Sunday, November 30, 2008

Anwar Beriya Iya Ke Sarawak Pula

(Gambar: Anwar tidak pernah serik berjanji. Belum pun dikotakan janji yang terdahulu, janji yang baru pula dicanangnya). "Ini isu yang tidak mudah diungkap dan dilakar dengan kata-kata kerana ada sebab, ada hal yang saya tidak dapat sebutkan. Orang yang bersetuju, menunggu waktu untuk menyeberang, syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia. Jadi, cakap salah, tidak cakap pun salah. Cakap salah, tidak cakap salah, jadi semua serba salah," katanya dengan gaya bernyanyi dan disambut dengan gelak ketawa para penyokongnya ketika menyampaikan ucapan pada 30 November di Kongres Nasional PKR yang kelima. Apakah Syed Husin akan menganggap kenyataan ini juga sebagai satu pembohongan?

Anwar berharap orang ramai bersabar walaupun beliau mengakui terdapat ahli-ahli PKR dan rakyat yang ragu-ragu dan tertanya-tanya bilakah beliau akan membentuk kerajaan baru dan berada di Putrajaya. Sudah berulang kali kedengaran ada orang mahu melompat dan kerajaan mahu dibentuk tetapi mengapa tidak jadi jadi juga. Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyatakan bahawa tahun depan akan berlaku pertukaran kerajaan.

Mengapa Pakatan Rakyat tidak fokus kepada lima negeri yang dimenanginya? Kenapa harus menanamkan impian dan harapan baru kepada sesuatu yang belum pasti? Inilah sebabnya, mengapa adanya golongan reformis yang membantah dengan kepimpinan yang sedia ada hinggakan sanggup berbogel bagi menunjukkan kemarahan. PKR terlalu obses dengan kuasa. PKR terlalu tamak kepada kuasa hinggakan sanggup mengenepikan hak calon PAS di Kuala Terengganu. Jika PKR menjadi calon di Kuala Terengganu, PAS harus menilai semula keanggotaaan mereka dalam Pakatan Rakyat. Jangan biarkan PAS dipergunakan untuk tujuan kempen semata-mata di Kuala Terengganu.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Saturday, November 29, 2008

MCA Lupa Diri

Chew Mei Fun (Ketua Wanita MCA) ketika mempengerusikan dialog di Miri, pada 28 November menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan hari ini atas alasan semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara. Mei Fun menyokong kenyataan Chua Soi Lek bila berkata, di tanah air ini semua rakyat adalah tuan tanah Malaysia. Nampak benar, MCA tidak menghormati keputusan pemimpinnya yang terdahulu tentang perkongsian kuasa.
Chua Soi Lek (Timbalan Presiden MCA) ketika berucap di Subang Jaya pada 28 November 2008, menyatakan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak relevan hari ini dan telah ditolak rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda. Soi Lek berkata, konsep itu mungkin sesuai apabila ia dirangka sebelum kemerdekaan negara tetapi tidak lagi hari ini berikutan rakyat memberi isyarat jelas menerusi pilihan raya umum lalu.

Kenyataan Soi Lek ini tidak tepat, generasi muda menolak sikap pemimpin seperti Soi Lek yang kerap lupa diri dan bersikap "kurang ajar" terhadap rakyat yang memilihnya. Tidak perlu bangkitkan perkara yang sudah dipersetujui bersama sejak dahulu lagi. Apakah MCA mahu meniru sikap DAP bila duduk dalam BN? Jika DAP tidak suka dengan konsep Islam dalam Pakatan Rakyat, MCA pula sering membangkitkan soal "siapa tuan di Tanah Melayu?".

Untuk apa MCA perlu bersikap sebegini? Mencari populariti untuk menjadi hero atau sengaja untuk mencetuskan polemik buat menutup malu yang sudah dilakukan. Ong Tee Keat selaku Presiden MCA harus mengambil tindakan disiplin kepada Soi Lek dan Mei Fun (Ketua Wanita MCA) yang jelas bersikap lupa diri dengan konsep perkongsian kuasa dalam BN. Mereka berdua ini jelas telah menjejaskan nama MCA di kalangan orang Melayu. Kalau orang Melayu tidak mahu undi mana-mana calon MCA bagaimana? Kalau Datuk Ahmad Ismail boleh dikenakan tindakan disiplin, kenapa tidak mereka berdua ini.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, November 28, 2008

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia


Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, (IAB), Genting Highland dekat sini kira-kira 6.30 petang tadi. Difahamkan, beliau diserang sakit jantung ketika sedang bermain badminton di IAB. Allahyarham adalah ahli parlimen Kuala Terengganu (P36). Menang dengan majoriti 628 undi pada PRU12 mengatasi Mohammad Sabu (Naib Presiden PAS) dan Maimun Yusuf. Komposisi Parlimen Kuala Terengganu adalah Melayu (87.50%), Cina (11.50%), India (0.70%), Lain-lain bangsa 0.20%. Alfatihah.

