Saturday, January 31, 2009

Dua Imam Dan Bersalam Dengan DAP


Kejadian solat dua imam ini dirakamkan di Masjid Gong Pasir, Besut, Terengganu dalam Berita Harian, 19 Julai 1982. Apakah punca terjadi perbuatan seperti ini?

Apakah kejadian ini berpunca dari "fatwa" Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981? Pada waktu itu, Haji Hadi mengatakan "Pas menentang Umno bukan kerana namanya Umno, tetapi kerana Umno mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir dan mengekalkan peraturan jahiliah. Disebabkan itu, perjuangan menentang Umno adalah jihad dan jika mereka mati dalam perjuangan itu, mati mereka adalah mati syahid." Kesan fatwa ini amat besar, terutamanya dalam isu Memali di Baling pada 19 November 1985. Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Perak) sudah boleh bersalam dengan wanita DAP. Di sebelahnya adalah Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak). Seorang Menteri Besar PAS sudah jadi terbuka sekarang. Mungkin PAS kini sudah liberal dan terbuka dengan DAP. Manakan tidak, Nik Aziz sendiri pun sudah boleh masuk ke Restoren Ocean, Kuala Terengganu pada 14 Januari 2009 untuk meraih undi. Malah turut bersalaman dengan Lim Kit Siang.

Pada tahun 1981 di Banggol Peradong, Haji Hadi cukup keras dengan kafir. Pada 2009, Haji Hadi sudah boleh terima dan membaca propaganda dari DAP dengan begitu khusyuk sekali. Bila Karpal Singh menolak dengan keras peraturan hudud pun, Haji Hadi masih lagi bersikap terbuka dan menganggap Karpal sudah faham hudud. Inilah wajah sebenar pemimpin-pemimpin PAS. Yang menjadi terkeliru dengan dakyah mereka akan berbuat apa sahaja akibat taksub dengan "fatwa" pemimpin mereka. Sanggup sembahyang dua imam kerana percaya dengan kata-kata politik pemimpin mereka. Moga kejadian sembahyang dua imam tidak berlaku lagi di negara kita. Ambillah pengajaran dari pertelingkahan Hamas dan Fatah di Palestin. Siapa yang untung akhirnya?
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, January 25, 2009

Gong Xi Fa Chai

Saturday, January 24, 2009

Perubahan Dalam UMNO


Ada orang menyifatkan UMNO sudah hilang daya penarik sebagai penyebab utama kekalahan di Kuala Terengganu. Ada pendapat yang menyatakan ini adalah momentum dari kekalahan di Permatang Pauh. Ada yang sifatkan orang muda tidak menyokong UMNO kerana kalah di beberapa saluran muda di Kuala Terengganu. Berbagai tanggapan dan analisis dibuat setelah UMNO kalah buat kali kedua selepas kalah di lima negeri pada PRU12. Bermacam macam alasan dan faktor dinyatakan.

Jika dilihat keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, UMNO mendapat 2,310 undi kurang berbanding keputusan pada pilihan raya umum pada Mac 2008. Wan Farid mendapat 30,252 undi berbanding Arwah Datuk Razali yang mendapat 32,562 undi. Bezanya adalah 2,310 undi. Mengapa undi kepada Wan Farid berkurang? Ke mana hilangnya undi itu? Pertamanya, lihat berapa peratusan turun undi. Pada Mac 2008, peratusan turun undi adalah 82.31% berbanding pada 17 Januari lepas, peratusan turun undi adalah 79.9%. Bezanya adalah 2.41%. Hampir 1,934 orang tidak turun mengundi.

Apakah jika peratus turun mengundi menjadi 85% maka BN akan menang? Kemungkinan besar ada, tetapi ramai pula yang tidak turun mengundi. Di sini faktor calon mungkin menjadi pendorong keengganan mereka untuk turun mengundi. Orang PAS tetap akan undi PAS. Yang memberikan kemenangan kepada PAS adalah orang UMNO sendiri . Mereka tidak puas hati dan protes dengan UMNO. Itu yang membuatkan Wahid Endut menang. Oleh itu, PAS menang bukan kerana PAS dan Pakatan Rakyat kuat tetapi kerana orang UMNO sendiri yang tidak mahu calon UMNO menang. UMNO kalah kerana orang UMNO sendiri.

Faktor calon. Wan Farid dilihat mempunyai hubungan istimewa dengan orang-orang tertentu hingga dilabel sebagai kroni. Tambahan pula keluarga terdekatnya juga terlibat dalam projek dan jawatan politik, keadaan ini menguatkan lagi tuduhan. Wan Farid juga dilihat orang sebagai sombong dan tidak mesra. Pada mulanya, ianya hanya persepsi sahaja tetapi lama-kelamaan bila acap kali diulang, ianya sudah diterima sebagai fakta. Pengundi telah terheret sama dan mempercayai. Ramai tidak sedar bahawa ini adalah sebahagian daripada teknik melabel yang dibuat oleh PAS. Konflik lama, dendam dan sentimen peribadi gagal dicuci sepenuhnya oleh UMNO untuk memulihkan kembali imej calon.

Berbanding PAS, mengapa konflik Erdogan dan Ulama tidak menjahanamkan PAS? Pecahnya hanya di kepimpinan atas. Struktur PAS tidak seperti UMNO. Dalam UMNO, jika pecah kesannya sampailah ke bawah dan cawangan-cawangan. Dalam PAS, cawangan hanya beberapa orang sahaja, jawatan ikut sukarela dan dilantik. Tidak seperti UMNO yang dipilih secara demokrasi. Kalau ada isu rasuah, duit tidak sampai dan pertembungan sesama pemimpin dalam PAS, ianya tidak melarat sampai ke bawah. PAS tahu jika partinya berstruktur dan kemas organisasinya macam UMNO, lambat laun PAS juga akan sakit dengan perebutan macam UMNO. Erdogan dan Ulamak boleh jadi barah dalam PAS. Kalau tak runtuh, ianya akan buat PAS demam berpanjangan.

Oleh itu, apa yang UMNO perlu buat untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat bagi memenangi hati pengundi?

1) UMNO perlu selesaikan krisis dan memperkemaskan kembali parti. Jika semuanya menunggu hingga Mac untuk bertindak. Kemungkinan UMNO akan lebih parah lagi.

2) UMNO tidak perlu banyak bercerita tentang perebutan dan pemilihan dalam UMNO. Apa gunanya jadi G7 dan G2 kalau hanya pergi PWTC hanya untuk mengundi semata-mata. Orang terlupa bahawa pada bulan Mac nanti adalah Perhimpunan Agung UMNO bukan Pemilihan Agung UMNO. Lagipun rakyat kebanyakan lebih suka mendengar visi dan hala tuju seseorang calon berbanding cerita konflik, pergeseran dan perebutan.

3) UMNO mesti terus konsisten melaksanakan janji-janji lepas dalam pilihan raya umum. Tunaikan sebanyak mungkin. Ini kerana YB YB Pakatan Rakyat sekarang lebih sibuk membangkang dari menyumbang. Ini kelebihan yang ada pada UMNO. Berikan pada yang benar-benar berhak dan memerlukan. Tanpa mengira apa warna parti. Hentikan prasangka, salah menyalahkan dan memaafkan yang lepas. Tumpukan usaha untuk merancang dan bertindak dalam kadar masa yang dijanjikan.

4) UMNO sekarang menguasai 78 kerusi parlimen. Hanya kurang 5 kerusi sahaja daripada semua kerusi pembangkang (83 kerusi). Kalau orang UMNO bersatu dan melawan Pakatan Rakyat sebagaimana melawan ahli UMNO sendiri semasa pemilihan UMNO. Maka UMNO susah untuk kalah. Lihatlah bagaimana kuatnya semangat UMNO kalau lawan orang UMNO masa pemilihan. Sanggup berkempen 5 atau 6 kali pusingan ke setiap rumah perwakilan, sanggup tidur hingga 3 atau 4 pagi untuk berkempen, sanggup belanja satu kedai makan untuk undi, sanggup SMS berulang kali untuk merayu undi dan sanggup berhabis duit untuk jawatan UMNO. Ramai yang tidak sedar bahawa apa gunanya ada jawatan UMNO tetapi hilang kerusi di DUN dan Parlimen.

5) UMNO perlu terus terusan menjawab isu yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat dengan fakta dan penjelasan yang rasional. Usah jadi seperti pembangkang yang gunakan emosi dan perbandingan yang agak longgar sebagai hujah. Biarkan orang menilai kebenaran. Tidak semua orang akan berjumpa dengan kebenaran pada awal pencariannya. Namun ramai yang akan menemuinya setelah mereka berfikir, merenung dan mendapatnya dari pengalaman. Kalau tidak dijawab dan didiamkan, maka ianya akan menjadi kepercayaan atau paling tidak menimbulkan keraguan dalam hati pengundi. Jawab isu satu persatu, jangan biarkan ianya bernanah.

