Tuesday, September 30, 2008

Takbir Raya


Salam Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin

Alhamdulilah. Syawal Dinanti Kembali Lagi. Semoga Kita Semua Dipermudahkan Urusan, Dimurahkan Rezeki, Diberikan Kesihatan & Sentiasa Dalam Rahmat dan Kasihnya-Nya. Salam Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Monday, September 29, 2008

"Seks Itu Sedekah" Kena Pecat

Pada 23 September 2008, Zul mengeluarkan kenyataan sensasi yang mengemparkan seluruh negara. Zul berkata: ‘‘Tidak mengaku tidak boleh, dia (BPR) ada gambar. Kita tak minta, tak cari, Mohamad Imran yang hantar. Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?’’ ujar Zul.
28 September 2008, Akhirnya, Zul Hassan (gambar) dipecat serta merta sebagai Ahli Majlis Daerah Perak Tengah setelah mengaku menerima habuan seks wanita warga China berhubung skandal rasuah membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, Perak.
Pada mulanya ianya dianggap sebagai kesilapan bahasa oleh Timbalan Pengerusi PKR Perak. Akhirnya, kesilapan dibalas dengan pemecatan. Baguslah kalau sudah dihukum. Biar jadi pengajaran pada yang lain. Yang susahnya ialah jenis orang yang tidak mahu mengaku salah. Ramai yang keliru, betul ke tidak ni?

Sunday, September 28, 2008

Teresa Pakai Skirt Buka Puasa Di Masjid

Pada 19 September 2008, Teresa Kok telah hadir di Masjid Nurrusaadah, Kg Cheras Baru untuk berbuka puasa (gambar dalam blog Teresa). Malangnya Ahli Parlimen Seputeh itu, memakai skirt untuk berbuka puasa di masjid. Malah sempat lagi berkempen dalam masjid ketika umat Islam berbuka puasa.
Ketika rumahnya dilontar "molocov cocktail", Teresa menyalahkan media sebagai punca kejadian tersebut. Apakah pakai skirt ke masjid juga salah media? Zakariah Isa (Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan) berkata, "Pemimpin bukan Islam seharusnya sensitif dengan mematuhi kod etika berpakaian ketika menghadiri majlis terutama yang dianjurkan oleh masjid. Menurutnya, jika perlu, pegawai khas pemimpin berkenaan wajar memainkan peranan memberi nasihat yang baik tentang etika berpakaian.". Sewajarnya pemimpin PAS menegur kelakuan Teresa ini. Mohd Sabu (Naib Presiden PAS) difahamkan hadir ketika penghujung ucapan Teresa Kok di masjid tersebut. Apakah ulasan Mohd Sabu tentang pakaian Teresa Kok?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Saturday, September 27, 2008

Rumah Ibu Bapa Teresa Kok Di Bom

Pada jam 2.55 pagi, 26 September 2008, rumah ibu bapa Teresa Kok telah menerima nota ugutan dan dibaling dengan bom petrol. Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) menunjukkan nota ugutan dan contoh bom petrol yang dilontar di kediaman ibu bapanya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Ayahnya Kok Kim Tong, 74, dan ibunya Cecilia Pong, 71 tidak cedera. Bom petrol itu juga tidak meletup.

Bom petrol guna botol mineral? Apa pun, tindakan subversif sebegini tidak seharusnya berlaku. Benci dan marah akibat perselisihan politik tidak perlu disalurkan melalui cara emosi dan keterlaluan. Siapa tahu kejadian ini adalah satu reverse psychology yang sengaja dibuat buat untuk menutup malu? Pada 20 Mei 2008, Karpal Singh juga pernah kena nota amaran dan peluru hidup. Sekali imbas semua akan menyangka pihak parti yang bertentangan yang buat. Rupa-rupanya orang PAS yang buat. Jangan mudah menuduh, siasatan menyeluruh akan membuktikan siapa sebenarnya yang buat.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Bantulah Mat dan 8 Orang Adiknya

