut) bersama dengan Anwar Ibrahim di Thailand. Salah satu soalan yang ditanyakan kepada Anwar oleh Yoon dalam rancangan tersebut adalah "What does he think of the sodomy charges against him? Kenapa soalan berkaitan sodomi perlu bersama ketika Anwar sedang berurut? (sila baca di sini).
Berikut adalah gambar Anwar Ibrahim sedang diurut oleh seorang tukang urut lelaki dalam rancangan "Cheepachorn Loke" di Channel 9, sebuah rangkaian televisyen Thailand pada jam 11.15 malam, 16 April 2009, (sila baca sini). Anwar berada di Thailand selepas berkempen di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Mungkin penat agaknya. Nampaknya Anwar tidak segan silu untuk berurut di hadapan televisyen dan lebih selesa diurut oleh seorang tukang urut lelaki. Perlakuan Anwar ini menyerlahkan lagi siapa sebenarnya Anwar Ibrahim.

Tuesday, April 28, 2009

Sila Boikot Kasut Menghina Kalimah Allah Ini

Gambar di atas memaparkan kasut keluaran PUMA yang bertulis kalimah "Allah". Tidak sepatutnya kalimah "Allah" ditulis pada kasut. Apakah ianya sengaja ditulis sedemikian untuk memainkan sentimen agama di kalangan umat Islam? Walaupun disedari oleh sesetengah pihak, namun ada pihak yang menyatakan ianya bukan tulisan kalimah "Allah" tetapi adalah tulisan "Cool". Apa pun tafsiran mereka, ianya amat menguris perasaan umat Islam. Pihak terbabit harus menarik balik penjualan kasut ini di pasaran. Jika ada sesiapa yang mahu membeli kasut, sila berhati-hati dengan tulisan dan corak yang ada pada kasut yang hendak dibeli. Sebagai pengguna, kita berkuasa untuk memilih. Sila boikot produk di atas.

Saturday, April 25, 2009

Karpal Jatuh Kerusi Roda Kerana Tulah Raja?

Pada 24 April 2009, Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) jatuh dari kerusi roda di Mahkamah Tinggi Kuantan, ketika diusung naik ke tingkat satu untuk mewakili Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dalam perbicaraan kes pembalakan di Pahang. "Sudah sampai masanya kita mempunyai sistem yang baik bagi kemudahan OKU, nasib baik tidak berlaku apa-apa ke atas saya, kalau tidak, akan ada pilihan raya kecil lagi" ujar Karpal Singh. Apakah Karpal Singh terkena tulah raja?

Menurut Kamus Dewan, tulah adalah kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan (melakukan sesuatu yang kurang baik terhadap orang tua-tua, menderhaka kepada raja dan lain-lain) kualat, kutuk. Contohnya, ampun beribu-ribu ampun, takutlah patik menjadi tulah duduk di atas peterana ini tempat bersemayam baginda. ~papa kutuk mendatangkan kesengsaraan (kepapaan); takut ~ baru takut mendapat kecelakaan kerana melawan perintah ibu dapa; takut akan ~ baginda takut akan kualat baginda (Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2007).

Kejatuhan Karpal Singh yang menganggap dirinya sebagai "king" adalah sesuatu yang tidak dirancang oleh sesiapa pun. Malah Unit Amal PAS yang memakai baju berwarna merah turut sama membantu mengusung Karpal Singh. Akhirnya tertiarap juga Karpal. Apakah mereka yang membantu Karpal ini tidak hati-hati hingga menyebabkan Karpal jatuh? Kalau dalam permainan catur, jika "king" sudah jatuh maka tamatlah permainan. Bila "king" Pakatan Rakyat jatuh, adakah ini petanda buruk bahawa Pakatan Rakyat juga akan mula jatuh di negeri-negeri yang dikuasainya. Kebetulan hari Karpal jatuh adalah sama dengan tarikh perlantikan Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru oleh Presiden UMNO. Mampukah angin perubahan berlaku di empat negeri tersebut?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM).

Wednesday, April 22, 2009

Penanti: PAS, DAP dan PKR Bergasak Sakan

Mohd Hamdan Abdul Rahman (ADUN PAS Permatang Pasir) layak menjawat jawatan TKM1. Namun Hamdan yang sudah dua penggal menjadi wakil PAS tidak dianggap calon yang sesuai oleh DAP dan PKR. Jawatan Exco Kerajaan Negeri pun tidak diberikan kepada Hamdan. Oleh itu, amat sesuai PAS bertanding di Penanti untuk menambah bilangan wakil rakyat PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Beliau (Mohammad Fairus) belum ditentukan kesalahannya, dia boleh duduk di situ (sebagai ADUN). Masalah dalaman, perhubungan parti (PKR) kena selesaikan masalah itu, bukannya (dengan cara) letak jawatan. Ia boleh menghilangkan keyakinan rakyat dan akar umbi. Oleh itu, tindakan PAS (untuk) bertanding ini, untuk menyelamatkan keadaan." kata Omar Hassan, Yang Dipertua PAS, Permatang Pauh pada 22 April 2009 dalam Malaysiakini. (baca sini). PAS tidak bersetuju Fairus meletak jawatan terlalu awal sebelum keputusan siasatan dilaporkan. Apakah kenyataan ini menunjukkan bahawa PAS mahu juga jawatan Exco atau TKM1 di Pulau Pinang?

Sebelum itu, pada 20 April 2009, Zahrain Mohamed Hashim (Pengerusi PKR Pulau Pinang) mengecam Lim Guan Eng dengan mengatakan “sebagai parti yang bergabung di bawah satu pakatan, mengapa beliau tidak boleh berbincang sendiri dengan Anwar atau saya berhubung isu mencari calon pengganti Mohammad Fairus sebagai TKM1 dan ADUN Penanti? Mengapa suka sangat meluahkan perasaan kepada media? Apakah kita sudah tidak ada saluran untuk berbincang mengenai perbezaan pendapat yang timbul?,”. Zahraian berkata demikian kepada Bernama pada jam 5.00 petang mengulas kenyataan Lim Guan Eng yang melahirkan rasa kecewa berhubung perletakan jawatan Fairus di Penanti. Sudah tentu ada green light dari Anwar Ibrahim sendiri kepada Zahrain agar mengecam Lim yang meletakkan masalah yang berlaku di Penanti semuanya "di atas kepala Anwar Ibrahim".

Tidak cukup dengan itu, episod bergasak antara Zahrain dan Lim Guan Eng berlarutan bila ada campurtangan dari wakil DAP dan PKR. Tony Pua (Ketua Penerangan DAP) tampil membela Lim Guan Eng dalam Malaysiakini pada 21 April 2009. Pua menyatakan Syed Husin (Timbalan Presiden PKR) tidak wajar mendesak Lim Guan Eng "tutup mulut" mengenai perletakan jawatan Fairus. Manakala, Syed Husin pula dalam Malaysiakini pada 20 April 2009, meminta Lim Guan Eng berhenti bercakap isu Fairus menerusi media. Kedua-duanya mengunakan media yang sama iaitu Malaysiakini. Untuk merebut jawatan orang nombor 2 dalam kerajaan Pulau Pinang, DAP dan PKR telah bermesyuarat menggunakan media untuk saling tuduh menuduh antara satu sama lain.