Pengundi pada PRU13 adalah terdiri daripada golongan muda. Majoritinya tidak faham pun dengan organisasi parti UMNO, PAS, PKR dan DAP. Mereka hanya kenal calon, isu yang dibawa dan visi calon. Golongan ini beranggapan mudah bahawa sudah 50 tahun UMNO perintah, apa salahnya beri setahun dua atau sepenggal dua kepada Pakatan Rakyat. Mereka ada perasaan ingin mencuba yang kuat. Suka try and error. Kalau Pakatan Rakyat buat salah sekalipun, hujah 50 tahun akan diulang ulang. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Pakatan Rakyat sampai sekarang masih lagi dengan "Harapan Baru", UMNO masih lagi belum selesai pilih organisasi sedang sibuk buat perubahan. Selesaikan segera pemilihan dan tumpukan kepada kerja. Masuk segera dalam barisan untuk menghadapi pakatan. Selagi masih diluar barisan, selagi itu UMNO akan terus mengalami masalah yang sama.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Khalid Ibrahim, Lembu Dan Camry

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa dana kerajaan negeri memang tidak digunakan bagi membiayai pembelian lembu-lembu korban berkenaan,” kata Khalid Ibrahim kepada Bernama pada 23 Januari 2009. Bila didedahkan oleh Dato' Seri Khir Toyo tentang penyalahgunaan wang agensi kerajaan negeri untuk pembelian lembu tersebut, Khalid mulalah berdolak dalih. Khalid menyatakan dalam Sinar Harian, 24 Januari bahawa "tiada isu yang timbul, apa salahnya saya bersedekah". Jika Khalid mahu menggunakan wang agensi kerajaan negeri untuk bersedekah, mengapa gunakan untuk pengagihan lembu di Parlimen Bandar Tun Razak sahaja? Ahli parlimen lain juga patut mendapat hak yang sama.

RM110,000 digunakan untuk lembu bagi menjaga nama baik Khalid di 46 buah masjid dan surau di Parlimen Bandar Tun Razak. RM2.35 juta digunakan untuk Camry bagi kepentingan beberapa orang pemimpin PKR, DAP dan PAS di Selangor. Namun rakyat Selangor masih lagi ternanti-nanti janji-janji Khalid dalam manifesto PKR. Mana dia duit RM50 untuk anak-anak masuk tadika? 47,000 orang dinafikan penerimaan duit RM50 kerana Khalid lebih pentingkan dia sendiri dan kroni-kroninya yang memegang tampuk kuasa di Selangor. Gerakan Anti Korupsi dan Rasuah, GERAK sila siasat sama pembabitan ahli-ahli PKR dan PAS dalam kempen politik wang. GERAK mesti juga siasat kes Datuk Norza Zakaria bagi menunjukkan GERAK tidak prejudis kerana sentimen hubungan keluarga. Tahniah GERAK, teruskan menyiasat dan mendedahkan.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, January 23, 2009

Gambar Gambar: Ehsan Anak Anwar Ibrahim

Gambar-gambar di bawah ini diambil dari link berikut. Gambar yang bertanda bulat adalah Ihsan bin Anwar. Anak kepada Anwar Ibrahim (Pemimpin De Facto PKR, Ketua Pembangkang).





Ehsan, paling kanan di hadapan, satu-satu anak lelaki Anwar. Sejak laporan bekas pembantu sulit Anwar, Saiful Bukhari, Ehsan dikatakan telah desak ayahnya menafikan dakwaaan tersebut dengan bersumpah, tetapi Anwar enggan. Ini membuatkan Ehsan kecewa dan tidak hadir dalam semua acara penting politik ayahnya (baca sini) . Apakah kerana kecewa Ehsan berubah sikap akibat kecewa dengan perangai bapanya? Ehsan dikatakan mendapat cerita sebenar apabila rapat dengan Sukma Darmawan, bekas adik angkat Anwar Ibrahim.

Reformasi tahun 1998, Azizah dan keluarga begitu bersemangat. Anak lelaki Anwar, di belakang adalah Ehsan. Tetapi tahun 2008, Azizah semacam lemah semangat, Izzah sentiasa risau dan Ehsan menyepikan diri. Ada percanggahan pendapat di kalangan anak-anak Anwar. Apakah ini kerana mereka semua telah besar dan boleh berfikir secara rasional? Izzah juga pernah mahu menampar Ehsan kerana mencabar ayahnya untuk bersumpah. Jika Ehsan berubah sikap, tentunya Wan Azizah yang merana menanggung akibatnya. Salah siapa Ehsan jadi begitu?

Pada sidang akhbar yang dibuat oleh Anwar berhubung isu liwat yang dilaporkan oleh Saiful Bukhari, Ehsan tidak hadir sama. Paling ketara ialah wajah Nurul Izzah yang sugul dan runsing. Seolah menyembunyikan sesuatu, kebiasaaanya Izzah sentiasa tersenyum dan tenang. Apakah Izzah gelisah tentang apa yang berlaku pada Ehsan? Anda nilaikanlah sendiri


Thursday, January 22, 2009

Pro Mahasiswa Menang Di UIA

Pada 22 Januari 2009, adalah tarikh pengundian pilihan raya kampus di UIA. Pertembungan di UIA adalah antara Aspirasi, PKPIM dan Pro Mahasiswa. Sejumlah 29 kerusi dipertandingkan di UIA. Keputusannya, Pro Mahasiswa menang 23-5. Aspirasi berjaya menambahkan satu lagi kerusi berbanding 4 kerusi pada sesi 2007/08. Aspirasi mendapat 5 kerusi iaitu satu di kuliyyah arkitek, satu di kuliyyah ICT, dua di kerusi antarabangsa dan satu di kuliyyah ekonomi. Manakala satu kerusi di Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Kuantan terpaksa diadakan pemilihan semula kerana tiada calon yang cukup bertanding semasa hari penamaan calon.

UIA adalah universiti yang terakhir mengadakan pilihan raya kampus. Setelah selesai 20 IPTA yang mengadakan pilihan raya kampus, Aspirasi telah menang di 17 IPTA, Pro Mahasiswa menang di dua IPTA iaitu di UM dan UIA. Manakala di UNIMAS, Aspirasi dan Pro M masing-masing seri dan membentuk kerajaan campuran di sana. Tahniah kepada semua MPP yang menang. Setahun dari sekarang mandat anda selaku MPP akan tamat, tunaikan tanggungjawab anda pada pengundi.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Wednesday, January 21, 2009

Gaza Jadi Medan Kempen Politik Amerika & Israel

(Gambar: Barrack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dengan meletakkan tangan di atas Bible yang sama pernah digunakan oleh Abraham Lincoln pada 1861. Dick Cheney, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat yang berbangsa Yahudi menjadi saksi sumpah Obama).

"New Era Of Responsibility" itulah slogan Obama. Pentadbiran baru Obama telah menghantar George Mithcell sebagai perunding kedamaian di Palestin. Ketika golongan neo konservatif masih lagi menguasai rumah putih dengan perlantikan Rahmn Emanuel, mampukah Obama menjadi lebih bertanggungjawab dari Bush? Dunia Islam juga mengharapkan kedamaian yang berterusan dicapai di Palestin. Namun mahukah Israel patuh pada perjanjian dan hidup dunia yang lebih aman damai? Israel harus didakwa di mahkamah antarabangsa,. Jika tidak ,kejadian yang sama akan berulang lagi. Lambat laun, setelah puas tanah Palestin dibelasah Israel, mungkinkah ada tanah baru yang mahu digodam oleh Israel?
Baracck Obama mengambi alih jawatan sebagai orang nombor satu Amerika Syarikat pada 20 Januari 2008. "To the Muslim world, we seek a new way forward based on mutul interest and mutual respest. To those leaders around the globe who seek to sow conflict or blame their society's ills on the West, know that your people will judge you on what you can build, not what you destroy" kata Obama sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden.

Apakah orang tidak menilai kita berdasarkan apa yang telah kita musnahkan? Lihatlah apa yang telah Israel musnahkan di Gaza. Perbuatan tersebut yang membuatkan satu dunia membenci dan mengecam Israel. Obama akan dibenci seperti Bush jika dasar Amerika terhadap Israel tidak diubah. China, Russia dan India pula akan dilihat sebagai bakal kuasa pengimbang baru untuk menyaingi sikap unilateral Amerika Syarikat. Sebelum Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden, barulah Israel mahu mengundurkan tenteranya dari Gaza. Apakah Gaza hanya dijadikan pentas eksperimen politik Amerika dan Israel? Gaza seolah medan politik bagi mengangkat imej Obama. Keganasan di Gaza juga dijadikan modal politik dalam kempen antara parti Likud dan parti Buruh di Israel yang akan mengadakan pilihan raya pada 10 Februari 2009 ini.