Mohd. Norshahrul Amri Anuar, (berdiri ) yang juga dikenali sebagai Mat kini terpaksa menjadi ketua keluarga menyara lapan adiknya, (dari kiri) Mastuti Nursiti Atikah, Ima Edayu, Mohd. Adam, Mohd. Wafi, Mohd Ellyas, Mohd. Ellyasaq, Nur Amisha dan Ahmad Danial (tiada dalam gambar) yang tinggal di bangsal membuat nira nipah milik datuk saudara mereka di Titi Bakong, Yan, Kedah. Mat berhenti sekolah dan menjadi kelindan lori untuk menyara keluarga. Hulurkan bantuan anda ke akaun Norsidah Abu di Bank Simpanan Nasional (BSN) 02125-29-00008493-9 atau menghubungi talian 019-5634768. Moga sumbangan anda dapat membantu Mat dan keluarga menyambut Aidilfitri.

Friday, September 26, 2008

Tian Chua Pula Silap Buat Kenyataan

(Gambar: Anwar tegur Tian Chua dalam satu laporan Malaysiakini pada 25 September 2008). Selepas Teresa Kok kena chekmate, Tian Chua (Ketua Penerangan PKR) pula tersasul mengeluarkan kenyataan. Pada 24 September 2008, dalam satu kenyataan media, Tian Chua menyatakan bahawa pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat akan terlaksana pada 1 Oktober 2008 (Hari Raya Aidilfitri).

Dalam satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), PKR pada malam 24 September 2008, Tian Chua ditegur oleh Anwar kerana tidak merujuk terlebih dahulu dengan parti sebelum membuat kenyataan. Tian Chua menyatakan ada rundingan diadakan bersama "orang tengah" Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan, tetapi Anwar dan Perdana Menteri nafikan wujudnya rundingan terbabit. Ternyata kenyataan tentang rundingan tersebut hanyalah helah dan psywar Tian Chua semata mata.

Ternyata, tarikh 1 Oktober 2008 juga hanyalah tarikh rekaan Tian Chua sendiri. Padahal Tian Chua sewaktu pulang bersama 4 orang lagi delegasi memujuk PKR ke Taiwan begitu yakin sekali usaha melompat akan berjaya. Kemudian pada 16 September, segalanya yang disebut oleh Tian Chua tidak menjadi kenyataan. Ini menunjukkan Tian Chua gagal di Taiwan.
Dalam Malaysiakini, 25 September 2008 (gambar), Tian Chua sekali lagi memberikan kenyataan media bagi pihak PKR. Menurutnya, PKR menyifatkan pengumuman kerajaan menurunkan harga runcit minyak sebanyak 10 sen sebagai satu keputusan yang didasari motif politik semata-mata. "Tindakan kerajaan Barisan Nasional ini gagal untuk mengambil kira aspek mekanisme pasaran dan kepentingan rakyat. Sebaliknya, kata Tian, ia merugikan peruncit minyak dan pengeluar produk bahan bakar tersebut.” kata Tian Chua.

Apakah tindakan Anwar Ibrahim menjanjikan harga minyak turun 50 sen ketika berdebat dengan Ahmad Sabry Chek juga tidak bermotif politik? Sekarang sudah turun 25 sen berbanding harga pada perdebatan iaitu RM2.70 sen. Wajarkah Tian Chua berkata ianya merugikan peruncit minyak dan pengeluar produk bahan bakar?.

Kenyatan Tian Chua bahawa turun 10 sen adalah merugikan peruncit minyak amat mengelirukan. Sewajarnya bila minyak sudah turun, kita bersama-sama mendesak peniaga menurunkan harga barang. Termasuklah harga tiket bas. Mengapa perlu tiket bas naik sedangkan mereka dapat fleet card dan kadar tol yang berlainan? Bila minyak naik, ramai yang menangguk di air keruh. Bila minyak turun, semua fikirkan hendak untung lebih lagi. Hendak marah pada siapa kalau harga barang tidak mahu turun? Kerajaan atau peniaga?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Thursday, September 25, 2008

Akhirnya Teresa Kok Mengaku Juga

(Gambar: Utusan Malaysia, 25 September 2008). Akhirnya Teresa mengalah dan mengakui kesilapan sendiri. Pada 24 September, dalam satu forum ISA anjuran DAP, Teresa Kok akhirnya mengaku membuat kenyataan bercanggah mengenai makanan semasa dalam tahanan ISA.