Saiful Bukhari Masih Hidup & Tidak Terlantar Sakit

Mohd. Saiful Bukhari Azlan (Bekas Pembantu Khas Anwar Ibrahim) hari ini menyangkal fitnah dan tohmahan yang tersebar di laman-laman web kononnya dia lumpuh, terlantar sakit serta menghidap penyakit kelamin. Saiful menegaskan, fitnah yang disebarkan di laman-laman web dan 'cakap-cakap' yang menyatakan dia terlantar sakit dan telah meninggal dunia adalah pembohongan besar yang direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
(Gambar: Anwar pernah diminta bersumpah berhububung dakwaan terima duit dari taukeh judi, tetapi Anwar tidak berbuat demikian pun). ''Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya sangat baik dan tidak sebagaimana yang ditohmahkan oleh pihak-pihak tersebut. 'Hari ini saya tampil untuk menyangkal segala fitnah yang dilemparkan terhadap saya serta keluarga setelah dua bulan mendiamkan diri.".

SMS palsu juga tersebar di Pulau Pinang pada bulan Oktober lepas menyatakan bahawa Saiful telah mengalami kemalangan dan koma. Saiful sudah bersumpah, tetapi sumpahnya dipertikaikan. Pihak yang mempertikaikan tidak pernah meminta pula satu pihak lagi itu untuk bersumpah. Sampai hari ini, masih menunggu ulama dari luar negara untuk bersumpah?. Apa pun, pada 5 dan 6 Februari 2009, kes ini akan disebut semula di Mahkamah Tinggi.

NGO Asing Taja Program PKR

Suara Keadilan, Bil 156, 19-26 November, mukasurat 2, melaporkan dalam artikel yang bertajuk "Latihan Strategi Media" bahawa satu program kendalian Biro Latihan PKR telah diadakan dengan kerjasama Freidrich Naumann Foundation (FNF) bertempat di bangunan parlimen pada 14-15 November 2008. FNF adalah satu NGO asing yang berpusat di Jerman.Mengapa FNF perlu menaja satu program latihan PKR?
Sebelum ini, PKR turut bekerjasama dengan FNF untuk mengadakan program latihan di Melaka pada 10-11 Mac 2007. FNF juga pernah terlibat melatih beberapa orang blogger di Hotel Micasa pada 11 Jun 2006. Selepas itu FNF terlibat melatih Unit IT PKR di Hotel Istana, pada 13 Julai 2005. Untuk apa program latihan ini diadakan untuk sebuah parti politik? FNF dipimpin oleh Dr Otto Graf Lambsdorff. Selepas keluar dari penjara, Anwar telah terbang ke Munich, Jerman untuk bertemu dengan Wolfowitz dan Gus Dur di sana. Barangkali Dr Otto Graf ada sekali di sana ketika itu, sebab itu FNF begitu bersungguh-sungguh membantu dan melatih PKR. Sanggup PKR menerima dana asing semata-mata untuk dapatkan kuasa.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Thursday, November 27, 2008

Selamat HariJadi PM

Selamat Menyambut Hari Jadi yang ke-69 pada 26 November 2008. Moga Allah SWT terus merahmati, memberkati dan memberikan kekuatan untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Amin.

Wednesday, November 26, 2008

Arak: DAP Bantah, PAS Buat Juga


“Tiada larangan jualan alkohol di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi di Selangor”, kata Anwar Ibrahim pada 26 November 2008 dalam Malaysiakini. "Perkara seumpama itu mesti dirujuk kepada kerajaan negeri dan ia akan dibincangkan di peringkat itu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya lagi. Akhirnya, Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor dari PKR) menolak cadangan PAS. Khalid sependapat dengan Anwar Ibrahim.
(Gambar: Dalam isu bahasa di Pulau Pinang, Anwar seolah tidak kisah jika Guan Eng membuat sesuka hati terhadap bahasanya sendiri. Membiarkan kepada kerajaan negeri untuk buat keputusan sedangkan dia adalah Ketua Pembangkang. Kena tidak halang DAP?).

Menurut Anwar, tiada apa yang harus dibimbangkan kerana dasar sekarang kekal dan "kami tidak menggalakkan umat Islam minum (alkohol) atau makan babi tetapi kita tidak akan menafikan hak orang bukan Islam untuk makan babi atau minum alkohol". Bagaimana pula jika kawasan ladang babi bernilai RM100 juta itu memudaratkan penghuni Melayu yang berada di sekitarnya? Tidak harus bimbang?

(Gambar: Tony Pua dan Teresa Kok ketika dalam perhimpunan Bersih. Yang ramai pergi perhimpunan BERSIH adalah orang-orang PAS. DAP hanya tunjuk muka sahaja. Bila menang sekarang, DAP mula kata PAS bongkak pula). DAP nampaknya bertegas membantah cadangan PAS untuk melarang penjualan arak ini. Tony Pua (Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara) menganggap PAS sebagai "bongkak dan sukar bekerjasama" apabila cuba memperkenalkan peraturan membataskan jualan alkohol di Selangor tanpa merujuk parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Tindakan parti Islam yang membelakang sentimen sokongan pengundi bukan Islam yang memberikan kemenangan kepada Pakatan boleh melemahkan kerajaan gabungan itu, kata Tony Pua.

Selama ini adakah DAP fikir sentimen pengundi Melayu bila menggesa agar tulisan jawi dihapuskan, mansuh DEB, bila menaikkan juga papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang dan meminta agar pembesar suara masjid diperlahankan di Selangor? Jika PAS mahu terus relevan, jangan tunduk dengan desakan DAP. Bila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membataskan jualan minuman keras berkuatkuasa Januari depan, apakah DAP akan terus bertelagah dengan PAS atau keluar terus dari Pakatan Rakyat? Anwar Ibrahim akan menyebelahi siapa, PAS atau DAP? Dalam isu pemangku PKNS, Anwar dilihat cuba untuk playsafe, dalam isu arak bagaimana pula? Apa daya PAS, niat hendak buat tetapi DAP bantah mengherdik PAS sebagai bongkak dan sukar kerjasama. Akhirnya PKR terpaksa akur dengan DAP, tinggallah PAS sendirian.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, November 25, 2008

Ada Wakil Rakyat PAS Suruh Nik Aziz Berhenti.