Sesudah 1,300 orang menjadi korban, beribu orang dicederakan, 20,000 rumah dimusnahkan, 16 pejabat kerajaan dirosakkan dan 20 masjid dihancurkan, maka gencatan senjata dilakukan oleh Israel. Kos keseluruhan kebinasaan yang dilakukan oleh Israel dianggarkan berjumlah USD $1.9 bilion. Namun nyawa dan tanah Palestin yang dicerobohi tidak boleh diganti dengan wang ringgit. Obama juga menjanjikan pengunduran dari Iraq dan Afganisthan. Apakah setelah berundur dari kedua-dua negara tersebut ada pula negara lain yang menjadi mangsa baru? Ketika gencatan senjata ini berlaku, alangkah baiknya jika Hamas dan Fatah berpakat kembali untuk membangunkan kembali Gaza. Hentikan sementara pertikaian politik. Bersatulah untuk membina semula Gaza yang musnah akibat kekejaman rejim Zionis. Jika masih bergasak, tidak mustahil tanah Palestin yang kini hanya tinggal 22%, lama-kelamaan akan hilang kesemuanya.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, January 20, 2009

Pilihan Raya Kampus: Aspirasi Tidak Kalah di UM

Aspirasi tidak kalah di Universiti Malaya. Di UM, nama Aspirasi tidak digunakan. Tempat Aspirasi digantikan dengan nama "Penggerak Mahasiswa". Semalam, 19 Januari 2009, adalah proses pengundian di Universiti Malaya. Keputusannya, Penggerak Mahasiswa mendapat 20 kerusi, Pro Mahasiswa mendapat 19 kerusi dan calon bebas (kedua-duanya dari Fakulti Undang-Undang) mendapat 2 kerusi. Persoalannya siapakah yang menguasai tampuk MPP di Universiti Malaya? Penggerak Mahasiswa atau Pro Mahasiswa? Pada awal keputusan pagi tadi, laman blog yang pro kepada Pro M sudah pun mengisytiharkan bahawa Universiti Malaya dikuasai oleh Pro M.

Difahamkan kedua-dua calon Bebas ini tidak mengaku menyokong kepada Pro Mahasiswa (baca sini). Dua calon bebas tersebut ialah Noor Azween Mohd Iqbal dan Lim Bee San. "Sesungguhnya, sejajar dengan pendirian bebas calon-calon Fakulti Undang-Undang, maka mereka masih mengekalkan posisi mereka sebagai calon bebas tanpa berpihak kepada mana-mana pihak," kata Gary Ong Kah Lon (jurucakap kedua-dua calon Bebas tersebut). Universiti Malaya menjadi tumpuan utama sepanjang pilihan raya kampus kali ini kerana timbul pelbagai isu yang kontroversi. UM dianggap sebagai universiti rebutan antara 20 IPTA yang lain. Dua calon bebas ini bakal menjadi faktor penentu kepada Pro M dan Penggerak Mahasiswa.

Kedudukan di UM tidak menjadi persoalan besar kepada Aspirasi untuk menguasai IPTA dalam pilihan raya kampus kali ini. Ini kerana Aspirasi sudah menang di UPM dengan 35-13 dan menang di UPNM dengan 13-0. Keseluruhannya, Aspirasi sudah kuasai 17 IPTA, seri dengan Pro M di UNIMAS, meninggalkan tempat di UM kepada Pro M dan Penggerak Mahasiswa dan masih lagi bertembung dengan We Unite For Islam (WUFI) dan PKPIM di UIA.

(Gambar: Azlan Zainal, Presiden Parti Mahasiswa Negara yang menjadi orang pertama menjumpai kepala babi di surau Akademi Pengajian Islam pada 16 Januari 2009. Mengapa perlu Azlan yang menjadi orang pertama menemui kepala babi terbabit? Orang lain semuanya kena pukau? Baca sini).

Pihak mana pun yang menjadi MPP di UM perlu melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan. Bolehkah UMANY menunaikan janjinya untuk menghapuskan ISA hanya kerana dengan jawatan MPP di kampus? Sudah tentu tidak. Ini menunjukkan bahawa perjuangan Pro M lebih berdasarkan retorik dan emosi semata-mata. Apakah Faisal Mustafa (Exco Angkatan Muda PKR) menjadi pengurus calon kepada kumpulan Pro M? Kehadiran Zainulfakar Yaacob (bekas aktivis PMIUM, pengasas kepada Parti Mahasiswa Negara) atas tiket Web TV PAS malam tadi semasa pengiraaan calon menyerlahkan siapa sebenarnya di belakang kumpulan Pro M. Oleh itu, berbanggalah Harakah mengakui bahawa UM sudah jatuh ke tangan Pro Mahasiswa. Apakah Pro M ini juga pro kepada PAS?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, January 18, 2009

PAS Menang Tetapi Siapa Yang Untung?

Gambar di atas diambil dari blog Teresa Kok (Ahli Parlimen DAP Seputeh) bersama dengan Wahid Endut (ahli parlimen Kuala Terengganu dan ADUN Wakaf Mempelam) ketika berkempen di Kuala Terengganu. Apa persamaan mereka berdua ini? Teresa Kok juga memegang jawatan ADUN di Selangor. Terpaksalah Wahid membahagikan masanya untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. Jangan tertidur sudah lah. Wahid Endut menyertai kelab Teresa Kok, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim yang menjadi wakil rakyat DUN dan Parlimen secara sekaligus.

Selepas ini, kerja mesti dilaksanakan, tunaikan manifesto untuk membasmi kemiskinan dan pembaziran yang dilaung-laungkan dalam kempen di Kuala Terengganu. Semasa PAS perintah Terengganu, berapa ramai orang miskin yang mendapat faedah dan keluar dari belenggu kemiskinan? Jangan jadi seperti Khalid Ibrahim yang lebih mementingkan kereta Camry RM2.35 juta berbanding RM50 kepada setiap kanak-kanak untuk masuk ke Tadika. Bahagikan RM2.35 juta dengan RM50, berapa orang-orang kanak-kanak boleh mendapat faedahnya? 47,000 orang kanak-kanak dinafikan haknya kerana Khalid Ibrahim lebih sukakan Camry.

Usah lagi mengambil sikap tidak dapat kerajaan pusat, maka semua kerja tidak boleh dibuat. Gaji sebagai pembangkang pun, kiri dan kanan masuk. Ada kapasiti dan ada autoriti, laksanakan amanah pada rakyat. Jika tidak, kemenangan PAS hanya akan memuaskan hati DAP dan sekutunya yang gembira parti Melayu yang paling kuat menerajui kerajaan sekarang semakin terhakis kuasanya. Mereka suka jika BN diterajui oleh orang-orang bukan Islam, sebagaimana DAP merajai Pakatan Rakyat. Puas hati beri PAS menang di Kuala Terengganu? Berseronoklah kamu wahai ahli-ahli PAS, sedangkan Karpal masih lagi berdegil dan enggan terima negara Islam. Tunggulah, lambat laun bila sudah jadi macam Pulau Pinang dan Perak, barulah orang Terengganu pula hendak menyesal.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Saturday, January 17, 2009

Kuala Terengganu, Pentas Terbaik Ajar Karpal Singh

Anwar Ibrahim ketika sedang berceramah di Kuala Terengganu di hadapan pengundi Cina. Anwar menyatakan Kuala Terengganu menjadi landasannya untuk menjadi Perdana Menteri. Harapan terus dicipta kepada rakyat agar percaya dengan angan-angan Anwar. Di hadapan pengundi Melayu, Anwar berjanji pakej yang berlainan. Bila berhadapan dengan pengundi Cina, cerita yang lain pula dijanjikan. Itulah cara Anwar, tetapi ada lagi yang masih asyuk dengan janjinya itu. Entah mengapa, mereka suka sangat ditipu dan diperdaya oleh Anwar. Apa pun, percaturan Erdogan untuk melemahkan kredibiliti Haji Hadi Awang di Kuala Terengganu sudah berjaya. Anwar mempengaruhi Haji Hadi untuk menukar nama calon pada saat-saat akhir.
(Gambar: Husam juga datang berkempen sama dengan Anwar di hadapan pengundi-pengundi Cina. Mengapa bendera PKR yang diletakkan di rostrum? PAS yang bertanding bukannya PKR).