Fairus meletak jawatan TKM1 pada 21 Mac 2009 dan sebagai ADUN pada 16 April 2009. Sudah sebulan Fairus meletak jawatan sebagai TKM1, namun pengganti yang sesuai gagal dicari oleh Lim Guan Eng dan Zahrain. Malah sudah sebulan, Guan Eng tidak pernah berbincang pun dengan Anwar yang dianggap sebagai Ketua Pakatan Rakyat, berhubung calon pengganti TKM1. Ini menunjukkan bahawa, krisis yang berlaku dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang amat besar. Susah sangatkah hendak mengisi kekosongan? Bukankah ada lagi ADUN Melayu dari PKR dan PAS untuk diangkat ke jawatan TKM1?

Ini juga menunjukkan sikap sebenar DAP bila menguasai pentadbiran negeri. DAP tidak akan tunduk dan dengar cakap dari orang Melayu dari PKR. Apatah lagi PAS, yang sudah dipinggirkan dan dianak tirikan oleh DAP dalam pemilihan Exco Kerajaan Negeri. DAP susah hendak putuskan pengganti jawatan TKM1 kerana itu jawatan yang disandang oleh orang Melayu. DAP cepat buat keputusan kalau hak orang Melayu seperti DEB mahu dihapuskan. Itulah perangai DAP. Buat orang Melayu dalam PAS dan PKR, nilaikanlah perangai DAP yang sebenar.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, April 21, 2009

Taib Azamudden Dijatuhkan Kerana Video Ini?

Pada 14 April 2009, Taib Azamudden, bekas imam besar Masjid Negara, tewas jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Baling kepada Johari Abdullah (ADUN Kupang) dengan majoriti lebih 40 undi daripada lebih 600 perwakilan. Apakah kerana ungkapan dalam video ini maka Taib Azamudden (Ahli Parlimen PAS Baling) dijatuhkan dalam PAS?. Taib Azamudden mengajak ahli-ahli parlimen agar melihat tuntutan pengunaan kalimah Allah bukan dari aspek politik tetapi dari segi kepentingan untuk menjaga kesucian agama Islam. Apakah Erdogan akan setuju dengan saranan Taib Azamudden tersebut? Sudah tentu tidak, kerana Anwar Ibrahim dan Nik Aziz mempunyai pandangan yang berbeza dengan bekas Imam Masjid Negara tersebut.
Atau kerana video ini Taib Azamudden mulai tidak digemari oleh kumpulan Erdogan? Video ini adalah pengakuan terbuka antara Sukma Darmawan di hadapan Taib Azamudden. Apakah Anwar Ibrahim masih lagi berdendam kepada kumpulan ulama dalam PAS? Satu persatu kumpulan ulama ditukar dan dijatuhkan oleh kumpulan Erdogan yang dikepalai oleh Anwar Ibrahim. PAS bakal ditakluki oleh Erdogan. Kalau kumpulan ulama tiada, sudah tentu tiada orang lagi yang akan menghalang janji Anwar untuk membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam sebagaimana yang diucapkannya di Batang Air, Sarawak. Mampukah golongan ulama menghalang perancangan Anwar Ibrahim untuk tewaskan Haji Hadi dan kumpulan ulama?
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Monday, April 20, 2009

Komplot Jatuhkan Haji Hadi Awang

Pergolakan merebut jawatan Presiden dalam Parti Islam Se-Malaysia, PAS, nampaknya makin hangat. Terbaru di Wilayah Persekutuan, daripada 8 kawasan yang bermesyuarat, hanya satu sahaja kawasan yang mencalonkan Haji Hadi selaku Presiden PAS. Paling mengejutkan ialah pencalonan dari PAS Bukit Bintang untuk meletakkan Nik Aziz selaku Presiden PAS.

Nampaknya, PAS bakal dikuasai oleh kumpulan Erdogan yang tidak menyukai muzakarah dan penggabungan untuk kebaikan orang Melayu. Erdogan telah merancang untuk menjatuhkan Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS yang mengusulkan "kerajaan perpaduan". Husam yang mengepalai kumpulan Erdogan semakin hampir untuk menguasai PAS. Sudah tentu, PAS selepas ini akan mengazetkan slogan "PAS For All" sebagai slogan rasmi PAS. Bukan lagi berslogankan "Bersama Kepimpian Ulama". Ini kerana kumpulan ulama sudah dijatuhkan satu persatu oleh Erdogan. Selain menggunakan pengaruh Anwar Ibrahim untuk menguatkan Erdogan, apakah Husam juga menggunakan wang untuk mempengaruhi perwakilan PAS? Jika ada unsur tersebut, perwakilan PAS jangan berdiam diri sahaja.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Raja Berada Di Atas Politik

Pada 19 April 2009, Sultan Azlan Shah (Sultan Perak) bertitah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak bahawa seseorang raja sebenarnya berada ‘di atas politik’ dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit. Siapa kumpulan politik terbabit itu?

“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara. Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang- undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda.

Hodoh, bila berbaring di atas jalan menghalang kereta raja. Hodoh benar bila merusuh di hadapan Istana. Titah baginda ini bertepatan sekali dengan apa yang PAS telah cetuskan di Perak. Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar pada 12 April 2009, telah menyatakan dalam Harakahdaily bahawa rusuhan yang berlaku di Thailand boleh berlaku di Perak. Nizar Jamaluddin (Ahli Parlimen Bukit Gantang) sampai hari ini, masih lagi menderhaka kepada Sultan Melayu.

Sikap Nizar ini telah mengundang bangsa lain untuk bersikap kurang ajar sama pada Sultan Melayu. Karpal Singh telah berani bertindak menyaman dan mempertikaikan kuasa Raja Melayu. Manakala pada 7 April 2009, Jeef Ooi (Ahli Parlimen Jelutong dari DAP) telah menyebarkan artikel "jari tengah" kepada Sultan Perak dalam Malaysian Insider. Sama seperti Nizar dan Karpal, Jeef Ooi juga enggan meminta maaf secara terbuka kerana perbuatan biadapnya tersebut. Inilah contoh pemimpin Pakatan Rakyat yang menghalalkan cara sebagaimana yang disebut dalam titah Sultan.

Ditambah pula dengan sikap memualkan Sivakumar yang tidak mahu menerima hakikat dan tidak faham bahasa keputusan mahkamah. Siva masih enggan menerima kenyataan dan cuma menimbulkan kekalutan di Perak. Hormatilah titah Sultan Perak. Sampai bila perlu berlakon jadi Speaker yang tidak sah di sisi undang-undang di Perak? Usah lagi berpolitik seperti orang yang tidak cerdik. Buat Nizar yang menang di DUN dan Parlimen, lebih baik fokuskan usaha untuk berkhidmat di kawasan daripada sibuk melobi untuk jawatan Naib Presiden PAS. Buat Jeef Ooi, sila minta maaf secara terbuka dengan segera. Ingatlah bahawa pengundi-pengundi Melayu tidak akan berdiam diri. Mereka akan mengundi dengan cerdik untuk menghukum sifat kurang ajar kamu di Jelutong. Buat orang PAS yang rasional, dengarlah titah Sultan Perak.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, April 19, 2009

Erdogan Tidak Suka Muzakarah

Berikut adalah kenyataan Dr Dzulkifli Ahmad (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) dalam Malaysiakini (baca sini) berhubung dengan pembentukan kerajaan campuran antara BN dan PAS. "Perkara itu (kerajaan perpaduan) dibentang, dibincang dan diputuskan sebulat suara (supaya) tidak akan bincang selepas ini. Isu itu (kini) sudah tinggal dalam lipatan sejarah," kata Dr Dzulkifli. Sudah jadi lipatan sejarah, bermakna tidak mahu bincang lagi?