(Gambar: Nik Aziz tentu terkilan melihat ada orang yang tidak sabar mahukan tempatnya). Nik Abdul Aziz Nik Mat (MB Kelantan) berkata beliau “tidak sabar” untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada PAS memintanya berbuat demikian.“Kalau orang Pas suruh saya berhenti, saya berhenti petang ini,” katanya kepada pemberita pada 25 November 2008 ketika mengulas laporan akhbar Watan. Dalam akhbar Watan beberapa wakil rakyat daripada parti PAS mahu beliau meletak jawatan “pada masa gemilang beliau” dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.
(Gambar: Takiyuddin Hassan, Exco PAS Kelantan sedang berbisik sesuatu kepada Nik Aziz. Bolehkah Takiyuddin ganti Nik Aziz?) Golongan berkenaan mahu Nik Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital. Nampaknya dalam PAS sendiri pun ada orang yang tidak sabar mahukan kuasa secara cepat. Siapakah mereka yang terbabit yang sanggup menggesa Tok Guru turun cepat untuk cepat naik ke atas?

Nik Aziz berkata jika pihak yang membuat gesaan itu tidak berani memberitahu perkara itu kepada beliau secara berdepan, mereka sepatutnya berdiam diri. Nik Aziz berkata beliau memegang Menteri Besar itu adalah kerana desakan anggota PAS yang mahukan beliau terus menerajui Kelantan.“Orang tidak bagi pun saya turun,” katanya.

(Gambar: Apakah Husam akan menjadi pilihan Nik Aziz?) Ketika ditanya mengenai penggantinya jika beliau meletak jawatan, Nik Aziz berkata: “Saya boleh jadi ada calon (tapi) mana boleh sebut”. Antara Husam Musa, Takiyuddin Hassan dan Nik Amar, siapakah yang akan dipilih sebagai pengganti Nik Aziz? Jika ditanya pada Anwar Ibrahim sudah pasti Husam yang menjadi pilihan. Bagaimana pula dengan Dewan Ulama PAS, mereka juga ada calon?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Monday, November 24, 2008

Bersatulah Atas Kepentingan Bangsa

Apa salahnya dalam isu bahasa, semua orang Melayu tidak kira PKR, PAS, UMNO atau yang tidak berparti bersatu bersama-sama? Mengapa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang berbangsa Melayu tidak perjuangkan isu ini habis habisan? Jangan biarkan DAP membuat sesuka hati mereka di atas Tanah Melayu ini. Apakah kita akan rugi kalau orang Melayu bersatu dalam isu ini? Yang ruginya ialah DAP.

Orang Melayu tidak akan rugi apa apa kalau bersatu. Kalau kita terus berpecah dan melihat isu ini hanya dalam skop parti sahaja, maka selagi itu DAP akan bergelak ketawa melihat perpecahan orang Melayu. Mari bersatu dalam isu bahasa. Ini soal bangsa kita. Tidak perlu setuju dengan cadangan Guan Eng. Jangan sampai suatu hari Masjid Kapitan Keling pun diadakan papan tanda yang pelbagai bahasa. Salah siapa kalau sampai terjadi sebegitu?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, November 23, 2008

Nik Aziz Bukan Lagi Penasihat PAS

Pada 22 November 2008, dalam Buletin Utama, TV3, Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) menyatakan bahawa dia tidak mahu masuk campur berkaitan cadangan kerajaan PAS Kedah yang mahu membangunkan projek ternakan babi di tapak seluas 162 hektar di Bukit Selambau. “Saya nak jaga kerajaan negeri Kelantan saja, saya tak mahu campur kerajaan lain, minta maaf” demikian ulas Nik Aziz ketika diwawancara mengenai isu babi di Kedah.
Bukankah Nik Aziz adalah Mursyidul Am PAS, tetapi mengapa tidak mahu masuk campur? Sebagai seorang penasihat, Nik Aziz perlu tegur perkara yang tidak baik yang dilakukan oleh kerajaan PAS. Biarpun cadangan untuk membina kandang di Bukit Selambau dibatalkan, tetapi projek ini tetap juga diteruskan di tempat lain.

Berucap pada Siri Wacana Gapena V anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena), pada 22 November 2008, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Bekas Perdana Menteri) berkata, PAS rela menerima perkara itu (penternakan babi), malahan tidak lagi berani untuk bercakap mengenai penubuhan negara Islam.

Oleh itu kata beliau, orang Melayu juga tidak boleh mengharapkan PAS untuk melindungi hak-hak keistimewaan mereka memandangkan parti itu lebih kecil daripada DAP walaupun mempunyai penyokong yang ramai. Nik Aziz pun tidak berani lagi menegur apa yang silap dalam PAS. Ini bermakna, Nik Aziz bukan lagi seorang penasihat PAS kerana dalam perkara penternakan babi di Kedah, Nik Aziz tidak mahu masuk campur. Ruginya orang PAS, bila penasihat PAS yang digelar Tok Guru pun enggan menasihati PAS lagi dalam isu babi.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Thursday, November 20, 2008

Kandang Babi: Nikmat Untuk Semua?

"Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua", beginilah motto kerajaan PAS Negeri Kedah sejak mengambil negeri itu. Pada 19 Nov 2008, Kerajaan PAS Kedah telah membuat kejutan besar kepada pengundinya di Kedah. Tapak seluas 162 hektar akan dibangunkan sebagai ladang babi moden di Bukit Selambau, Kedah. Sejumlah 46,000 ekor babi akan diternak dalam kawasan tersebut. Ladang babi ini akan dibuka sekiranya tidak mendapat bantahan daripada penduduk tempatan. Kalau ada bantahan, hendak teruskan juga?

Entah mengapa, PAS di Kedah dilihat seolah terdesak sangat untuk membuka kandang babi ini. Kalau tidak buka, tidak bolehkah? Mengapa harus mengikut langkah kerajaan PKR Selangor yang membuka kandang babi bernilai RM100 juta di Sepang? Jika hendak berlaku adil kepada semua sekalipun, mengapa sampai perlu membuka kandang babi untuk tujuan tersebut. Banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan untuk memberikan "nikmat kepada semua".

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Monday, November 17, 2008

Dulu Haram Belaka, Kini Semuanya Halal


Nik Aziz pernah kata DAP dan syaitan sama sahaja. Lihatlah gambar di atas ini, bagaimana Nik Aziz boleh bersalam dengan DAP yang dianggap sama dengan syaitan? Ianya amat bertentangan sekali dengan Hukum Dewan Ulama' PAS.

Hukum Dewan Ulama’ PAS Kelantan 1963: “Orang-orang Islam yang berkongsi kuasa dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram”. Kenyataan ini pernah dikeluarkan oleh pemimpin PAS. Sekarang ini PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP di Pulau Pinang, Perak dan Selangor? Sekarang lihatlah bagaimana "s" yang digelarkan oleh Nik Aziz ini telah mempermainkan ayat suci Al-Quran di Perak.

Pada 13 November 2008, dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy mempertikaikan isu dominasi orang Melayu dalam sektor awam di negeri itu. Lupakah Ramasamy bahawa ada juga kalangan orang Melayu yang dimaksudkan itu termasuklah ahli-ahli PAS? Mereka ini juga mengundi memberi kemenangan kepada Ramasamy di Batu Kawan. Bila sudah menang, Ramasamy lupa jasa pengundi yang naikkan dia sebagai Timbalan Ketua Menteri.

(Gambar: Haji Hadi ketika bersama Guan Eng, Ketua Menteri DAP Pulau Pinang. Selepas berpeluk dengan ayah Guan Eng, Haji Hadi bergelak ketawa pula dengan anak Kit Siang, Guan Eng di Pulau Pinang. Dulu haram, sekarang semuanya sudah halal)

Bila PAS mahu dibuka kepada bukan Islam, apakah boleh terpakai lagi hukum mengkafirkan UMNO di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981?

Pada waktu itu, Haji Hadi mengatakan "Pas menentang Umno bukan kerana namanya Umno, tetapi kerana Umno mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir dan mengekalkan peraturan jahiliah. Disebabkan itu, perjuangan menentang Umno adalah jihad dan jika mereka mati dalam perjuangan itu, mati mereka adalah mati syahid."

Siasah Daily melaporkan bahawa hasrat untuk membolehkan orang bukan Islam menyertai PAS bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila retreat PAS di Langkawi meluluskan kertas pelaksanaannya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, "ia patut disegerakan" manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, "sudah sampai masanya." Nik Aziz dan Haji Hadi nampaknya sudah menghalalkan semua yang dulunya dianggap haram. Diharap Ustaz Azizan Razak (Menteri Besar Kedah) tidak bersetuju dengan kenyataan Nik Aziz dan Haji Hadi ini. Jika tidak, perjuangan PAS akan lari. Tinggallah PAS pada nama sahaja, setelah dijajah oleh golongan-golongan Erdagon tajaan Anwar Ibrahim.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, November 16, 2008

Gobalakrishnan Bakal Presiden PAS

"Kelab Penyokong PAS (KPP) akan diangkat menjadi satu dewan yang setaraf dengan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dalam organisasi parti tersebut", kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa pada 15 November 2008 dalam Malaysiakini.

"Memandangkan bilangan sokongan (mereka) tinggi dan terlibat dengan formal dalam PAS, lebih baik kita buka keahlian dan menjadi sebahagian daripada organisasi PAS," kata Dr Mujahid Yusof Rawa lagi. Ini bermakna keahlian PAS akan dibuka kepada orang Cina dan India sekali. Oleh itu, parti PAS akan menjadi sama seperti PKR yang membuka keahlian kepada semua kaum. Apakah akan ada lagi niat untuk buat sebuah negara Islam?
Jika sudah dibuka kepada semua kaum, semua ahli layak bertanding apa sahaja jawatan tertinggi dalam PAS. Tidak mustahil Gobalakrishan (Ahli Parlimen PKR Padang Serai) boleh menjadi Presiden PAS pada suatu hari nanti. Gobala kini adalah Ketua Kelab Penyokong PAS Kaum India. Namun dalam pilihan raya yang lepas, Gobala mewakili PKR bertanding di Padang Serai, disebabkan PAS belum lagi membuka keahlian kepadanya untuk masuk dalam PAS. Bila sudah menjadi ahli PAS, Gobala layak untuk bertanding jawatan Presiden PAS pada pemilihan akan datang.