Pada 19 September lalu Teresa mendakwa makanan itu “sama seperti makanan anjing” tetapi pada 22 September menukarnya kepada “baik sedikit daripada makanan anjing. “Okey baiklah. Awak mengesan kesilapan saya dengan bantuan rakaman video dan sebagainya, dan saya boleh terima kritikan,” kata Teresa Kok. Apakah Teresa tidak sedar semasa membuat kenyataan? Hingga perlu disedarkan oleh orang lain bahawa kenyataannya bercanggah?

Teresa menyatakan dia “tersilap membuat kenyataan” kerana keletihan. Mungkin sebab keletihan juga, Teresa terlupa apakah menu terakhir makan malam, sebelum dia dibebaskan. Jika keletihan, tenangkan dulu fikiran. Jangan buat tuduhan yang melulu dengan sewenang wenangnya. Kes ini menjadi pengajaran yang berguna kepada mereka-mereka yang enggan mengaku kesilapan sendiri.

Menurut Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), tarikh baru pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat telah ditukarkan kepada 1 Oktober 2008. Tukar kerajaan ketika umat Islam berhari raya Aidilfitri? Sesudah 16 dan 23 September tinggal angan-angan, ada pula kenyataan baru untuk terus mengelirukan rakyat. Bilakah Anwar Ibrahim hendak mengaku kenyataan 16 September yang dibuatnya adalah silap?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, September 23, 2008

Menu Makanan Teresa Kok



Berikut adalah menu makanan Teresa, apakah Teresa hanya ingat telur, timun dan kuah sahaja? Nasi yang diberi sengaja dilupakan?

Monday, September 22, 2008

Teresa Kok: Makanan Sama atau Baik Sedikit Dari Anjing?

Dalam Malaysiakini, ketika dibebaskan pada pagi 19 September 2008, Teresa Kok mendakwa, beliau dijamu “seperti makanan anjing” - dua butir telur rebus, timun dan kuah dua kali sehari pada waktu makan tengah hari dan makan malam.

Kemudian, pada 21 September, Biro Pengaduan Awam (BPA) menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan Teresa Kok berhubung dengan isu makanan anjing. "Jikalau benar Teresa (Kok) tidak mendapat makanan sesuai sepanjang lapan hari ditahan, beliau bolehlah mengemukakan aduan rasmi kepada kami," kata T.Murugiah (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Apakah Teresa sudah membuat aduan secara rasmi?

(Gambar: Anjing makan telur rebus dan timun?)

Dr. Chandra Muzaffar (Presiden JUST) menyatakan ''Bagi saya makanan yang diberi kepada tahanan ISA adalah makanan biasa seperti di rumah. Adalah tidak benar makanan yang diberikan kepada tahanan ISA disamakan seperti makanan haiwan (anjing),'' katanya. Dr Chandra pernah ditahan ISA selama 52 hari.

Tan Hoon Cheng (wartawan Sin Chiew Daily) yang ditahan di bawah ISA berkata ''masa saya ditahan, polis bertanya adakah saya mahu makan malam kerana makanan saya dibeli di luar dan saya tidak makan makanan yang disediakan dalam lokap,'' katanya. Tan berkata, makanan yang dimakannya selepas pukul 12 tengah malam ialah roti bakar dan Milo panas. (Rujuk)
Pada 22 September 2008, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa makanan yang diberikan kepadanya ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah "lebih baik sedikit daripada makanan anjing". (Rujuk). Teresa menafikan pernah menyamakan makanan yang disediakan kepadanya ketika ditahan pada 12 hingga 19 September lalu "seperti makanan anjing". Teresa menyalahkan Utusan Malaysia yang didakwanya memutarbelitkan kenyataannya berhubung perkara itu.