Dr. Zulkifli, Husam Musa, Mujahid Yusof Rawa dan Ahmad Awang adalah barisan kumpulan Erdogan yang tidak sependapat dengan Haji Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan Haron Din daripada team ulama. Nampaknya kumpulan Erdogan tidak suka lagi mengadakan muzakarah untuk menyatukan orang Melayu dalam satu parti sahaja. Seorang demi seorang pemimpin PAS yang menganjurkan muzakarah telah dicabar. Taib Azamudden telah dijatuhkan di Baling. Nasharuddin mahu dicabar oleh Husam Musa di kerusi Timbalan Presiden PAS. Jika Nasharuddin tiada, maka hanya tinggal Haji Hadi seorang sahaja di atas. Erdogan bukan bertuankan Haji Hadi, tetapi mereka lebih suka merujuk Anwar Ibrahim sebagai nakhoda mereka.

Jika team Erdogan menguasai PAS, maka arah tujuan PAS akan menjadi semakin liberal, bebas dan tidak jauh bezanya dengan PKR. Semua orang-orang Anwar sudah berada dalam PAS sekarang. Kamaruddin Jaafar yang menyokong rusuhan di Thailand agar berlaku di Perak adalah Setiausaha Agung PAS. Husam Musa, anak buah Anwar sejak 1982 di Universiti Malaya, sekarang ini sedang melangkah ke kedudukan nombor 1 atau nombor 2 dalam PAS. Maka PAS tidak ubah seperti parti PKR yang kedua. Jika Husam menang, mursyidul am PAS bukan lagi Nik Aziz. Sumber rujukan PAS adalah Anwar Ibrahim. PAS sudah dikuasai secara terancang oleh Anwar Ibrahim.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Saturday, April 18, 2009

Sami Sembahyang Dalam Masjid

Berikut adalah gambar yang diambil daripada link ini. Gambar di atas menunjukkan bagaimana dua orang sami sedang melakukan ibadah solat dalam satu saf bersama-sama dengan umat Islam. Kemudian menjamu selera bersama dengan beberapa jemaah terbabit. Apakah yang sebenarnya berlaku? Mengapa sami berkenaan berbuat demikian dan untuk tujuan apa? Manakala bagi umat Islam yang mengimamkan mereka untuk solat, mengapa mereka biarkan sami berkenaan buat begitu?

Kita pernah dengar bagaimana orang kafir mempersendakan ayat-ayat suci Al-Quran,dan azan Subuh dalam lagu Negakuku, mendesak untuk menggunakan kalimah Allah SWT, membuat game yang menghina kalimah Allah, menghina Nabi Muhammad SAW dalam blog dan yang terkini seperti dalam gambar di atas. Jika benar kejadian ini terjadi di Malaysia, sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan akidah dalam masyarakat.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, April 17, 2009

Penanti, Penanti, Penanti

Hanya kereta setia menanti di rumah Fairus yang terletak di Guar Perahu. Tuan kereta sudah sambung belajar ke luar negara. Pengganti tuan kereta masih belum dijumpai lagi tetapi tuan kereta sudah letak jawatan sebagai wakil rakyat. Penanti oh penanti. Kuari oh kuari.

Pada 31 Julai 2008, Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar Ibrahim) meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Tujuannya adalah untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi Ahli Parlimen dan membolehkannya menjadi Perdana Menteri pada 16 September. Pilihan raya kecil pun berlaku. 16 September tidak jadi, Anwar hanya dapat masuk Parlimen sahaja.

Pada 28 November 2008, Datuk Razali Ismail (bekas Timbalan Menteri Pelajaran) meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki. Kekosongan berlaku di parlimen Kuala Terengganu setelah pemergian Datuk Razali Ismail. Pilihan raya kecil pun berlaku. Pada 9 Februari 2009, Roslan Shaharum telah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung ketika mengayuh basikal di Pekan Batu Gajah. Kekosongan berlaku di Bukit Gantang. Pilihan raya kecil pun berlaku. Alfatihah buat kedua-duanya.

Pada 9 Februari 2009 juga, V. Arumugam meletak jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau. Alasan beliau meletak jawatan adalah kerana tekanan dan desakan daripada beberapa pihak akibat beberapa kes tertentu. Pilihan raya kecil berlaku. Pada 24 Februari 2009, Datuk Dublin Unting meninggal dunia setelah diserang angin akhmar setelah berada dalam keadaan koma sejak Mei tahun lepas. Pilihan raya kecil berlaku lagi.

Pada 16 April 2009, Mohammad Fairus Khairuddin (ADUN Penanti) meletak jawatan sebagai ADUN di Penanti. Katanya mahu melanjutkan pengajian di luar negara. Namun, semua orang tahu bahawa Fairus sedang disiasat kerana kes rasuah kuari oleh SPRM. Jika diteliti daripada Permatang Pauh ke Batang Air, sudah ada 6 pilihan raya kecil berlaku dalam masa 9 bulan, antara Ogos 2008 hingga April 2009, termasuklah Penanti. Berlaku di 3 kawasan parlimen dan 3 di kawasan DUN.

3 pilihan raya berlaku akibat sebab yang tidak dirancang iaitu kematian. Manakala di 3 lagi kawasan, ianya berlaku kerana meletak jawatan. Kebetulan pula, ketiga-tiga kawasan itu iaitu Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti adalah kawasan yang dikuasai oleh PKR. Apakah perletakan jawatan di Penanti disengajakan untuk membolehkan Pakatan Rakyat terus hidup hanya dengan adanya pilihan raya kecil?

Mengapa Fairus terburu-buru meletak jawatan dan tidak menunggu terlebih dahulu keputusan SPRM terhadapnya?. Apakah ini menandakan bahawa Fairus sudah tahu dirinya bersalah? Seterusnya dia membuat keputusan untuk melarikan diri ke luar negara awal-awal lagi sebelum kesalahan itu diketahui. Untuk tidak menampakkan sangat dirinya sebagai "lari dari masalah", maka satu frasa yang dinamakan sebagai "sambung belajar" diwujudkan untuk menyedapkan cerita. Penanti, penanti, semua orang menantikan Elizabeth tetapi Penanti yang letak dulu.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Thursday, April 16, 2009

Yang Berbogel Tak Letak, Penanti Pula Yang Letak

Eratnya pelukan dari muslimah PAS menyokong Elizabeth Wong. Moga muslimah PAS mampu membimbing Elizabeth daripada tidak mengulagi lagi perbuatannya. Bimbinglah Eli. Seperti kata Guan Eng, amar ma'aruf, nahi mungkar. Eli mungkin tidak mendengar kata Guan Eng agaknya.

Mohammad Fairus Khairuddin (ADUN Penanti) pada 16 April 2009 mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuatkuasa hari ini bagi menumpukan lebih perhatian kepada usahanya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah serta untuk memberinya lebih masa bersama keluarga. Itulah alasan yang diberikan oleh Fairus. Pergi belajar atau terkantoi apa-apa di kuari? Sampai hari ini, Guan Eng masih lagi berjumpa pengganti untuk Fairus. Nampaknya PKR sudah ketandusan pemimpin di Pulau Pinang. Kalau sudah tiada calon, mengapa tidak lantik sahaja wakil PAS ke kerusi Timbalan Ketua Menteri?.