Pada awalnya, Musthapa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu) yang harus menjadi calon. Anwar amat bimbang, kalau Musthapa Ali diberikan peluang untuk menjadi calon, peluang Husam Musa untuk kekal di kerusi Naib Presiden PAS mungkin akan tergugat. Hadi Awang akan mendapat partner yang lebih kuat jika Musthapa ALi menang. Bila nama Musthapa dicantas, maka kekuatan Hadi turut terjejas. Anwar ada line up tersendiri untuk kepimpinan PAS pada muktamar akan datang. Dua malam sebelum penamaan calon, Anwar mengarahkan Husam untuk membawa gerombolan jentera dari Kelantan untuk memenuhi Kuala Terengganu. Di surau dan masjid, penuh orang-orang PAS dari Kelantan. Di atas jalanraya, penuh pasukan bermotosikal dari Kelantan juga. Semua ini dibuat untuk memperkuatkan Husam sebagai bakal Presiden PAS.

Pengundian di Kuala Terengganu bukannya hanya sekadar memilih seorang wakil di parlimen. Jika Wahid Endut menang pun, keadaan Pakatan Rakyat tidak akan berubah. Mereka tidak akan menjadi kerajaan baru pada esoknya. Harga barang tidak akan menjunam serta merta. Minyak pun tidak akan turun secara mendadak lepas mereka menang. DAP juga tidak akan berubah. Karpal tetap berdegil dan keras kepala. Orang-orang bukan Melayu dalam PKR juga akan tetap dengan pendirian mereka. PAS tidak akan berani pun melawan Karpal dan DAP. Malah Anwar sendiri pun tidak berani dengan Karpal Singh.

Untuk itu, apa lagi harapan yang tinggal bagi orang Melayu? Pakatan Rakyat memang tidak boleh diharapkan lagi untuk membawa perubahan. Pilihlah dengan bijak. Bila nasi sudah jadi bubur, segalanya tidak akan berguna lagi. Ambillah pengajaran dari nasib orang Melayu di Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Lihatlah apa nasib yang mereka dapat? Mahukah Terengganu mengalami nasib yang sama? Kuala Terengganu adalah medan terbaik untuk orang Melayu mengajar kebiadapan DAP selama ini. Mahukah anda melihat Karpal tertawa besar melihat kemenangan calon Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu nanti? Selama ini, Karpal tolak hudud, tolak negara Islam dan ugut mahu keluar dari Pakatan Rakyat, inilah masa terbaik orang PAS tunjukkan undi protes terhadap Karpal. Bila lagi hendak ajar Karpal?
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, January 16, 2009

Pilihan Raya Kampus: Siapa Letak Kepala Babi Dalam Surau Di UM?

(Foto ini diambil dari Mahasiswakini, satu laman blog Pro M. Bagaimana mereka boleh dapat foto ini sedangkan polis sudah pun berkawal di sekitar surau berkenaan?).

Pada jam 5 pagi, 16 Januari 2009, pelajar-pelajar Universiti Malaya dikejutkan dengan penemuan dua kepala babi yang diletakkan atas bendera PAS dalam surau Akademi Pengajian Islam dalam kawasan Universiti Malaya. “Saya yakin ada pihak yang rasa terkesan dan seperti mahu menutup mulut kami dalam menyatakan pendirian kami terhadap rasuah dan penyalahgunaan wang yang berleluasa dalam PRK sekarang, selain itu, isu ini sengaja dicetuskan bagi mengalih perhatian umum kepada isu rasuah yang lebih besar,” berikut adalah kenyatan dari Norazali Zainuddin (Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya).

Mengapa terlalu cepat menuduh pihak tertentu yang meletakan kepala babi tersebut? Sama seperti isu surat palsu TNC HEP dan duit RM100 kepada calon-calon Pro M. Apakah TNC HEP tahu siapakah bakal-bakal calon Pro M? Perkata itu hanya diketahui oleh kumpulan Pro M sahaja. Jadi bagaimana surat tersebut boleh ditujukan kepada orang terbabit dengan tepatnya. Tidakkah ini menampakkan satu tactical psywar yang dibuat sendiri oleh kumpulan Pro M untuk mengada-ngadakan isu di Universiti Malaya?.

(Gambar: Tulisan "OM" diconteng di surau Kolej Kediaman Ke 2. Siapa dalang menconteng bangunan ini? Tulisan tidak jelas seperti seorang yang tidak biasa dengan tulisan ini. (seperti baru belajar) Kemudian Al Quran masih tersusun rapi tanpa diusik pun. Yang dirosakkan adalah buku-buku di dalam surau. Adakah persatuan yang tidak suka dengan pengetua melakukan kerja-kerja ini?. Rujuk pemikirmahasiswaonline).

Kes menjadikan surau sebagai sasaran bahan psywar bukan pertama kali berlaku di Universiti Malaya. Sebelum kehadiran Perdana Menteri ke Universiti Malaya pada 2 Februari 2008 untuk ke program alumni "Day : Home Coming 2008" isu yang hampir sama tercetus di surau Universiti Malaya. Ketika itu, terdengar rancangan mahu mengadakan demonstrasi sempena kehadiran Perdana Menteri ke Universiti Malaya. Kebetulan atau ianya sengaja dirancang, tiba-tiba ada pula orang pergi menconteng surau dengan tulisan "OM'. Mengapa ianya diconteng di surau Kolej Kediaman Ke-2, tidak diconteng di surau Akademi Pengajian Islam atau di masjid?. (Gambar: Beberapa orang pelajar PMIUM berada di surau yang diconteng tersebut di Kolej Kediaman Ke-2).

Mengapa surau Kolej Kediaman Ke-2 diconteng? Isunya mungkin bersifat peribadi apabila ada mahasiswa UM yang tidak berpuas hati dengan pengetua kolej ke-2 iaitu Profesor Dr. M. Rajentheran (Pengetua Kolej Kediaman Ke-2, Pensyarah di Jabatan Pengajian India, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya) dan Mahaganapathy Dass a/l Paskaradass ( Penyelia Kolej Kediaman Ke-2, Penolong Pendaftar di Pusat Pelajar Antarabangsa, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Malaya). Tuduhan mereka ialah kolej ke-2 terlalu ramai mahasiswa India. Oleh itu, ada pihak yang tidak berpuas hati. Mungkinkah tulisan "OM" itu sengaja diada-adakan untuk menunjukkan orang India yang masuk ke dalam surau dan mencontengnya? Ianya seolah dirancang ke arah motif itu. Bila isu ini tercetus, maka beraraklah mahasiswa untuk berdemontrasi di hapan Perdana Menteri, bukankah begitu naratifnya?

(Gambar: Pernah berlaku dulu, pejabat PMIUM diconteng dengan tulisan tersebut. Pejabat PMIUM adalah pejabat yang dikawal 24 jam dan sentiasa mempunyai penghuni. Persoalannya siapakah yang menconteng bangunan Pejabat PMIUM ini jika pejabat ini sentiasa dikawal 24 jam? Bodoh sangatkah pihak musuh mahu menconteng bangunan yang sentiasa dikawal 24 jam oleh ahlinya. Rujuk pemikirmahasiswaonline).

Pejabat PMIUM turut disembur dengan tulisan "PMIUM BABI". Ini bermakna kejadian kepala babi diletakkan dalam surau adalah kejadian yang berulang tetapi dengan cara yang berlainan. Jika dulu "PMIUM BABI", sekarang ini kepala babi sendiri turut dijadikan sebagai bahan psywar. Bagi mereka yang menganalisis sesuatu kejadian secara sekilas pandang, isu tulisan "PMIUM BABI" dan "Fxxx" lebih terarah untuk menuduh pihak Aspirasi yang melakukannya. Motifnya dibuat untuk tuduhan diarahkan kepada Aspirasi. Begitu juga kejadian tulisan "OM" di dinding surau Kolej Kediaman Ke-2. Sekilas pandang, orang akan tuduh mahasiswa India yang buat bukan? Dr. M. Rajentheran dan Mahaganapathy Dass a/l Paskaradass tentunya akan dikatakan sebagai dalangnya? Jadi akhirnya, bila orang simpati dengan serangan bertalu talu kepada PMI, mereka akan menuduh orang lain sebagai jahat dan sanggup berbuat apa sahaja untuk menghalalkan cara.


(Gambar: Perhatikan betul-betul tulisan semburan pada dinding surau dan pejabat PMIUM dengan semburan pada bendera PAS. Ada apa-apa persamaan? Kaedahnya sama iaitu gunakan penyembur cat. Apakah ianya datang dari idea mastermind yang sama? Atau orang yang sama dilatih untuk tujuan ketiga-tiga black ops tersebut?).