PAS sendiri sudah mengiktiraf Gobalakrishan pada 15 Februari 2007, bila melantiknya menjadi Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India. Wong Kar Woh (ADUN DAP Canning) yang baru membaca ayat Al-Quran dalam Dewan Undangan Negeri Perak pula dilihat calon yang paling layak untuk memimpin Dewan Pemuda Cina PAS.

Jika cadangan Dr Mujahid ini menjadi kenyataan, maka Gobalakrishnan akan menjadi Pengerusi Dewan India PAS. Sama tarafnya dengan Salahuddin Ayub yang memimpin Dewan Pemuda PAS. Inilah buah tangan kumpulan-kumpulan Erdagon dalam PAS. Kalau PAS sudah jadi begini, rasanya nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak disesuai lagi digunakan. Mungkin perlu ditukar kepada nama yang lain. Ini kerana Gobalakrishnan dan Wong Kar Woh biarpun telah membaca ayat-ayat suci Al-Quran tetapi masih lagi belum memeluk Islam. Biarpun orang PAS mengatakan hidayah akan datang kepada mereka tetapi cuba fikirkan sampai bilakah mereka akan terus mempermainkan ayat-ayat suci Al-Quran? Kumpulan-kumpulan dalam Dewan Ulama PAS wajib melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan ini.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Amal Maghruf Nahi Mungkar Cara DAP

Pada 15 November, DAP telah memulakan larian ISA sejauh 350km dari Pandamaran ke Kem Kamunting, Perak. Tujuan larian ini adalah untuk melambangkan kesaksamaan, kebebasan dan menggesa rakyat Malaysia bersatu 'bergerak ke hadapan'. Bagaimana untuk bergerak ke hadapan jika menghalang pihak berkuasa dari mencegah sesuatu perkara mungkar? Pada 12 November, polis telah menahan Ronnie Liu (ADUN DAP Pandamaran, turut kelihatan dalam gambar merasmikan larian) berhubung tindakannya menghalang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam satu operasi mencegah maksiat di sebuah hotel di Puchong pada tahun lalu. Adakah "amal maghruf nahi mungkar" yang disebut oleh Guan Eng ini dipraktikkan oleh Ronnie Liu?
Pada 1 Mac 1996, Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) pernah menyatakan bahawa "fahaman sekular yang tidak mahu kepada perlaksanaan hukum itu adalah lebih bahaya daripada Syiah kerana ia tidak berlandaskan kepada ajaran Islam sebenarnya". Apa pula komen Nik Aziz bila DAP yang menganjurkan tema "nahi mungkar" tetapi menghalang pula pihak berkuasa bertugas mencegah maksiat. Apakah ini bermakna DAP hanya mempermainkan sahaja "amal maghruf nahi mungkar" sebagai penyedap hati orang-orang PAS sahaja? Adakah cara sebegini yang dianggap sebagai fahaman sekular?

Bagaimana pula dengan ayah Guan Eng, Lim Kit Siang? Adakah Kit Siang dan Karpal Singh masih berkeras untuk menerima konsep negara Islam yang mahu dibawakan oleh PAS?. Mengapa bila Dewan Pemuda PAS memberikan proposal cadangan untuk pentadbiran cara Islam di Pulau Pinang, ianya ditolak mentah-mentah oleh Guan Eng. DAP masih tidak boleh kerjasama dengan PAS lagi? Exco PAS pun tidak dilantik di Pulau Pinang. Bagaimana hendak buat negara Islam jika DAP masih berkeras tidak mahu negara Islam. Bagaimana hendak wujud pakatan orang Islam yang kuat dalam Pakatan Rakyat, jika DAP hanya mempermain-mainkan kalimah suci untuk kepentingan mereka sahaja. Bila diajak untuk mengamalkan, DAP menolak. Akhirnya, PAS juga yang asyik terkena.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Friday, November 14, 2008

Jangan Gabung Syariah dan Sivil

(Kenyataan penuh Tun Abdul Hamid dalam Utusan Malaysia pada 13 November 2008. Cadangan ini pernah dibentang dalam satu syarahan bertajuk ‘Mengharmonikan Undang-Undang Lazim dan Undang-Undang Syariah di Malaysia: Satu Pendekatan Praktikal’ di Fakulti Undang-Undang, Harvard).

Tun Abdul Hamid Mohamad (Bekas Ketua Hakim Negara) berkata undang-undang lazim dan undang-undang syariah boleh diharmonikan melalui penggabungan mahkamah syariah dan sivil. Pendekatan itu mampu direalisasikan kerana hakim yang sama boleh mendengar kedua-dua kes sivil dan syariah manakala peguam bukan Islam berhujah mengenai isu yang melibatkan undang-undang syariah. Tun Abdul Hamid menyatakan penggabungan ini boleh direalisasikan kini kerana pakar yang bukan beragama Islam sudah lama menceburkan diri dalam bidang perbankan, kewangan dan takaful Islam. Apakah selepas ini kita mahu melihat peguam-peguam DAP membela kes nikah cerai dan murtad di mahkamah sivil? Idea penggabungan ini tidak boleh dimurnikan.

(Gambar: Salah satu blog pro pembangkang berbangga pula bila Wong Kar Woh membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Persoalan hukum sudah ditolak ketepi bila DAP ini dianggap fasih membaca ayat Al-Quran. Kita tunggu bila Wong Kar Woh dan Gobalakrishnan betul-betul hendak memeluk Islam kalau benar-benar sudah menerima hidayah).