Sementara itu, pada 15 April 2009, yang menawarkan untuk letak jawatan kerana kantoi berbogel tidak pula meletak jawatan. "Saya memperjuangkan 'Politik Baru' - politik yang menggalakkan perbincangan intelektual, polimik dan debat ilmiah mengenai ideologi, dan bukannya politik kotor yang mahu mencemar, memfitnah serta melanggar hak peribadi orang lain semata-mata untuk kepentingan politik mereka" berikut adalah komen Elizabeth Wong pada 15 April 2009. Bukankah selama ini Pakatan Rakyat yang banyak menjaja cerita memburukan dan membolehkan mencarut dalam kempen mereka? Bila terkantoi gambar berbogel mulalah keluar pula istilah "politik baru". Sungguh intelektual mereka yang membela seorang wakil rakyat yang mengaku dirinya berbogel. Begitulah mereka berpolitik.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, April 14, 2009

MCA Perlu Siasat Penyalahgunaan Kuasa Oleh Yip Sun Onn

MCA dan MIC bila hendak berubah? Kalau tidak mahu berubah dan tidak membetulkan kesilapan, maka dua komponen ini akan menerima padah yang lebih besar dalam PRU13 nanti. Usah terlalu mendesak mahu jawatan menteri dan kedudukan sahaja. MCA perlu juga menyediakan indeks penilaian prestasi untuk wakil-wakil rakyatnya di seluruh negara. Harus diingat, kemenangan MCA banyak dibantu oleh pengundi Melayu. Oleh itu, MCA perlu berterima kasih kepada pengundi Melayu.

Dibawakan di sini cerita tentang seorang ADUN MCA yang menyalah gunakan kuasa. Menurut beberapa orang Ketua UMNO Cawangan di kawasan Titi Tinggi, Yip Sun Onn (gambar, Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi, Perlis) telah melantik dua orang JKKK (Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung) yang sudah berusia 80an untuk menjawat jawatan JKKK di Kampung Aman dan Kampung Guar Tinggi. Bagaimana Yip boleh mengenepikan Ketua UMNO Cawangan yang dipilih secara demokrasi oleh orang kampung dan memilih seorang yang berusia hampir 80an untuk menjadi Pengerusi JKKK? Nampaknya, Yip sengaja memperok perandakan insitusi kampung orang Melayu.

Kampung Aman pernah mendapat Anugerah Kampung Harapan Terbaik Malaysia. Bila Yip campur tangan melantik JKKK tanpa persetujuan orang kampung, perpecahan berlaku antara orang Melayu. Majoriti orang Melayu di Kampung Aman tidak bersetuju dengan pilihan Yip. Sebuah kampung yang mendapat pengiktirafan dari Gerakan Desa Wawasan (GDW) menjadi haru biru kerana campur tangan Yip. Di Kampung Guar Tinggi, Yip melantik Setiausaha JKKK yang baru tanpa persetujuan daripada orang yang dilantik tersebut. Yip turut campur tangan dalam perlantikan JKKK MCA di kawasan Beseri yang bukan dalam kawasan Titi Tinggi. Tindakan Yip ini tidak disenangi oleh YB kawasan Beseri sendiri.

Menurut seorang ahli MCA yang senior di Pekan Sayur, Kaki Bukit, Yip pernah dibuang sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Pekebun Kecil kerana menyeleweng duit koperasi. Menurutnya, duit tersebut digunakan untuk membeli tanahnya sendiri. Yip juga menurutnya, turut dibuang daripada beberapa jawatan lain kerana kesalahan penyalahgunaan kuasa. Pada penghujung tahun lepas, permohonan tanah geran tanah dibuat secara besar-besaran di kawasan Titi Tinggi. Kalau nak tahu siapa yang dapat geran banyak, silalah tanya pada orang Melayu di Titi Tinggi.

Bagaimana orang seperti Yip ini boleh terpilih untuk menjadi wakil rakyat oleh MCA? Apakah MCA tidak meneliti rekod dan latar belakang Yip? Yang teraniaya ialah pengundi Melayu di Titi Tinggi. Ada pengundi Melayu di Titi Tinggi masuk PAS bukan kerana benci kepada UMNO, tetapi kerana mereka tidak mahu calon dari MCA di Titi Tinggi. Kuota untuk MCA bukan lagi tiket untuk membolehkan calon MCA terus menerus menjadi wakil rakyat di Titi Tinggi. Orang Melayu sudah cerdik dan tahu menilai. Jangan menganiaya orang Melayu di kampung. Yip perlu disiasat oleh SPRM dan perlu dilucutkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Perlis. Orang seperti Yip tidak layak mewakili orang Melayu di Titi Tinggi. Sekali lagi, buat kepimpinan MCA, jangan terlepas pandang pula isu Yip ini.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Cina Bersatu Bila Kena Atas Batang Hidung Mereka

Kalau Cina, India bukan peminta sedekah, hak orang Melayu juga bukan untuk disedekah dan dihapuskan.

"Persoalannya, apakah mereka melihat dalam konteks senario politik baru ini, selepas kerajaan BN tumbang di lima buah negeri, mereka (Cina) sudah menjadi kuasa penentu? Orang Cina rasa sekarang, walaupun mereka kumpulan minoriti, merekalah menentukan kerana kelompok masyarakat Melayu sudah berpecah tiga kumpulan. Masyarakat Cina tidak berpecah, mereka bersatu, setidak-tidaknya dari segi semangat apabila bersama-sama membuat sesuatu keputusan." kata Muhyiddin Yassin dalam Mingguan Malaysia, 12 April 2009.

Ternyata memang masyarakat Cina bersatu bila terkena atas batang hidung mereka. Semua akhbar berbahasa Cina memandang komen Muhyiddin sebagai sesuatu yang negatif. MCA, Gerakan dan DAP juga membidas analisis Muhyiddin. Mengenepikan soal perbezaan pendapat dan bersatu atas nama bangsa. Lihatlah bagaimana mereka bersatu dalam isu berkaitan bangsa mereka. Dalam masa yang sama MIC pun mendesak jawatan-jawatan penting dalam kabinet. Semua tuntutan ini berlaku bila orang Melayu dilihat lemah dan berpecah. Kalau orang Melayu kuat, beranikah mereka meminta dan mendesak yang bukan-bukan pada orang Melayu?

Yip Sun Onn (ADUN Titi Tinggi, Perlis) menang menjadi wakil rakyat dengan undi daripada orang Melayu di Titi Tinggi dalam pilihan raya yang lepas. Orang Melayu ramai yang tidak kenal Yip sebelum menjadi calon di Titi Tinggi. Yip tidak bercampur pun dengan orang Melayu, tetapi orang Melayu masih pilih Yip atas semangat Barisan Nasional. Biarpun Yip ada mengeluarkan perumpamaan yang tidak sepatutnya kepada pengundi Melayu ketika berkempen, tetapi orang Melayu di Titi Tinggi tetap sabar dan pilih Yip juga. Melekat poster, memanjat tiang dan pokok, merayu undi untuk menangkan Yip.

Namun bila menang sahaja di Titi Tinggi dan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Perlis, Yip sudah mula tunjuk perangai sebenar. Yip sudah berani campur tangan dalam perlantikan JKKK di kawasan Titi Tinggi yang majoritinya orang Melayu. Yip bertindak mengenepikan suara demokrasi orang kampung yang memilih Ketua UMNO Cawangan untuk tidak menjadi JKKK. Yip melantik sendiri JKKK tanpa persetujuan orang kampung. Membiarkan orang-orang Melayu di kampung bergeseran sesama sendiri akibat pilihan Yip. Apa hak Yip untuk menentukan JKKK, yang secara tradisinya dipilih dari Jawatankuasa UMNO Cawangan?