Begitu juga dengan kejadian pada awal pagi tadi, motifnya sudah tentu terarah untuk menuduh Aspirasi dan pihak TNC HEP sebagai jahat. Kemudian Pengerusi Pro M menyatakan bahawa TNC HEP sengaja mencetuskan isu baru untuk menutup isu rasuah kononya di UM. Surat yang diedarkan bersama RM100 adalah surat yang diimbas dan kemudian di photostat kembali. Apakah kerana surat demikitan, Pro M boleh menuduh TNC melakukan rasuah? Tuduhan ini nyata sekali tidak berasas. Jika diteliti ketiga-tiga kes di atas, kes conteng di pejabat PMIUM, kes tulisan "OM" dan terbaru kes kepala babi di surau Akademi Pengajian Islam. Motifnya seolah-olah dirancang untuk menuduh pihak lain sebagai kambing hitam bukan?

Siapa yang buat kita tidak tahu. Aspirasi yang buat atau Pro M yang buat atau pihak lain yang buat? Siapa yang sanggup pegang kepala babi masuk ke dalam surau yang dikawal ketat oleh kumpulan Pro M? Siapa yang sanggup letak bahan psywar dalam surau yang selama ini dijadikan markas operasi Pro M sejak bertahun tahun lamanya? Orang yang buat perkara ini memang wajar mendapat hukuman yang berat daripada Allah SWT.

Dicadangkan agar Pro Mahasiswa dan Aspirasi mengadakan satu majlis angkat sumpah bersama untuk mengesahkan mereka tidak buat perkara terbabit. Jangan cepat menuduh mana-mana pihak yang melakukannya tanpa usul periksa dan bukti yang sahih. Untuk kebenaran bersama, pihak yang menghina rumah Allah SWT dengan kepala babi ini harus mendapat hukuman yang berat. Dicadangkan kepada Aspirasi, jika pihak Pro M enggan hadir membuat majlis angkat sumpah secara bersama selepas solat Jumaat petang ini, maka Aspirasi harus mengadakan majlis solat hajat dan bacaan Yassin untuk memohon kepada Allah SWT agar mereka yang terbabit mengotorkan pilihan raya kampus di UM dengan kepala babi tersebut diberikan hukuman yang berat. Kebenaran akan datang kepada mereka yang dianiaya. Pembalasan pula akan datang kepada mereka yang sanggup membuat kerja jahat untuk menghalalkan cara.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Cabaran Ezam Belum Disahut Anwar dan Husam

Pada 14 Januari 2008, dalam satu ceramah di Kampung Kubang Parit, Wakaf Mempelam, saudara Ezam Mohd Noor (bekas Ketua Angkatan Muda PKR) telah bersumpah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ pernah memberitahu Husam Musa (Naib Presiden PAS) bahawa beliau keluar parti Keadilan kerana Anwar lakukan perkara yang tidak boleh diterima Islam. Husam menjawab “kita pun tahu (perangai Anwar) tapi sebab politik, kita nak pakai dia, kita nak tunggang dia,”. Kalau Husam sudah tahu kenapa mahu bersubahat lagi dengan Anwar dan sanggup menipu orang-orang bawahan PAS? Apa yang hendak disembunyikan oleh Husam? Menafikan kebenaran kerana takut melawan mentornya sendiri?


“Saya cabar Husam datang Kuala Terengganu jawab tuduhan kata saya masuk UMNO kerana nak cari makan. Di ada dua malam atau dua hari ( dari Rabu malam) jawab cabaran saya,” kata Ezam lagi. Jika Husam tidak hadir malam ini untuk menjelaskan tentang pengakuannya mengenainya moral Anwar kepada Ezam, ini bermakna Husam memang mengakui kebenaran perkara yang dinyatakan oleh Ezam. Mahukah Husam pula bersumpah bahawa semua yang dikatakan oleh Ezam adalah berunsur fitnah dan konspirasi semata-mata? Sudah tentu Husam tidak akan bersumpah seperti Ezam. Seperti Anwar, Husam juga pasti hanya akan bersumpah di hadapan ulama antarabangsa sahaja. Apakah ahli-ahli PAS tidak sedar lagi dengan sandiwara Husam ini? Mahu bersubahat sama dengan Husam?


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabunga Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Pilhan Raya Kampus: Aspirasi Menang di UKM dan USM

Keputusan pengundian di UKM diumumkan pada jam 11 malam, 15 Januari 2008 oleh Prof Dato Dr Mohammad Bin Abd Razak (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UKM) di Kompleks Bestari, UKM. Keputusannya, Aspirasi menang 21 berbanding hanya 12 yang dimenangi oleh kumpulan Pro Mahasiswa.
Sementara di USM pula, Aspirasi mengekalkan penguasaan bila menang 31 daripada 37 kerusi yang dipertandingkan. Kumpulan Pro Mahasiswa menang 6 kerusi iaitu dua kerusi di kawasan umum, satu kerusi di fakulti pendidikan dan tiga kerusi lagi di kampus kesihatan. Kemenangan pro Aspirasi di dua universiti ini membayangkan bahawa generasi muda sudah menolak cara politik kepartaian yang cuba dibawa oleh Pro M dalam kampus. Tahniah kepada Aspirasi di UKM dan USM.

Di Universiti Malaya, selepas penamaan calon pada 15 Januari 2008, Aspirasi mendahului Pro M dengan 6 kerusi berbanding 3 kerusi secara tanpa bertanding. Setakat ini, sudah 16 buah IPTA yang mengadakan pilihan raya kampus. Aspirasi mendahului 15 berbanding satu seri di UNIMAS. Pro Mahasiswa masih belum lagi menguasai mana-mana universiti. Harapan baru mereka mungkin tinggal di UPNM, UPM, UM dan UIA yang masih lagi belum mengadakan pengundian. Esok juga adalah hari pengundian di Kuala Terengganu, nampaknya generasi muda dan terpelajar di universiti sudah menolak "Harapan Baru" yang cuba dibawakan dalam kampus. Pastinya penolakan itu juga akan berlaku di Kuala Terengganu. Kita nantikan bersama-sama.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Thursday, January 15, 2009

Hudud: Karpal Sudah Beri Kata Dua

Sebenarnya janji PAS untuk melaksanakan hudud di negara ini sudah lama. Dalam manifesto pilihan raya umum 1990, PAS berikrar akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan jika memerintah Negeri Kelantan dalam Manifesto Pilihan Raya PAS bertajuk "Program PAS Negeri Kelantan 1990". Kemudian bila dapat memerintah Kelantan, PAS gagal melaksanakannya. Berikut kenyataan pemimpin PAS selepas 8 tahun memerintah Kelantan, "Hendak melaksanakan hukum hudud di negeri ini hanya boleh dibuat jika mendapat perhatian dan kerjasama daripada semua pihak." (Utusan Malaysia, 11 Februari 1998). Pada 21 Disember 2008, Husam Musa (Naib Presiden PAS) berkata parti itu akan menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud di Balai Islam, Kota Bharu. Apakah kenyataan Husam ini hanya diulang kembali semata-mata untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu?.

(Gambar: Kenyataan Karpal dalam Malaysiakini pada 14 Januari 2008 yang secara jelas menolak hudud). Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, PAS terus terusan menuduh UMNO yang menolak hudud bersama dengan MCA dan MIC. Sepanduk dibuat untuk menyatakan UMNO yang kononnya menghalalkan semua maksiat yang ada di muka bumi Malaysia sekarang ini. Bila Dewan Pemuda PAS mengusulkan agar negeri Pakatan Rakyat mengamalkan pemerintahan Islam, ianya ditolak oleh DAP. Jadi bagaimana hendak buat pemerintahan Islam kalau PAS masih lagi bersama dengan DAP? Apakah PAS tidak sedar bahawa di mahkamah syariah sekarang ini sudah lama diamalkan perundangan Islam?. Bila Karpal Singh memberi kata dua kepada PAS agar jangan melaksanakan hudud. Kenyataan ini memberi PAS pilihan, sama ada bersama dengan DAP untuk membuat negara Islam atau bersama dengan DAP untuk menolak negara Islam? Yang mana satu hendak dipilih oleh PAS?