Tuntutan ke-9 Interfaith Commission (IFC) menyatakan bahawa "orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya." Pada 13 November 2008, Wong Kar Woh (ADUN Canning, Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Perak) membacakan dua ayat dari Surah Al-Hujurat (ayat ke-12) dan Surah Ali-Imran (ayat ke-10). Satu daripada tuntutan IFC telah tercapai?

Jika penggabungan mahkamah dimurnikan, hukum agama Islam pastinya akan dijadikan pula bahan pertikaian dan sendaan oleh mereka. Maka, jangan terkejut jika ramai lagi peguam DAP yang berhujah dengan menggunakan ayat Al-Quran di mahkamah.Penggabungan syariah dan sivil akan menjayakan tuntutan IFC yang ke-3 dan ke-5.

(Gambar: Utusan Malaysia, 9 Mei 2008, mukasurat 14. Lihatlah bagaimana tersenyum gembiranya Ahmad Jailani Abdul Ghani (Peguam Fatimah, bersongkok hitam, berada di sebelah Fatimah, penceramah bebas sebuah parti politik). Bukankah Ahmad Jailani ini juga beragama Islam? Mengapa gembira bila seorang mualaf murtad?).

Apakah tuntutan IFC yang ke-3 dan ke-5? Dalam tuntutan IFC yang ke-3 "sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil". Tuntutan yang ke-5 adalah "orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang". Penggabungan mahkamah syariah dan sivil akan membolehkan tuntutan ke-3 dan ke-5 ini tercapai.

Di Selangor, tuntutan ke-8 IFC telah tercapai pada 9 Jun 2008, kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor telah membuat pengumuman untuk menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi di negeri itu. Keputusan ini diumumkan oleh Dr. Xavier Jayakumar (Exco PKR Selangor).

(Sila tengok penjelasan tentang Interfaith Commission, IFC)

Jika dihapuskan mahkamah syariah dan digantikan dengan hanya satu mahkamah yang telah digabungkan, maka sistem perundangan Islam akan menjadi semakin liberal. Ianya akan membuka lebih banyak ruang kepada orang bukan Islam mencabar hukum hakam Islam. Ada kalangan orang Islam sudah menjadi keliru bila ada juga kalangan pemimpin Islam yang diam membisu membiarkan tindakan DAP ini mempermainkan ayat-ayat suci Al-Quran. Imam orang Islam sudah dipermainkan. Apakah orang-orang Islam dalam PAS dan PKR mahu tutup sebelah mata lagi?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia

Thursday, November 13, 2008

DAP Pula Baca Ayat Al-Quran


(Baca kenyatan Harakahdaily ini). Sebelum kita pernah mendengar Gobalakrisnan (Ahli Parlimen PKR Padang Serai, Ketua Kelab Penyokong PAS Kaum India) membaca ayat Al-Quran dalam majlis PAS. Pada 13 November, Wong Kar Woh (ADUN Canning, Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Perak) membacakan dua ayat dari Surah Al-Hujurat (ayat ke-12) dan Surah Ali-Imran (ayat ke-10). Inilah padahnya bila Nizar melantik Speaker bukan Islam dalam Dewan Undangan Negeri. Dewan sudah tidak boleh dikawal lagi.

(Gambar: Wong Kah Woh ketika Majlis Berbuka Puasa di Taman Cempaka Surau At Tabiyyah. DAP sudah jadi adik beradik PAS? Hinggakan ke kawasan surau dan masjid mereka datang untuk meraih undi dari orang Islam. Namun bila berkuasa mereka tidak hirau sensitiviti umat Islam)

Wong Kar Woh menyatakan bahawa berdasarkan tafsiran ayat 12, Surah Al-Hujurat, "kita semua adalah adik beradik". DAP sudah jadi adik beradik PAS? Kalau sudah jadi adik-beradik, tak perlu lah PAS langkah mayat DAP dulu untuk buat Negara Islam. "Takmuru nabil maaruf watan hau anil mungkar". Bagaimana pula dengan gesaan agar negeri Perak membatalkan lesen GRO luar negara dan ungkapan seks sebagai satu sedekah?

Sebagai seorang lulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Wong Kar Woh seharusnya lebih faham dan sensitif dengan umat Islam. Apakah kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro M) di UIA yang dimonopoli oleh We Unite for Islam (WUFI) tidak mengajarkan perkara ini kepada Wong?. Tindakan Wong ini telah mempermainkan agama Islam. Sila minta maaf segera. Apakah Nizar tidak kisah ayat suci Al-Quran dipermainkan oleh kafir harbi ini? Orang PAS bangga? Hinggakan menyiarkan berita ini dalam Harakahdaily. Mufti Perak perlu membendung tindakan biadap DAP ini. Ternyata saranan Sultan Perak pada 5 November agar jangan lagi mengguris hati orang Melayu tidak diambil perhatian pun oleh DAP.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Usah Pertikai Fatwa

“Fatwa itu tidak akan berjaya menghapuskan pengkid. Takkan apabila saya berjalan dalam keadaan berpakaian seperti lelaki, polis terus tahan dan tangkap saya.“Atau, adakah apabila saya dengan kawan perempuan makan bersama-sama, kami terus ditangkap?” kata seorang pengkid dikenali sebagai Win. Pada 23 Oktober 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan memutuskan perlakuan 'pengkid' atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki, sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali.

"Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal manusia, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan. "Lebih membimbangkan, pengkid kini sudah melarat kepada perkara berkaitan seksual dengan meminati sama sejenis," kata Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin (Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan) ketika muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bharu pada 23 Oktober.


Ternyata kebimbangan Majlis Fatwa ini benar. Ianya diakui sendiri oleh Win yang menyebut bahawa “Kami (pengkid) lebih mudah dekati mereka (wanita), terutama apabila ada masalah. Walaupun sehingga ada yang melakukan hubungan seks, ia masih selamat kerana sukar untuk mengandung”. Hari ini, semua perkara mahu dipertikaikan. Kontrak sosial, perlembagaan, pemimpin dan fatwa pun sudah dipertikaikan oleh segenlitir mereka yang mahu kebebasan sepenuhnya tanpa ada sebarang batasan dan peraturan. Usah pertikai fatwa. Belajarlah hidup berperaturan.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, November 9, 2008

Serambi Mekah di Penang?

Sejak DAP mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang selepas menang pada 8 Mac 2008, ungkapan-ungkapan seperi "kepimpinan Umar Abdul Aziz, Amal Makruf, Nahi Mungkar" mula kedengaran. Malah ada artikel dalam blog Ketua Menteri DAP Pulau Pinang menyatakan bahawa DAP akan membangunkan kawasan "Serambi Mekah" di Penanti. Dalam berjanji hendak buat Serambi Mekah, sedar tidak sedar DAP sudah ambil DEB dari orang Melayu di Pulau Pinang. Antara janji dan realiti, apa yang orang Melayu dapat sebenarnya di Pulau Pinang. Siapa yang sedang membuat untung sebenarnya?
Pada 25 Februari 2008, DAP membuat demonstrasi (gambar) mengecam tindakan kerajaan Barisan Nasional mengenakan bayaran tol di Sungai Nyior. DAP menyatakan BN "hisap darah". Sekarang ini, sesudah hampir 8 bulan DAP memerintah Pulau Pinang, kadar tol Sungai Nyior masih lagi berjalan seperti biasa. Oleh itu, siapa yang "hisap darah" sebenarnya?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Saturday, November 8, 2008

Guan Eng Pertahan, Biarpun Disaman GGMM


(Gambar: Kenyataan Guan Eng dalam Berita Harian, mukasurat 15, 8 November 2008). Pada 4 November 2008, Nik Rizman Sapian (Exco Gabungan Graduan Melayu Muda, seorang akauntan) telah memfailkan saman terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung tindakan memasang papan tanda pelbagai bahasa di kawasan Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang. Hari ini (8 November), setelah 4 hari berlalu, barulah Guan Eng mengeluarkan kenyataan terhadap saman terbabit. Guan menyatakan bahawa pihaknya akan mempertahankan keputusan untuk meneruskan usaha untuk memasang papan tanda pelbagai bahasa. Sebagai seorang warganegara Malaysia seharusnya Guan Eng perlu hormat pada perlembagaan negara dan pada perkara 152. Jika perlu, rasanya orang yang paling layak menyedarkan Guan Eng ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri. Apakah cara Guan Eng ini menuruti kehendak kepimpinan Umar Abdul Aziz? Amal Makhruf Nahi Mungkar? Usah guris hati orang Melayu lagi.

Friday, November 7, 2008

Livni Sudah Beri Amaran Pada Obama

Pada 6 November 2008, dalam satu temubual dengan radio Israel, Tzipi Livni (Menteri Luar Israel) meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama supaya tidak mengadakan sebarang rundingan dengan Iran. Ini antara petanda awal bahawa Israel tidak mahu Amerika Syarikat bersikap terbuka terhadap Iran, seterusnya meneruskan dasar yang sedia ada terhadap Iran. Sementara itu, perlantikan Rahm Emanuel (seorang Yahudi) sebagai White House Chief Of Staff oleh Obama telah dianggap sebagai klon Wolfowitz. Rahm Emanuel dianggap "Wolfowitz II".
(Gambar: Rahm Emanuel sedang memberikan ucapan ketika kempen untuk Obama. Apakah Rahm Emanuel juga akan menjadi penasihat utama Obama?). Wolfowitz sekarang bertugas sebagai Visiting Scholar di American Enterprise Institute (AEI) bersama dengan Lynne Cheney (isteri Dick Cheney, seorang Yahudi). Apakah itu AEI? AEI adalah satu think tank neo konservatif yang amat berpengaruh. Richard Perle, Dick Cheney, Wolfowitz dan Douglas Feith adalah antara orang utama AEI. Mereka ini adalah tokoh-tokoh perang Amerika Syarikat dan antara pelobi yang berpengaruh di Amerika Syarikat, majoritinya adalah Yahudi. Apakah AEI tidak menghulurkan bantuan untuk menaja mana-mana calon Presiden Amerika Syarikat? AEI juga turut beroperasi untuk meningkatkan tabung Jewish Institute for National Security Affairs (JINSA). JINSA banyak memberikan bantuan kepada operasi overt dan covert Israel.

Apakah di bawah pentadbiran Obama, Rahm Emanuel tidak akan meneruskan misi JINSA dan AEI? Apakah selepas ini ada orang yang mahu berulang alik ke Washington untuk mendampingi pula "Wolfowitz II"?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Thursday, November 6, 2008

Obama Dipengaruhi Israel?