Orang Melayu di Titi Tinggi bukan peminta sedekah dari sesiapa. Buat Presiden MCA, sila ambil perhatian kes Yip ini. Usah menuntut dan mendesak UMNO, perbetulkan dahulu wakil rakyat MCA anda. Sila datang sendiri ke Titi Tinggi dan tanyalah kepada orang Melayu di sana. Mereka sebenarnya dipaksa untuk pilih calon yang tidak bagus seperti Yip. Kalau bukan kerana undi Melayu, jangan harap MCA hendak menang. MCA sila ambil tindakan segera. Orang seperti Yip mendahulukan diri berbanding rakyat. Yip adalah antara contoh wakil MCA yang tidak bersyukur kepada pengundi Melayu.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, April 10, 2009

Rakyat Atas Pagar Perlu Didahulukan

Pilihan raya di Bukit Gantang, Bukit Selambau sudah berlalu. Menggantang dan me'lampau' betul penyokong-penyokong fanatik Pakatan Rakyat bila menang di kedua-dua tempat ini. Terpulang pada mereka, itu yang mereka pilih dan itu cara mereka. Jangan kalah sahaja bola, kereta polis pula yang menjadi sasaran kemarahan. Memalukan betul. Sampai hati mereka buat begitu di negeri yang dipimpin oleh seorang yang digelar Tok Guru.

Pilihan juga telah dibuat oleh Perdana Menteri untuk barisan kabinet baru. Ada yang masuk, ada yang keluar. Segalanya untuk mencapai misi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Cabaran besar menanti Datuk Seri Najib untuk memenangi kembali hati rakyat, selepas BN kehilangan empat negeri kepada Pakatan Rakyat. Krisis yang sama dihadapi oleh Tun Razak selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kabinet baru dibentuk untuk mencapai impian "Satu Malaysia". PRU13 akan datang adalah penilaian prestasi sebenar untuk kabinet baru ini.

Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air memberikan satu pelajaran dan pengalaman awal sebelum PRU13. Sebenarnya, pengundi yang paling ramai bukanlah orang BN atau orang Pakatan Rakyat. Majoriti yang lebih besar adalah golongan yang sederhana dan berada di atas pagar. Mereka ini sentiasa menilai dan menganalisa sesuatu perkara tanpa rasa berpihak. Mereka mengakui fakta yang benar dan tidak terlalu emosional dalam memberikan reaksi. Namun mereka adalah golongan yang paling ramai tidak turun mengundi. Mengapa?

Mungkinkah kerana sifat ekstrems sesetengah petugas yang mahu menahan bas dan menuduh mereka ini sebagai pengundi hantu, membuatkan mereka enggan untuk turun undi? Oleh itu, beberapa perkara harus diambil kira untuk menarik keluar pengundi atas pagar turun mengundi. Mungkin mereka malas untuk bergaduh dan berdebat dengan mereka yang terlalu emosional semasa berkempen. Bagi mereka, silaturahim adalah lebih utama daripada hidup bermasam muka dalam masyarakat. Meninggalkan perdebatan demi persaudaraan.

Pertamanya, masa pengundian mungkin boleh dilanjutkan lagi bagi membolehkan lebih ramai orang mengundi. Tamat pada jam 5 petang dan pengundian pada hari bekerja membuatkan ramai tidak turun mengundi. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang meleset sekarang. Orang terpaksa membuat pilihan, bercuti atau mencari duit poket yang lebih. Apa kata, kalau masa pengundian itu, ditambah 2 jam lagi menjadikan masa pengundian sebenar adalah dari jam 8 pagi hingga 7 malam. Peratus turun mengundi mungkin lebih tinggi.

Keduanya, kesesakan jalan raya dan laluan "karpet merah" yang penuh dengan peraih undi membuatkan ada orang segan dan berasa tidak berbaloi untuk ke tempat pengundian. Kalau mereka pergi dari laluan "karpet berwarna biru", maka mereka akan dicop sebagai biru. Begitulah sebaliknya, kalau pergi dari laluan "karpet berwarna hijau". Pengundi atas pagar, enggan bermasam muka dengan masyarakat. Kalau berlebihan sangat bergasak untuk mendapat satu undi dari mereka, susah-susah sangat mereka tidak turun langsung mengundi. Inilah yang menyebabkan peratus turun mengundi tidak memberansangkan.

Ketiganya, perlukah semua pusat mengundi dibuat hanya di sekolah? Apa kata kalau dibuat di dewan orang ramai sahaja. Dengan cara ini, jalan tidak akan sesak dan menggalakkan lebih ramai turun mengundi. Beberapa lokaliti dalam satu daerah mengundi mungkin boleh digabungkan untuk mengundi di dewan orang ramai sahaja. Tidak perlu semuanya pergi ke sekolah untuk mengundi. Dengan cara ini, proses pengundian akan lebih cepat dan tidak perlu hanya tertumpu hanya di satu tempat (sekolah) sahaja.

Kesimpulannya, rakyat atas pagar perlu didahulukan. Mereka adalah pengundi terbesar. PAS, DAP dan PKR punyai pengundi totoknya yang tersendiri. Hujan, panas, jalan sesak atau ribut petir sekalipun mereka tetap turun undi. Pengundi BN ramai dari kalangan atas pagar. Jika mereka tidak turun, BN yang rugi. Kaedah dan pendekatan sesuai perlu difikirkan untuk membuatkan lebih ramai pengundi atas pagar turun mengundi.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Wednesday, April 8, 2009

Barisan 1, Pakatan 2

Penderhaka kepada Raja Melayu akhirnya dipilih oleh 21,860 orang pengundi untuk menjadi wakil mereka di Bukit Gantang. Kemenangan ini pastinya disambut gembira oleh DAP. Harus diingat bahawa masih ada lagi 13,890 orang yang layak mengundi tetapi tidak turun mengundi. Mereka ini juga berhak mendapat pembelaan yang sepatutnya daripada wakil parlimen Bukit Gantang yang baru. Mungkinkah orang-orang PAS di Changkat Ibol akan menjadi jutawan segera setelah tanah yang dijanjikan dibeli oleh orang-orang di Kuala Sepetang.

Barisan Nasional berjaya menambah bilangan undi sebanyak 662 undi berbanding PRU12 yang lepas. Manakala undi PAS meningkat sebanyak 1,845 undi. Jumlah peratusan turun mengundi yang naik 2.35% berbanding 72.65% pada tahun lepas. Bukit Gantang menjadi saksi di mana PAS sanggup membiarkan penderhakaan terhadap Raja Melayu dan membenarkan DAP membaca ayat suci Al-Quran di atas pentas politik mereka. Demi undi, PAS sanggup tidak menegur yang salah. Bila ada rakan seagama lain yang menegur, dicela dan dinistanya orang itu.