Teresa menyatakan “makanan ISA seperti anjing” dalam Malaysiakini. Kemudian menyalahkan Utusan Malaysia putar belitkan kenyataannya. Siapa yang berbohong sebenarnya? Memang wajar ada cadangan agar Teresa Kok pergi menjalani ujian berbohong.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, September 21, 2008

Fitnah Punca Kejatuhan Kerajaan Melayu

Portugis mulanya datang ke Melaka untuk berdagang. Mereka meminta tanah untuk didirikan gudang. Melihat cara diplomasi yang baik antara Bendahara dan Portugis. Kitul mula berdengki. Kitul memfitnah Bendahara menerima suapan berbentuk kalung dari Portugis kepada Sultan. “Kita perlu menjalin hubungan baik dengan saudagar India dan Cina untuk mendapatkan maklumat yang kita perlukan. Tetapi jauhi saudagar Arab dan Melayu kerana mereka tidak akan mahu memberikan kerjasama,” kata De Sequeira. Portugis mula percaya orang seperti Kitul boleh beri kejayaan kepada Portugis di Melaka.

De Sequeira (juragan kapal Portugis) pulang semula ke Portugis dan meninggalkan anak anak kapalnya membina gudang di Melaka. Lama-kelamaan, gudang itu bertukar bentuk menjadi kubu. Bila disedari ianya kubu, gudang Portugis dibakar dan diserang oleh Melaka. Portugis menjadi marah dan mengutus angkatan perang menyerang Melaka.

Angkatan laut Portugis yang pertama menyerang Melaka diketuai oleh Gonzalo Pereira. Dengan kekuatan tujuh buah kapal, sepuluh buah gali panjang dan tiga belas buah fusta, angkatan Gonzalo Pereira ini tidak sempat menginjak kaki ke bumi Melaka kerana kehandalan Tun Hasan Temenggung dan kebijaksanaan Bendahara Melaka. Portugis gagal. Namun Portugis yang pada awalnya hanya datang berdagang pada 1509, mula mencari titik kelemahan kerajaan Melayu Melaka.

Siapa yang Portugis gunakan untuk pecah belahkan orang Melayu ketika itu? Pelbagai bangsa dari Arab, Parsi, Gujerat, Cina berdagang di Melaka pada ketika itu. Yang menjadi tali barut kepada kerajaan Melayu Melaka ialah Datuk Syahbandar Melaka iaitu Raja Mendeliar (keturunan Keling, peranakan India Singapura). Portugis tahu konflik antara Sultan dan Bendahara. Sultan berkenan dengan Tun Fatimah, tetapi Bendahara mengahwinkan cepat cepat anaknya dengan Tun Ali, tunangan Tun Fatimah. Hubungan Sultan dan Bendahara bertambah kusut akibat Tun Fatimah.
Untuk menyemarakan lagi konflik, api fitnah ditambah untuk mengusutkan lagi hubungan Sultan dan Bendahara. Seorang saudagar bernama Nina Sura Dewana pergi menghantar wang suap kepada Bendahara untuk melindungi kedainya. Bendahara menerima wang suap itu.

Perkara ini diketahui oleh Si Kitul (seorang lagi Keling). Si Kitul memberitahu Raja Mendeliar bahawa Nina Sura Dewa telah merasuah Bendahara. Kitul dan Raja Mendeliar kemudian membuat konspirasi menjatuhkan Bendahara. Mereka berdua berpakat menggunakan Laksamana Koja Hasan (seorang yang sangat dipercayai Sultan) untuk mendapat peluang mengadap Sultan. Raja Mendaliar menyatakan Bendahara sedang membuat singgahsana yang bersalut emas dan merancang untuk merampas takhta Sultan.