Barrack Obama membawa kalungan bunga dalam Hall of Remembrance, Yad Vashem Holocaust Memorial di Jerusalem, pada hari Rabu, 23 Julai 2008. Obama dipengaruhi oleh Israel? Adakah Islam liberal yang cuma diajarkan kepada umat Islam?

Adakah Obama dipengaruhi oleh Israel? Pertama, Obama memakai Yarmulke, lebai orang Yahudi. Yang kedua, hanya orang Yahudi sahaja dibenarkan mendampingi Master Jew. Mengapa Obama mendapat keistimewaan sebegitu? Yang ketiga, Obama sedang melakukan ritual Yahudi pada dinding Monument Jew. Perbuatan ini dilakukan oleh orang Yahudi untuk menyampaikan mesej rahsia sesama orang Yahudi sahaja. Mengapa Obama melakukan perkara yang dibuat oleh Yahudi ini?

Barrack nama pertama Obama adalah nama Yahudi yang berasal dari ayat "baruch". Kebanyakan ahli ibadat Yahudi menggunakan nama "baruch"sebagai nama pertama mereka. Bekas perdana menteri Israel iaitu Ehud Barak juga mengambil nama sempena nama "baruch". Nama kedua Obama juga hampir sama dengan "Ahabah". Bent Ahabah adalah nama untuk synagogue (satu upacara multilation untuk bayi-bayi Yahudi).

Ketika berusia 10 tahun, Obama pernah ke sekolah sosialis Yahudi atau disebut "kibbutz". Obama menyatakan bahawa dia hanya menggunakan tandas sekolah itu sahaja pada waktu itu. Namun ada saksi lain menyatakan bahawa Obama telah menghadiri kelas selama tiga jam di sekolah tersebut. Adakah Obama dirancang dan dilatih untuk menjadi Presiden Amerika ketika berusia 10 tahun lagi?

(Gambar: Obama sedang melakukan ritual Yahudi). Tidak menghairankan bila selesai sahaja pengundian, Obama mendapat sejumlah 77% undi dari pengundi Yahudi. Berbanding John Kerry yang hanya mendapat 74% undi daripada pengundi Yahudi pada 2004. Pada tahun 2000, Al Gore paling banyak mendapat undi daripada pengundi Yahudi iaitu sejumlah 79%. Obama mendapat banyak undi dari pengundi Yahudi di Connecticut dan Massachusetts. Di Connecticut, 61% Yahudi menyokong Obama. Yahudi mulai suka pada Obama kerana banyak kenyataan Obama secara terbuka menyokong rejim Israel.

"My view is that the United States' special relationship with Israel obligates us to be helpful to them in the search for credible partners with whom they can make peace, while also supporting Israel in defending itself against enemies sworn to its destruction” kata Obama dalam kenyataan medianya pada Haaretz pada 15 Februari 2007.

Ramai yang berseronok melihat Barrack Obama menang Presiden Amerika Syarikat. Seolah Barrack Obama adalah Presiden Dunia yang baru. Ramai yang tidak sedar bahawa rekod peperangan yang dibuat oleh Demokrat adalah lebih banyak dari Republikan. Namun ada juga yang sebut bahawa tidak ada bezanya antara Bush dan Obama. Cuma mungkin yang baru ini adalah "Bush Kulit Hitam". Benarkah begitu?


(Gambar: Obama dinasihati oleh Rahm Emanuel, seorang Yahudi ketika kempen Presiden). Pada November 2008, Rahm Emanuel (seorang Yahudi, anak seorang Israel) baru sahaja ditawarkan jawatan oleh Obama menjadi White House Chief Of Staff. Dan lebih memeranjatkan lagi bila mentor Obama sendiri iaitu Abner Mikva menyatakan "Obama will be the first Jewish President Of USA" dalam Jerusalem Post pada 5 November 2008.

"Our job is to rebuild the road to real peace and lasting security throughout the region. Our job is to do more than lay out another road map. That effort begins with a clear and strong commitment to the security of Israel: Our strongest ally in the region and its only established democracy. That will always be my starting point." ucapan Obama ketika bercakap kepada kumpulan American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) di Chicago pada 2 Mac 2007. Nampaknya jika dasar Bush dianggap sebagai kejam dan keras terhadap dunia Islam, apa kurangnya dengan Obama? Dasar Obama mungkin halus dan “makan dalam”. Musuh yang “silent killer” lebih bahaya dari musuh yang nampak secara nyata. Presiden Amerika tetap Presiden Amerika, mereka datang dari pelobi yang sama. Berhati-hatilah kita.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, November 4, 2008

GGMM Saman Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Nik Rizman (tengah, Exco GGMM) bersama dengan barisan ahli GGMM yang turut serta turun ketika GGMM menyaman kerajaan DAP Pulau Pinang pada 4 November 2008 di Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang.
Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) atau Young Malay Graduates Federation pada jam 2 petang, 4 November 2008 telah menyaman kerajaan DAP negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang berhubung papan tanda tri-bahasa yang ingin didirikan di kawasan tapak warisan sejarah Pulau Pinang. Nik Rizman Sapian (AJK GGMM, seorang usahawan dari Kuala Lipis Pahang) telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Nik Rizman dengan diwakili oleh Sharihan Jani dari Tetuan Sahrihan & Hamdan, dengan menamakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai defendan kedua. Seramai 200 anggota GGMM mengadakan perarakan secara aman dari Padang Kota Lama menuju ke perkarangan Mahkamah Tinggi.