Mungkin orang PAS sendiri terlupa bahawa pada 8 April 2008 Husam Musa yang memulakan janji untuk melaksanakan hudud pernah juga berkata bahawa "agenda negara Islam tidak menjadi sebahagian inti Pakatan Rakyat tetapi sekadar idealisme ahli-ahli PAS". (Rujuk sini). Bagaimana hendak buat hudud jika Husam sendiri pun tidak bersetuju dengan agenda negara Islam?. Pada 14 Januari 2008 dalam ceramah di Kubang Parit, Wakaf Mempelam, Ezam Mohd Noor (bekas Ketua Pemuda Keadilan) telah bersumpah dengan nama Allah SWT menyatakan bahawa ketika dia mahu keluar dari PKR, dia telah berjumpa dengan Husam Musa terlebih dahulu. Ezam menyatakan bahawa dia keluar PKR atas faktor peribadi Anwar. Kemudian Husam Musa menyatakan kepada Ezam bahawa "kita mahu tunggang Anwar demi politik sahaja". Oleh itu, siapa yang tunggang siapa sekarang ini? Anwar tunggang Husam untuk menguasai PAS menjelang muktamar pada Februari ini? Atau Karpal Singh yang tunggang Husam untuk menolak hudud? Sanggupkah PAS melawan dan menongkah arus dengan DAP demi menegakkan negara Islam dan hudud?
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Wednesday, January 14, 2009

Pilihan Raya Kampus UKM Dicemari Dengan SMS Ugutan

Berikut adalah laporan mengenai SMS ugutun yang dilaporkan oleh satu laman blog Aspirasi. SMS berbentuk ugutan tersebut diterima oleh beberapara orang calon Aspirasi pada jam 2.00 pagi semalam, (13 Januari) dari satu nombor 017-3027366. Sehubungan dengan itu beberapa orang calon Aspirasi telah membuat laporan polis di Balai Polis Bangi dan Ibu Pejabat Polis Kajang berhubung SMS tersebut. Tuduhan "Anjing UMNO" adalah terlalu berat dan ianya tidak seharusnya diamalkan dalam budaya politik kampus.
(Gambar: Laporan polis yang telah dibuat oleh calon Aspirasi). Pilihan raya kampus di UKM sering menjadi panas pada setiap tahun. Pada sesi lepas, terdapat surat gesaan daripada Abdullah Abdul Karim (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar PAS) berserta dengan pisau yang diedarkan di dalam kampus. Pihak Pro M menyatakan pihak mereka tidak tahu menahu tentang SMS ugutan kali ini. Sama juga halnya dengan surat seruan yang disertakan sama dengan pisau, Pro M turut menafikan pembabitan mereka.

Sehari sebelum kejadian SMS tersebut, iaitu pada 12 Januari 2008. UKM turut gembar dengan penyebaran risalah berlogo Anwar Ibrahim dalam kampus. Risalah tersebut (gambar atas) menyeru pelajar-pelajar untuk mengundi calon Pro M. Jika diteliti logo kumpulan Pro M di seluruh kampus termasuklah motto "Harapan Baru Mahasiswa" Pro M di UKM, ianya seolah sama dengan slogan "Harapan Baru Pakatan Rakyat". Adakah kebetulan? Namun begitu, Pro M menafikan mereka yang mengedarkan poster di atas. Oleh itu, siapakah sebenarnya "lelaki putih yang sedang menghayunkan tangan" yang berada dalam imej logo Pro M tersebut? Adakah ianya simbolik kepada roh Anwar Ibrahim?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Karpal Masih Berdegil, Tapi PAS Tetap Terima


Kenyataan Karpal Singh (Pengerusi DAP) bertajuk "Kit Siang : Cooperation Yes, But No Hudud Law" dalam The Sun pada 18 Mac 2008. Karpal pertikaikan Haji Hadi Awang (Presiden PAS) dan Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Ketua Pembangkang) berkaitan dengan soal hudud. Apa yang menarik, kedua-dua pemimpin Melayu ini masih lagi berlembut hati dan tunduk dengan desakan Karpal Singh. Apa yang istimewanya Karpal Singh? Hinggakan Haji Hadi dan Anwar tidak berani melawan cakap Karpal?

Gambar atas memperlihatkan kononnya ada satu Pakatan Rakyat antara PAS, DAP dan PKR. Realitinya, pakatan ini tidak menjamin bahawa hak orang Melayu dan agama Islam boleh dipertahankan. Tidak sepakat pun sebenarnya. Anwar hanya tersenyum melihat Nik Aziz dan Kit Siang bersalam dalam gambar di atas ketika hadir di Kuala Terengganu. Mengapa Karpal Singh sendiri tidak turun ke Kuala Terengganu untuk bersalam dengan Haji Hadi dan Anwar Ibrahim? Tentunya ada sesuatu yang tidak kena? Apakah orang PAS tidak sedar bahawa Karpal tidak sokong pun perjuangan PAS selama ini? Malaysia Baru yang bagaimana dimahukan oleh Pakatan Rakyat? Malaysia Baru yang lebih liberal?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, January 13, 2009

Aspirasi Menang di USM dan UiTM

Semalam, 12 Januari 2009 adalah hari penamaan calon di Universiti Sains Malaysia (USM). Selepas selesai penamaan calon, Aspirasi telah menang 21 kerusi daripada 37 kerusi yang dipertandingkan. Secara peratusannya, Aspirasi telah menang majoriti iaitu 56.7% di USM. Aspirasi bertembung dengan kumpulan Pro M yang terdiri daripada gabungan PMIUSM dan Student Progresif Front (SPF). Pro M telah mula menabur flyers atas nama "SUARA MAHASISWA" kepada pelajar sebagai modal kempen mereka.

Manakala di UiTM, 50 kerusi ditawarkan di kawasan fakulti. Tiada kerusi dipertandingkan di kawasan umum. Sesi penamaan calon diadakan pada 10 Januari 2009. Selepas tamat sesi penamaan, 22 orang calon telah menang tanpa bertanding. Sejumlah 55 orang calon menawarkan diri untuk bertanding di 50 kerusi fakulti. Pertandingan adalah sesama Aspirasi. Tahniah pada USM dan UiTM, teruskan perjuangan membela kebajikan dan hak pelajar di universiti anda.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Monday, January 12, 2009

Anwar, Erdogan & Amerika Syarikat

(Gambar: Yusmadi Yusof bersama Anwar. Dulu Yusmadi adalah bekas Hubert H. Humphrey Fellow, Washington D.C. Sekarang Ahli Parlimen PKR di Balik Pulau, Pulau Pinang. Yusmadi pernah menjadi pembantu peribadi Anwar sebelum tugas itu diambil oleh Rahimi Osman, sepupu Saiful Bukhari).

Pada 6 Januari 2008, ketika Anwar Ibrahim berceramah di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu, Anwar menyatakan bahawa dia tidak dapat hadir ke penamaan calon pada pagi 6 Januari kerana flightnya baru sahaja touch down dari Turki. Anwar menyatakan semasa di Turki, dia mencari jalan menghentikan keganasan Israel terhadap Palestin. Orang PAS terpegun mendengarnya. Ada yang bersorak gembira tanpa tahu Turki berada di pihak mana dalam keganasan di Gaza. Malah ada yang berkata Anwar sekarang sudah bermain di padang dunia dalam membela nasib orang Islam, terutamanya di Palestin. Benarkah begitu? Persoalannya, sejauh manakah Turki mengambil insiatif untuk menghentikan keganasan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat di Semenanjung Gaza?

(Gambar: Kedutaan Turki di Kuala Lumpur, tempat di mana Anwar Ibrahim lari bersembunyi pada 30 Jun 2008. Kononnya ada ugutan bunuh. Sampai hari ini, Anwar bebas ke mana-mana. Malah bebas berkempen hingga menang di Permatang Pauh. Tiada apa-apa pun. Kini, bermukim pula di Kuala Terengganu. Benarkah ada ugutan sebegitu? Atau hanya retorik sahaja untuk menagih simpati dan perhatian rakyat?)

“PKR memutuskan untuk ‘menyembunyikan’ penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat yang selamat kerana nyawanya dalam bahaya" berikut dakwa Syed Husin Ali ketika Anwar mula-mula bersembunyi di Kedutaan Turki. Akrabnya Anwar dengan Turki, seolah-olah Turki adalah pewarisnya di Malaysia. Hubungan akrab antara Anwar dan Perdana Menteri Turki memang tidak dapat disangkal lagi. Anwar pernah membawa bersama Dr Syed Azman Syed Nawawi (ADUN PAS Batu Buruk) ke Turki pada 2 hingga 5 April 2006, dalam satu program anjuran World Movement for Democracy (WMD) di Istanbul, Turki. Yusmadi Yusof, ketika masih menjadi pembantu Anwar di Amerika pernah menulis satu artikel membayangkan keakrabannya Anwar dan Turki itu.