Mendengarkan cerita Raja Mendeliar, Sultan tanpa usul periksa lagi terus menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera untuk membunuh Bendahara. Tanpa usul periksa, fitnah Kitul dan Mendeliar terus dipercayai Sultan. Turut dibunuh ialah Tun Hasan Temenggung, Seri Nara Diraja dan Tun Ali. Emas Bendahara diangkut ke Istana, Tun Fatimah diambil menjadi isteri Sultan. Melaka hilang Bendahara yang bijak mentadbir negeri dan panglima perang yang mengalahkan serangan pertama Portugis.

Pada awal Julai 1511, Melaka diserang pula oleh armada Portugis yang diketuai oleh Alfonso De’ Albuquerque. Baru sahaja angkatan perang Portugis sampai, Sultan Mahmud Syah telah mengutus utusan naik ke kapal Portugis menyatakan bahawa orang yang bersalah (Bendahara) membakar gudang Portugis sudah dihukum bunuh. Sultan minta berdamai, tetapi Portugis meminta agar tawanan Portugis dibebaskan. Sultan gagal membebaskan tawanan. Akhirnya sesudah serangan selama sepuluh hari sepuluh malam, Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis.
Akibat percayakan cakap Mendeliar dan Kitul (Keling), Sultan telah membunuh Bendahara Tun Mutahir dan Laksamana Melaka. Akhirnya, bila orang Melayu Melaka berpecah dan bergaduh sesama sendiri akibat “emas” dan “wanita”, orang luar mengambil kesempatan menjajah negeri Melayu. Musim pemilihan tiba lagi. Majoritinya mengutamakan pemilihan bukan pemulihan. Dulu emas yang dikejar, sekarang yang dikejar ialah “projek”. Cantas mencantas, pijak kepala kawan dan makan keliling sudah menjadi kebiasaan pada sesetengah manusia. Ada juga yang bersikap macam Kitul, Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja.

Jika kita tidak mengambil pengajaran, suatu hari kita akan diajar oleh perbuatan kita sendiri. Moga kita semua dijauhkan dari sifat Kitul dan Mendeliar. 1402-1511, hanya 109 tahun bertahan sebagai kerajaan, Melaka jatuh. Malaysia baru 51 tahun. Apakah akan berlaku pada tahun 2066, ketika usia kemerdekaan adalah 109 tahun? Berapa ramai lagi anak Melayu yang sanggup pertahankan identiti bangsanya sendiri? Jangan disebabkan fitnah, kerajaan Melayu jatuh sekali lagi.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Karpal Singh : Apa Ceritanya

(Kenyataan Karpal Singh dalam The Star, 5 Mei 2008, muka surat 27). Inilah padahnya bila Anwar bersikap terlalu liberal dan terbuka kepada DAP. Apakah hak Karpal Singh untuk masuk campur dalam urusan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak? Bukankah bidang agama sememangnya di bawah kuasa Sultan? Bila Karpal Singh terlalu masuk campur dalam urusan ini, maka ini jelas menunjukkan bahawa DAP adalah pemegang kuasa sebenar di Perak. PAS hanya menjadi MB pak turut semata mata.
(Gambar: Pada tahun 1990, Karpal sebut lain. Kemudian pada 1999, Karpal sebut lain pula. Sememangnya Karpal memang pandai pusing dan buat “u turn” sama macam Anwar juga).

Pada 18 September, Jawatankuasa Disiplin PKR telah memanggil Zulkifli Nordin (Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, PKR) kerana terbabit membantah “Forum Memeluk Islam” yang dianjurkan oleh Majlis Peguam. Jawatankuasa Disiplin menyifatkan tindakan Zulkifli Nordin sebagai agresif dan bertentangan dengan pendirian parti. Ini bermaksud PKR membenarkan soal akidah Islam dipersoalkan secara terbuka oleh mana mana pihak?. Cukup terbuka pendirian PKR. Akibatnya Zulkifli Nordin tidak dipanggil lagi menjadi salah seorang dari 9 peguam untuk membela Anwar dalam kes sodomi.