Itulah cara berpolitik PAS. Politik telah mengatasi segalanya-galanya bagi orang PAS. Tabik buat BN kerana menerima keputusan di Bukit Gantang dengan terbuka. Menerima dengan hormat proses demokrasi tanpa perlu mengepung bangunan, tidur di atas jalan dan bermesyuarat di bawah pokok untuk membantah pilihan yang telah dibuat. Polis dan SPR pun tidak dipersalahkan bila menang. Mungkin ada hikmah sebaliknya buat BN. Barisan satu, Pakatan dua. Mungkinkah kedudukan ini akan berubah bila berjumpa di Bukit Lenjan nanti?.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, April 7, 2009

Nik Aziz Membela Nga Kor Ming Mempersendakan Al-Quran


"Eh dia nak guna ayat Quran, sepatutnya dia guna lamo dah. Itu kesan gelombang kebangkitan Islam sekarang. Tak po lah dia nak guna dia punya pasal. Salah tafsir itu dia punya pasal. Tapi nak baca Quran itu dak po (lihat sini) " kata Nik Aziz Nik Mat kepada wartawan NTV7 ketika mengulas tindakan Nga Kor Ming (Ahli Parlimen DAP Taiping, seorang Kristian) menggunakan ayat suci Al-Quran ketika berkempen di Simpang pada 4 April 2009. Nga mempersendakan ayat Quran di atas pentas PAS, salah tafsir tak mengapa kata Nik Aziz. Salah tafsir, bukan menegur sebaliknya penyokong PAS bersorak gembira pula memberikan sokongan pada Nga. Malah ada penyokong PAS yang bersungguh-sungguh membela Nga biarpun salah.
Rupa-rupanya, Tok Guru PAS sudah beri green light pada Nga untuk menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran dengan sesuka hatinya biarpun menyatakan surah yang tidak terdapat pun dalam Al-Quran. “Tok guru Nik Aziz sendiri telah menjelaskan kepada saya bahawa memetik ayat Quran tidak bersalah,” (baca sini) kata Nga Kor Ming. Tahulah kita siapa yang jadi guru agama Nga sebenarnya. Kalau benar-benar mahu perkembangan Islam, lebih baik Tok Guru ajar Nga mengucap dua kalimah syahadah terlebih dahulu.

Gobalakrishnan (Ahli Parlimen PKR Padang Serai) pernah membaca ayat suci Al-Quran di atas pentas PAS kira-kira 9 tahun yang lalu (lihat sini) . Jika benar Gobala mahu mendalami Islam sudah tentu pada hari ini Gobala sudah pun didakwah menjadi seorang muslim. Namun Gobala masih dengan agamanya. Malah dilantik pula oleh PAS menjadi Ketua Kelab Penyokong PAS Kaum India pada 16 Februari 2007. Apakah ini tanda kesan gelombang Islam sebagaimana kata-kata Nik Aziz? Atau ayat Al-Quran hanya digunakan oleh orang kafir hanya untuk tujuan politik semata-mata?

Orang Islam harus menerima pendapat Persidangan Mufti-mufti Seluruh Malaysia pada 6 April 2009 yang berpandangan, "tindakan mana-mana orang bukan Islam membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk tujuan kempen politik adalah cubaan mempersenda kesucian dan keagungan Al-Quran". Jangan kerana terlalu fanatik berpolitik, maka orang bukan Islam dibela dan diagungkan hinggakan pandangan mufti ditolak ketepi. Soal agama tidak boleh dibuat main-main. Al-Quran adalah imam umat Islam, jangan membiarkan orang bukan Islam mempersendakannya.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Hukum Penderhaka Raja

7 April 2009, hari pengundian di Bukit Gantang. Inilah masanya untuk orang Melayu menghukum penderhaka Sultan Melayu. Sudah dua bulan Nizar menderhaka pada Raja Melayu sejak 6 Februari 2009. PAS juga telah biarkan DAP sewenang-wenangnya mempersendakan ayat-ayat suci Al-Quran di atas pentas PAS. Membela DAP bila mereka mempersendakan kalimah Allah. Demi agama dan bangsa, orang Melayu perlu menghukum Nizar daripada terus berbuat biadap pada Sultan Melayu. Usah biarkan DAP bertepuk tangan gembira melihat calon pilihannya menang nanti. Sampaikan pesanan ini pada orang Melayu yang rasional sahaja.

Monday, April 6, 2009

PAS Terdesak Untuk Menang Di Bukit Gantang

Poster ini diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk pengundi di Bukit Gantang yang majoritinya adalah Melayu. Poster ini menceritakan segalanya bahawa PAS terdesak untuk memancing undi daripada orang Cina untuk menang di Bukit Gantang.

Norazli Musa (Ketua Pemuda PAS Perak) berkata dalam Malaysiakini bahawa "Mohamed Nizar yang juga Menteri Besar Pakatan di Perak, boleh menang dengan majoriti sekurang-kurangnya 1,000 undi. Kedudukan terkini ialah Datuk Seri Mohd Nizar mendapat sokongan padu dari pengundi kaum Cina. Majoriti pengundi Cina bersama kita...trend sekarang sama dengan pilihanraya umum 8 Mac lalu".Kalau sudah kuat, kenapa takut untuk menegur DAP yang sengaja persendakan Al-Quran? Memang terdesak benar PAS untuk menang hinggakan membenarkan DAP mempersendakan ayat-ayat suci Al-Quran di atas pentas PAS.

Nga Kor Ming membacakan ayat suci Al-Quran ketika berkempen di Tapak Pesta Simpang, Bukit Gantang, pada 4 April 2009. Turut sama mendengar ucapan ialah Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali. Sebaik-baiknya Salahuddin dan Azmin perlu menegur Nga Kor Ming. Ayat yang dibacakan Nga bukan dari Surah Aura tetapi dari Surah Al-Nahl, ayat 90. Mengapa diam sahaja bila seorang kafir harbi mempermainkan ayat Al-Quran untuk tujuan politik?. Ternyata PAS amat terdesak untuk menang. Sanggup mereka berdiam diri membiarkan kafir harbi tersebut mempersendakan ayat suci Al-Quran. Pemimpin PAS dan DAP perlu meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam. Agama sendiri tergadai bila terlalu fanatik sangat mahukan kuasa.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia.

Nga Kor Ming Sengaja Mempersendakan Ayat Al-Quran

Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Taiping, Setiausaha DAP Perak) menyatakan "mereka sudah hilang sesat ajaran, saya walaupun seorang Kristian, tapi saya faham apa juga Surah Aura ayat ke-90" kata Nga Kor Ming (lihat sini). Kemudian Nga Kor Ming mentafsirkan "maksudnya..Allah menyuruh kita berlaku dengan adil dan penuh belas kasihan..betul tak?". Kemudian disahut oleh penyokong-penyokong PAS "Betul". Siapa yang menyesatkan siapa ini?

Sebenarnya tidak ada Surah Aura dalam Al-Quran. Sebutan surah yang disebut oleh Nga Kor Ming adalah salah. Surah sebenarnya adalah Surah Al-Nahl, ayat 90, maksudnya "Sesungguhnya Allah menyeru berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajara kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya".

Nga Kor Ming kemudian mengulangi sekali lagi Surah Aura ayat ke-90 ketika berkempen di Bukit Gantang. (lihat sini). Nga sekali menyebut sebutan surah yang salah dan maksud yang salah. Ini menunjukkan Nga Kor Ming sengaja mempersendakan ayat-ayat suci Al-Quran secara berulang kali. Nga berkata dia faham ayat Al-Quran dan mendakwa orang lain sudah sesat ajaran. Apa akan jadi kalau ada orang Islam yang mengambil Surah Al-Aura yang dibacakan oleh Nga ini?. Siapa yang sesat nanti, kalau baca surah yang tidak terdapat dalam Al-Quran?