Tulis Mohd Yusmadi Yusoff, Washington DC "Pada 1 Oktober 2006 lebih kurang jam 5 petang, saya telah menghadiri majlis pidato Keamanan Sejagat oleh Perdana Menteri Turki di Universiti Georgetown bersama teman dari Malaysia saudara Khalid Jaafar. Majlis tersebut dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Professor Islam Kontemporari Asia Tenggara di Prince Al Waleed bin Talal Centre for Muslim-Christian Understanding dengan kerjasama pihak Universiti Georgetown dan Kedutaan Turki. Usaha Datuk Seri Anwar itu telah menarik minat pelbagai warga Washington D.C"

Tulisnya lagi, "Dewan ODonovan di banjiri penuh dengan hadirin dari pelbagai latarbelakang. Antaranya Presiden Universiti Georgetown Dr. John DeGioia, John Esposito, John Voll, kepimpinan ISNA (Islamic Society of North America), VVIP jemputan kedutaan Turki, kepimpinan IIIT Abdullah Schleifer, director of Television Studies at the American University of Cairo - and former NBC bureau chief dan lain-lain lagi. Yang mengagumkan saya ialah Paul Wolfowitz, Presiden Bank Dunia juga meluangkan masanya dari awal majlis sehinggalah majlis iftar program tersebut"

(Wolfowitz sedang bermesyuarat dengan Shaul Mofaz, Timbalan Perdana Menteri Israel. Jika Anwar mahu selesaikan konflik Gaza, tidak bolehkah Anwar berulang-alik ke Washington DC untuk memujuk Wolfowitz supaya menasihati Olmert bagi menghentikan serangan ke atas Gaza?. Mahukah Anwar buat begitu? Dulu ketika belajar, Anwar buat demonstrasi kecam serangan Amerika terhadap Vietnam, mahukah sekarang Anwar mengecam dan membakar bendera Amerika Syarikat?)

Yusmadi amat terharu, program anjuran Anwar dan kedutaan Turki turut dihadiri oleh Paul Wolfowitz, Presiden Bank Dunia ketika itu. Tetapi apakah perkaitan antara Paul Wolfowitz dengan Anwar dan Kedutaan Turki, hingga memaksa 'orang kanan Bush' itu sanggup hadir sama? Wolfowitz mempunyai dua warganegara iaitu Israel dan Amerika Syarikat, serta berbangsa Yahudi. Perlukah kita berbangga kehadiran seorang Israel yang menjadi perancang perang Afghanistan dan Iraq? Taraf Wolfowitz sama dengan Ehud Barak, Menteri Pertahanan Israel yang merancang peperangan di Gaza. Malah Wolfowitz adalah mentor kepada Ehud Barak, Olmert dan Shaul Mofaz. Ketiga-tiga adalah perancang pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza.

(Gambar: Begitu intim hubungan Anwar dengan Perdana Menteri Turki. Hinggakan Erdogan jika hendak melawat Amerika terpaksa melobi melalui Anwar terlebih dahulu. Anwar jadi penasihat Perdana Menteri Turki, apa yang boleh dan tidak boleh semasa berjumpa dengan Presiden Bush. Sebelum singgah di Turki dan kembali ke Kuala Terengganu baru-baru ini, Anwar sebelum itu berkelana sekali lagi ke Washington DC. Buat apa di sana? Melobi lagi?)

Tulis Yusmadi lagi, "Majlis tersebut dimulai dengan ucapan pembukaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi latar program yang dicadangkan sekitar 2 minggu lalu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dimaklumkan mengenai lawatan Perdana Menteri Erdogan ke Amerika Syarikat bagi bertemu Presiden Bush. Datuk Seri Anwar juga membincangkan peranan yang boleh dimainkan oleh Turki di dalam konflik Palestin dan Israel dan juga bagaimana masyarakat Islam boleh dijadikan rakan di dalam memperjuangkan kebebasan, keadilan dan demokrasi. Mesej itu bertepatan dengan pertemuan di antara Erdogan dan Presiden Bush yang akan berlangsung keesokkan harinya"


Tulisan Yusmadi ini membayangkan betapa rapatnya hubungan Anwar dengan Presiden Bush, hingga lawatan-lawatan dari negara luar, turut diketahui oleh Anwar. Bagaimana Anwar boleh tahu diari peribadi Bush? Begitu susahnya menemui Bush hingga Erdogan pun terpaksa melobi melalui Anwar dan Paul Wolfowitz terlebih dahulu. Yusmadi menjelaskan 'peranan Anwar', sebagai 'penasihat' kepada Perdana Menteri Erdogan untuk bercakap kepada Bush.

Anwar dijadikan orang tengah oleh Erdogan untuk berjumpa dengan Bush. Besar benar pengaruh Anwar. Pelobi orang-orang besar untuk berjumpa dengan Bush? Maka tidak hairanlah ada jurucakap dari White House membela Anwar di Malaysia ketika Anwar mahu dihadapkan atas tuduhan liwat. Anwar juga menganjurkan program sempena lawatan kerja Perdana Menteri Turki ke Amerika. Anwar mengaturkan perjumpaan dengan Bush secara percuma dan sukarela? Apakah Tayyip Erdogan tidak memberi sebarang imbuhan kepada Anwar untuk mengaturkan program berjumpa dengan Bush? Anwar seolah-olah menjadi event manager untuk sesiapa yang hendak jumpa Bush.

(Gambar: Apakah pertemuan Bush dan Erdogan ini diaturkan oleh program yang dianjurkan oleh Anwar Ibrahim?. Begitu istimewanya Anwar boleh mengaturkan program antara Istanbul dan Washington DC. Mengapa tidak aturkan sahaja pertemuan antara Bush, Olmert, Ismail Haniyeh dan Mahmoud Abbas untuk selesaikan konflik di Gaza? Atau Anwar sengaja berdiam diri? Bukankah Anwar salah seorang yang terlibat tandatangani Annapolis Summit, bagi pihak siapa Anwar tandatangan perjanjian itu? Atau memang Anwar juga bekerja sebagai pelobi dan broker untuk sesiapa bertemu dengan Bush?)

Apa pula kaitan Turki dengan Paul Wolfowitz ? Semua orang tahu, semasa Paul Wolfowitz menjadi Timbalan Setiausaha pertahanan Amerika, Turki memberi keizinan kepada Amerika untuk menjadi negaranya sebagai laluan tentera Amerika menyerang Iraq. Malah, kerajaan Turki masih menuntut 'pampasan' yang dijanjikan oleh Amerika membenarkan negaranya sebagai laluan tentera Amerika semasa serangan Iraq itu. Begitulah intimnya persahabatan antara Anwar, Erdogan dan Paul Wolfowitz. Hinggakan nama "Erdogan" digunakan oleh kumpulan profesional PAS untuk merampas kuasa dari team ulama. Jika ada sesiapa pergi ke Kuala Terengganu sekarang, pastinya anda akan lihat dua bendera PAS yang berbeza. Satu yang berwarna hijau pekat yang dipunyai oleh team ulama. Satu lagi yang berwarna hijau muda, lambang ta'aruf team Erdogan.

Wolfowitz sekarang berjawatan sebagai Visiting Scholar di American Enterprise Institute (AEI), Washington DC. AEI ialah tempat di mana berkumpulnya right wing think tanks kepada kumpulan neo-konservatif. AEI juga tempat terkumpulnya dana-dana perang neo-konservatif untuk meluaskan empayar demokrasi Amerika Syarikat. Kita diseru agar memboikot produk Amerika Syarikat, tetapi pernahkah kita sedar bahawa ada lagi "produk" Amerika yang perlu kita boikot? Apakah produk itu?


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, January 11, 2009

Benarkah Karpal Sudah Faham Hudud?

Kenyataan Karpal Singh pada 10 Januari 2008, menyangkal kembali kenyataan Haji Hadi. "Kenyataan oleh Abdul Hadi berhubung perlaksanaan hukum hudud, kononnya DAP sudah jelas dan faham dengan apa yang sedang bermain difikiran Pas, sebenarnya tersimpang jauh daripada kebenaran.Pas tidak pernah menjelaskan isu berhubung perlaksanaan hukum hudud kepada DAP. DAP sudah tentu ada masalah berhubung perlaksanaan hukum hudud dalam negara," kata Karpal Singh. Nampak benar PAS sebenarnya telah menipu DAP dan rakyat dengan menyatakan bahawa penjelasan hudud sudah diberikan kepada DAP. Mengapa PAS buat begitu? Lebih baik rasanya Karpal saman Haji Hadi kerana kenyataan tersebut.