Di manakah ulama-ulama dari PAS? Mengapa PAS tidak menegur pun kesalahan yang dilakukan oleh Nga Kor Ming? Malah orang PAS mengiyakan apa yang disebut oleh Nga Kor Ming. Bukan sekadar mengiyakan, malah ada orang PAS yang mendengar ceramah Nga Kor Ming turut bertepuk tangan (lihat gambar di atas). Apa komen Nik Aziz tentang Nga Kor Ming ini? Mufti Perak sudah menegur perbuatan Nga Kor Ming, dengarlah nasihat mufti.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Anwar Kata PAS dan DAP Kurang Guna Otak

Berikut adalah sedutan Buletin Utama TV3 pada 5 April 2009. Pada tahun 1995, Anwar Ibrahim (Ketua Pakatan Rakyat) menyatakan dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dengan Timbalan Perdana Menteri di Sabah bahawa "Dia (PAS) nanti kata tidak. No..no..kita tak bawa kebencian pada rakyat. But we know, you give his tape translate it and give anybody at the kampung. You can see the reaction. I can give the tape of PAS leaders, u translate and dengar, kalau u boleh tahan" . Sekarang ini bagaimana? Semua orang mahu ternanti-nanti dengan pengumuman besar yang mahu dibuat oleh Anwar. Namun Anwar bagi tarikh baru dengan alasan yang lebih kurang sama. Apakah rakyat boleh tahan dengan helah dan sikap hipokrit Anwar?

Anwar kata DAP dan PAS kurang guna ini (otak). Benarkah begitu? Patutlah Karpal Singh (Pengerusi DAP) marah benar dengan Anwar hingga meminta Anwar bertaubat.

Anwar kemudian berkata lagi tentang parti PAS yang sekarang ini menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat. "We have to deal dengan parti Islam, pergi ke kampung, bakar semangat orang Melayu, dia kata we Muslim, we have to apply the implement of Islamic law, we have to make sure that we are in charge, we are the majority, dan ini dibakar betul-betul semangat orang-orang Melayu dan orang Islam di Terengganu dan Kelantan. It's only take moderate leaders in UMNO and Barisan Nasional to deal with them" kata Anwar. Siapa moderate leaders yang dimaksudkan oleh Anwar? Ini bermakna rangkaian moderate muslim yang dirancang oleh RAND Corporation (baca sini) mungkin sudah diketahui oleh Anwar Ibrahim sendiri pada ketika itu. Adakah Anwar salah seorang daripadanya?

Anwar kata DAP dan PAS hanya guna ini sahaja (cakap saja).

Anwar turut mengecam cara PAS dan DAP berpolitik. "Jangan guna ini sahaja (mulut). DAP..PAS dia guna ini (mulut)...kurang guna ini (otak). Dia kena fikir masa depan kita" kata Anwar Ibrahim. Kalau sudah begitu, Anwar sendiri sudah mengiktiraf bahawa mengundi Barisan Nasional adalah penting untuk masa depan semua. Tidak guna mengundi PAS atau DAP kerana Anwar Ibrahim sendiri sudah pun sebut bahawa kedua-dua parti tersebut kurang menggunakan otak. Buatlah keputusan untuk masa depan semua di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Air. PAS, DAP dan PKR bukan parti terbaik untuk masa depan semua.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, April 5, 2009

Anwar Benarkan Kalimah Allah Digunakan Oleh Kristian

Pada 2 April 2009, ketika berkempen di Batang Air, Sarawak, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa ''isu penggunaan nama Allah tidak menjadi masalah kepada PKR dan kita benarkan sebab sudah lama mereka (penganut agama lain) guna nama Allah, jadi biarkanlah". (baca sini). Anwar mahu biar sahaja bukan Islam guna kalimah Allah? Malah Anwar menyalahkan UMNO sebagai penyebab mengapa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Herald Tribune.

''Tetapi UMNO tidak bagi guna nama Allah. Pada PKR jika nama Allah mahu digunakan oleh penganut agama lain, kami akan biarkan sebab itu hak mereka (penganut agama lain)," kata Anwar Ibrahim. Nampaknya Anwar bila berhadapan dengan majoriti penganut Kristian, lenggok cakap dan janjinya amat berlainan sekali berbanding bila bercakap di hadapan majoriti orang Islam. Hinggakan sanggup membenarkan kalimah Allah untuk digunakan oleh orang bukan Islam dalam jurnal Kristian.

Tuntutan ke-9 Interfaith Commission (IFC) adalah orang bukan islam tidak boleh dilarang dari menggunakan perkataan-perkataan suci islam. Adakah tindakan Anwar membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam adalah memenuhi sebahagian daripada tuntutan IFC?
''Jika berpolitik, gunalah secara matang jangan bertolak ansur dengan hukum agama, yang salah tetap salah. Kalimah Allah bukan untuk buat suka-suka, inilah mereka tak faham sensitiviti Islam. Nama Allah untuk orang Islam saja. Jadi, janganlah nak main api dengan hukum agama,'' berikut adalah pandangan Mufti Perak yang membidas janji Anwar untuk membenarkan kalimah Allah di Batang Air.

Sebelum ini pun Datuk Seri Mohd Tamyes Abd. Wahid (Mufti Selangor) menyatakan pada 11 Januari 2009, dalam Utusan Malaysia, m/s 1 , bahawa "sepatutnya mereka (Herald Catholic) faham perkataan Allah itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu adalah khusus kepada agama Islam sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa". Pandangan daripada dua orang mufti ini jelas menunjukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Malah pada 5 Mac 2009, dalam sidang parlimen, Taib Azamuddin (Ahli Parlimen PAS) sendiri mengakui bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam boleh mengelirukan umat Islam. Tindakan Taib Azamuddin ini amat bertentangan dengan Anwar Ibrahim. Mengapa Anwar sanggup berjanji sedemikian dalam memenangi undi orang bukan Islam? Orang Islam harus mendengar nasihat dua orang mufti dan bekas Imam Masjid Negara berhubung isu kalimah Allah, bukan mendengar cakap Anwar Ibrahim.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Saturday, April 4, 2009

Video Babi Menghina Umat Islam

Satu ketika, Namewee menghina azan Subuh. Kali ini ada video yang lebih biadab lagi. Rakaman video menerusi laman web YouTube ini memaparkan seorang lelaki sedang sujud menyembah sekeping kertas tertera ayat al-Quran dan terdapat suara latar laungan azan oleh lelaki terbabit. Selepas itu, lelaki tersebut menyebut orang Melayu boleh makan daging babi untuk menghapuskan dosa. (Baca Sini). Pada akhir video tersebut, lelaki tersebut bergelak ketawa selepas selesai merakamkan adegan penghinaan ini. Dari segi undang-undang syariah ianya bersalahan mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Berikut adalah kata-kata lelaki terbabit "marilah kita bersama-sama makan babi yang sedap, bahawa mereka akan sudah membuang dosa jika makan. Mulai hari ini semua Melayu boleh makan babi yang sedap.''. Ternyata video ini adalah satu bentuk provokasi terhadap orang Melayu. Kesabaran orang Melayu ada batasnya, jangan mencabar orang Melayu dengan pembikinan video yang biadab sebegini. Video ini sengaja dibuat untuk merosakkan perpaduan kaum di Malaysia. Majoriti bukan Islam ramai lagi yang tahu tata sulila dan mengamalkan budaya hormat menghormati.

Video selama 1.22 minit ini amat biadab dan tidak menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Malaysia. Ianya cukup menguris perasaan umat Islam di Malaysia. Tindakan yang tegas dan bersepadu harus diambil terhadap orang yang merakamkan video ini. Jika tidak, akan ada lagi selepas ini mereka yang bersikap kurang ajar dan sesuka hati mempermainkan kesucian agama Islam dan ayat-ayat suci Al-Quran.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, April 3, 2009

Selamat Bertugas Dato' Seri Najib, Terima Kasih Tun Abdullah.

Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tugas
Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terima kasih buat dua negarawan Malaysia.
Kedua-duanya bergelar Tun sekarang.
Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

Peralihan kuasa berlaku. Teori RAHMAN terjadi. Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri yang ke-6. Peralihan kuasa yang lancar dan tertib. Sebelum itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir pada 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009. Kira-kira 5 tahun 5 bulan, Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri. Malaysia bertuah kerana pada yang sama mempunyai dua orang bekas Perdana Menteri dan seorang Perdana Menteri. Hadiah terbaik untuk semua rakyat Malaysia bila Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib bersama-sama berganding bahu untuk meletakkan martabat negara pada satu tahap yang tinggi di mata dunia.

Pada 3 April 2009, jam 10.10 pagi, di Istana Negara, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan rasminya mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Pada hari yang sama, jam 4.45 petang, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan nota tugas Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib. Ketika ucapan pergulungan Perhimpunan Agung UMNO yang ke-59 pada 28 Mac 2009, Datuk Seri Najib menyatakan bahawa Tun Abdullah pernah memberitahunya bahawa "Najib adalah biological son kepada Tun Razak, sementara Abdullah pula adalah political son kepada Tun Razak". Dua kali peralihan kuasa berlaku, pertama pada 28 Mac 2009 bagi jawatan Presiden UMNO. Seterusnya pada 3 April 2009, bagi jawatan Perdana Menteri. Inilah manifestasi pertukaran kuasa yang penuh adat, ketertiban dan berperaturan.

Tun Abdullah menunaikan janjinya untuk peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib sebagaimana yang diucapkan “saya bercadang menyerahkan jawatan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Presiden parti dalam Jun atau pertengahan 2010.” kata Tun Abdullah. Ternyata ianya berlaku lebih awal daripada itu dan melenyapkan terus spekulasi dan andaian berkaitan peralihan kuasa. Terima kasih kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan selamat bertugas buat Datuk Seri Najib Tun Razak. Gelombang perubahan pertama telah berlaku pada 28 Mac 2009, angin perubahan yang kedua datang lagi pada 3 April 2009 dan ianya akan terus bertiup melakukan perubahan di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April 2009. Perdana Menteri yang ke-6 adalah PM untuk Satu Malaysia. Harapan untuk perubahan telah terlaksana.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Thursday, April 2, 2009

DAP Berjanji Akan Hapus Hak Melayu


Pada 25 November 1999, Lim Guan Eng (ketika menjawat jawatan Timbalan Setiauasaha Agung DAP) berjanji akan menghapuskan hak orang Melayu. "Kami masih berpegang dengan pendirian, menolak kerajaan Islam kerana gagasan Malaysian Malaysia tidak akan memberi sebarang keistimewaan kepada mana-mana kaum, sebaliknya semua pihak akan mendapat taraf sama rata yang lebih adil" ujar Guan Eng. Maka tidak menghairankan, mengapa Guan Eng menghapuskan Dasar Ekonomi Baru bila menang sahaja di Pulau Pinang pada 13 Mac 2008.


Nik Aziz telah menyatakan bahawa Perdana Menteri Malaysia boleh dari DAP. Apa akan jadi kalau Guan Eng atau Kit Siang menjadi Perdana Menteri? "Tidak mustahil jika rakyat Malaysia menerima Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang sebagai bakal calon Perdana Menteri berdasarkan kriteria bahawa beliau adalah seorang rakyat Malaysia" ujar Dr Chen Man Hin (Bekas Pengerusi DAP) dalam Utusan Malaysia, 4 Jun 1999. Nampaknya pakatan pembangkang memang sudah merancang untuk mengilirkan jawatan Perdana Menteri pada ketika itu. PAS dan Keadilan sanggup beri kuasa pada DAP semata-mata untuk jatuhkan kuasa orang Melayu.

Jika satu kerusi parlimen lagi diberikan kepada PAS, lambat laun DAP akan menuntut apa yang dijanjikannya. Nik Aziz pun sudah bersetuju dengan mereka. Terjaminkah hak orang Melayu kalau PAS gagal bertegas dengan DAP tentang hak orang Melayu? Untuk apa lagi pilih PAS, jika PAS gagal untuk martabatkan kekuatan orang Melayu dalam Parlimen. Berilah kekuatan itu pada UMNO untuk terus bersama dengan kepimpinan baru di bawah Dato' Seri Najib Tun Razak. Cukuplah sekali tersilap undi PAS di Bukit Gantang. Kali ini undi itu adalah untuk menghukum penderhaka dan pengadai tanah orang Melayu.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Wednesday, April 1, 2009

PAS Terima DAP Jadi Perdana Menteri

Kenyataan Nik Aziz dalam Utusan Malaysia 6 November 1999

Pada satu ketika PAS begitu anti dengan UMNO sebab bekerjasama dengan kafir. Pada tahun 1963, Dewan Ulama PAS Kelantan telah memutuskan bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir memerintah negara menjadi kafir atau haram. Kemudian Haji Hadi Awang menyatakan pada April 1981 di Banggol Peradong bahawa sesiapa di kalangan pengikut PAS yang mati kerana melawan UMNO adalah mati syahid. Sampai begitu sekali PAS marah kerana UMNO berpakat dengan MIC dan MCA dalam Barisan Nasional.

Cukup fanatik PAS hingga menggangap UMNO perlu diperangi seperti dalam Perang Badar. Pada 15 April 1995, Nik Aziz sekali lagi menyatakan bahawa tokoh-tokoh agama UMNO sama dengan ahli kita Yahudi dan Nasrani yang menentang Nabi Muhammad SAW. Kemudian Nik Aziz mengisytiharkan Perang Badar terhadap UMNO dalam pilihan raya umum pada 1995.

Namun segalanya berubah buat PAS empat tahun selepas itu. Pada 24 Januari 1999, Nik Aziz dalam satu ucapan di Pulau Melaka, Kelantan menyatakan bahawa PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk DAP dalam menghadapi pilihan raya umum. Pada tahun 1999 juga, Nik Aziz menyatakan "ajaran Islam tidak melarang umatnya mencarut asalkan kena pada masa dan tempat. Novel Shit, karya Shahnon Ahmad yang menggunakan perkataan carut dan lucah itu tidak bercanggah dengan Islam". Mencarut pun Nik Aziz bela, sekarang ada wakil rakyat berbogel pun dibela juga.

DAP sudah boleh diterima menjadi ketua kepada PAS. Pada 6 November 1999, Nik Aziz (Mursyidul Am PAS) menyatakan dalam Utusan Malaysia bahawa "PAS boleh terima pemimpin DAP jadi Perdana Menteri, tak apa, asalkan dia terima syarat yang ditetapkan oleh Barisan Alternatif". Nik Aziz berkata demikian di Kota Bharu ketika satu program mengisi tabung sebuah cawangan PAS di sana. Begitulah janji Nik Aziz kepada DAP. Janganlah hairan satu hari nanti DAP pun boleh menjadi Menteri Besar Kelantan juga. Jika di Perak, DAP boleh menguasai Nizar dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lepas, tidak mustahil ianya boleh terjadi di Kelantan. Maka, mahukah anda mengundi PAS, jika Perdana Menteri adalah dari DAP sebagaimana yang dijanjikan oleh Nik Aziz?. DAP pasti akan menuntut janji ini dari PAS.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)