Sehari sebelum itu, iaitu pada 9 Januari 2008, Haji Hadi Awang (Presiden PAS) memberikan kenyataan bahawa "Kita dah pernah buat seminar dan berbincang pasal benda ini (hudud dan qisas) kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat. Saya rasa tak perlu lagi saya nak jelaskan kepada DAP kerana saya rasa Karpal Singh (Pengerusi DAP) dah faham," . Haji Hadi menyatakan bahawa saya "rasa" Karpal sudah faham. Rasa sahaja? Jika kita teliti, dua dua kenyataan ini, nampak benar Tuan Guru Haji Hadi telah berbohong kepada rakyat. Sewajarnya Haji Hadi dan pimpinan PAS perlu panggil Karpal Singh turun ke Kuala Terengganu dan meminta Karpal membuat pengakuan mahu terima negara Islam dan hudud di hadapan pemimpin-pemimpin PAS. Sanggupkah PAS buat begitu? Kalau tidak mengapa masih mahu lagi bersekongkol dengan DAP dalam Pakatan Rakyat? Masih belum terlambat untuk orang PAS dengar pengakuan Karpal. Tidak perlu lagi Haji Hadi berbohong dan berdolak dalih lagi kepada rakyat tentang hudud. Dulu Haji Hadi sendiri akui bahawa hudud hanyalah 0.0001 peratus, tetapi mengapa sekarang PAS berjanji hendak buat kembali? Tidakkah ini hanya umpan untuk Kuala Terengganu semata-mata? Karpal sudah berani lawan Anwar dan Haji Hadi. Tertanya-tanya juga kita, siapakah sebenarnya Ketua Pakatan Rakyat? Anwar atau Karpal Singh? Anwar pun tidak berani tegur dan nasihatkan Karpal, oleh itu siapa yang lebih berkuasa?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Kubah As Sakhrah Di Kuala Terengganu


(Gambar: Kubah As Sakhrah yang terletak di Pulau Wan Man, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu).
Pada 3 Januari 2008, 13 orang terbunuh termasuk kanak-kanak ketika sedang bersembahyang di sebuah masjid di bandar Jabaliya akibat serangan bom jet-jet pejuang Israel. Pada 21 Ogos 1969, Israel telah membakar Kubah As Sakhrah. Pembakaran ini telah menyebabkan sebuah mimbar bernama "Shalahuddin Al-Ayubbi" telah hangus terbakar. Kubah ini kemudian dipulihkan kembali. Sejak 1948, 60 tahun yang lalu, Israel telah mengambil tanah Palestin sedikit demi sedikit. Yang tinggal hanya Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, itupun hanya 22% yang tinggal untuk bumi Palestin.

Apakah suatu hari nanti Kubah As Sakhrah akan lebur juga dibom oleh tentera-tentera Yahudi? Amat pasti, setelah 60 tahun menjarah Palestin, Israel akan berterusan mengambil tanah Palestin sampailah tertubuhnya kembali negara "Israel Raya" di tengah-tengah negara Arab. Mungkin sebelum era Ehud Olmert dan Bush tamat, percaturan Israel adalah untuk menghapuskan Semenanjung Gaza dan Hamas. Bila Obama naik menjadi Presiden Amerika pada 20 Januari nanti, barulah Amerika baru berlagak sebagai penyelesai masalah. Mengapa jadi begitu? Segalanya dibuat untuk potretkan Obama sebagai hero penyelesai masalah di Palestin. Sementara menunggu 20 Januari nanti, maka ada ruang bagi Zionis untuk menghancurkan Gaza dan menghapuskan Hamas?. Sekarang ini, Amerika lihat sahaja dari jauh apa yang Israel sedang kerjakan di Gaza.

Kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk membuat satu monumen As Sakhrah yang mana skalanya adalah 1.4 berbanding saiz sebenar Kubah As Sakhrah, di Taman Tamadun Islam. Sudah tentu kita kesulitan untuk pergi ke Kubah As Sakhrah di Palestin, tetapi As Sakhrah di Kuala Terengganu boleh dimasuki oleh pengunjung. Bagi yang mahu mengambil pengajaran dan iktibar, di Pulau Wan Man adalah tempat terbaik untuk dilawati. Tayangan video selama 6 minit berkaitan dengan As Sakhrah dan kekejaman Israel perlu ditonton oleh sebahagian besar kita. Orang-orang Islam tidak kira parti UMNO, PAS dan PKR perlu melihat dan masuk sendiri ke dalam As Sakhrah di Pulau Wan Man untuk menghayati sendiri suasanya. Usah membuat tafsiran dan andaian dari luar sahaja tentang Taman Tamadun Islam. Al Aqsa dari segi harafiahnya bermaksud "Masjid Terjauh". Pada 2 Oktober 1187, tentera Saladin telah mengambil kembali Jerusalem. Apakah umat Islam mampu bersatu atas semangat Saladin untuk mengambil kembali tanah-tanah Palestin?

Kadang-kadang kita tertanya mengapakah Taman Tamadun Islam yang menempatkan 21 monumen Islam ini dikatakan sebagai projek membazir kepada rakyat Terengganu? Ada yang sanggup mempotretkan kononnya di Masjid Kristal ada lembaga "syaitan". Kemudian membuat rumusan bahawa seluruh Taman Tamadun Islam tersebut sebagai membazir. Inilah sikap orang yang tidak mahu mengambil pengajaran dan belajar dari sejarah. Padahal ketika mereka diberi peluang memerintah, mereka gagal berbuat apa-apa pembangunan pun. Apa sahaja yang dibuat membazir, termasuklah pembinaan lapangan terbang baru di Kuala Terengganu yang boleh membuat penerbangan haji terus ke Jedddah. Setiap musim haji, umat Islam di Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak perlu pergi sampai ke Kuala Lumpur untuk menghantar dan menunggu kedatangan balik jemaah haji. Pergi ke Kuala Terengganu sahaja. Pada 10 Januari 2008, kerajaan negeri Perak sudah mula menggunakan Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi. Apakah ini sesuatu yang menguntungkan industri automobil negara?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Saturday, January 10, 2009

Aspirasi Menang 21-0 Di UTM

(Gambar: Sekumpulan pelajar Pro Mahasiswa UTM sedang bermotosikal sambil mengenakan uniform mereka yang berwarna oren. Ada sesiapa sponsor baju ke?)

Pada 8 Januari 2008 telah berlangsung proses penamaan calon di UTM Skudai. Keseluruhannya, 45 kerusi dipertandingkan, 30 kerusi di kawasan fakulti dan 10 kerusi di kawasan umum. Di UTM KL, hanya 5 kerusi umum dipertandingkan di kawasan umum. Aspirasi diwakili oleh kumpulan Evolusi Mahasiswa bertembung dengan kumpulan mahasiswa pro pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai Pro Mahasiswa pada pilihan raya kampus UTM kali ini.

Evolusi Mahasiswa telah menang 6 kerusi secara tanpa bertanding iaitu di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Alam Bina. Di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, 5 orang calon Aspirasi bertanding sesama sendiri. Begitu juga di Fakulti Kejuruteraan Sains Geoinfo, 4 orang calon Aspirasi bertanding sesama sendiri. 3 kerusi ditawarkan di setiap fakulti. Secara keseluruhan, Evolusi Mahasiswa telah menang 18 kerusi di kawasan fakulti.

Sementara di kawasan umum pula, Evolusi Mahasiswa meletakkan 16 orang calon, manakala Pro M meletakkan 7 orang calon sahaja bagi merebut 10 kerusi yang ditawarkan di kawasan umum. Oleh itu, secara teknikal, Evolusi Mahasiswa telah menang 3 kerusi di kawasan umum. Berbeza pula situasinya di UTM KL, calon Pro Mahasiswa dan Evolusi Mahasiswa masing-masing meletakkan 7 orang calon bagi merebut 5 kerusi yang ditawarkan. Pengundian akan diadakan pada 13 Januari ini.

Kemenangan Evolusi Mahasiswa sejumlah 16 kerusi di fakulti dan 3 kerusi di kawasan umum menjadikan kedudukan sekarang ialah Evolusi Mahasiswa mendahului Pro M dengan 21-0, daripada sejumlah 45 kerusi yang dipertandingkan. Secara peratusan, Evolusi Mahasiswa mendahului dengan 46.7%. Gunakanlah sebaiknya, kedudukan sebagai seorang wakil pelajar bagi mewakili hak dan kebajikan pelajar. Kenangan menjadi MPP yang baik, akan diingati sepanjang hayat. Ianya latihan terbaik untuk menjadi pemimpin di masa akan datang.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, January 9, 2009

Marilah Kita Berdoa Kehancuran Zionis







Marilah kita bersama-sama membaca Surah Al-Fiil, Surah Al-Fath Ayat 26-27 dan Surah Yunus ayat 85,86 dan 88 berserta dengan doa dari kita moga Zionis dihancurkan oleh Allah SWT. Amin.