(Gambar: Dengar apa kata DAP mengenai negara Islam cadangan PAS). Apakah ada Jawatankuasa Disiplin Pakatan Rakyat untuk menegur sikap Teresa Kok yang sudah mengaku membantah tulisan jawi? Jawatankuasa Disiplin untuk memanggil Karpal Singh mengapa dia mempertikaikan kuasa Sultan di Perak. Paling tidak dalam Barisan Nasional, Datuk Ahmad Ismail yang dikatakan racist oleh sesetengah pihak sudah pun digantung keahlian selama 3 tahun.
Apakah berani Pakatan Rakyat untuk menggantung keahlian mana-mana ahlinya? Mungkin Zulkifli Nordin akan menjadi mangsa yang pertama akibat mempertahankan agamanya. Ketika bantahan forum tersebut, Zulkifli Nordin telah bertentangan pendapat dengan Latheefa Koya (Peguam Anwar, Ahli Majlis Tertinggi PKR). Orang kedua dan ketiga yang akan kena ialah Mustapa Ali dan Mohd Sabu kerana telah menyindir cita cita Ketua Pakatan Rakyat menjadi PM. Karpal Singh juga yang terlepas. Kalau Mustapa boleh ditegur, apa tidaknya Karpal. Nik Aziz patut tegur Karpal dalam Harakah yang terbaru nanti.

(Utusan Malaysia, mukasurat 4, 14 Mei 2008). Kenyataan Anwar ini seolah-olah menyokong tindakan Karpal Singh ke atas kuasa raja. Apakah pula nasib Karpal Singh? Pada 22 Mei 2008, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal. Pada 5 Jun 2008, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan mengarahkan polis membuat siasatan lanjut. Sudah hampir 4 bulan kes ini, apakah beliau akan mengaku mempertikai kuasa Sultan? Dulu, Karpal Singh pernah nyatakan langkah “langkah mayat dulu sebelum buat negara Islam”. Kini, PAS pun sudah jadi terbuka dan boleh berpakat pula dengan DAP semata mata untuk berkongsi kuasa di negara ini. Pendirian ahli ahli PAS bagaimana?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia.

Thursday, September 18, 2008

Gara Gara Anwar, Rumahtangga PAS Bergelora

Mustapa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu) akan bersemuka dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) untuk menjelaskan beberapa kekeliruan yang timbul. Ini berikutan teguran terbuka Mustapa Ali terhadap impian kerajaan "916" yang akan dibentuk oleh Anwar Ibrahim dalam Harakah pada 10 September 2008.

Dalam satu wawancara ekslusif bersama Harakah, Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat mendakwa pertukaran kerajaan pada 16 September tidak menjadi kenyataan. Ekoran itu, Nik Abdul Aziz menegur kenyataan Mustafa Ali kerana dianggap bertentangan dengan keputusan yang dicapai pada muktamar di Ipoh Ogos lalu.

(Gambar: Teguran Nik Aziz kepada Mustapa Ali dalam Harakah bil 1376, 19-21 September 2008). Jelasnya PAS tidak mahu terheret sekali masuk dalam perangkap yang dibina oleh Anwar Ibrahim. Sudah ramai yang mempertikaikan punca dan sebab tidak jadinya kerajaan 16 September seperti yang dijanjikan oleh Anwar Ibrahim. Ramai yang hilang keyakinan dengan Pakatan Rakyat bila Anwar sekali lagi mengambil sikap "pusing keliling" dan menyalahkan orang lain sebagai alasan kegagalan yang beliau sendiri hadapi.
(Gambar: Husam menanti kerusi kosong di sebelahnya yang menjadi tempat Anwar Ibrahim dalam satu ceramah di Seberang Jaya. Husam amat setia sekali dengan Anwar, mengapa?). Sokongan PAS terhadap impian Anwar mula menampakkan kemerosotan bila pemimpin-pemimpin utama PAS tidak hadir pada 15 September di Stadium Kelana Jaya untuk sambutan Hari Malaysia.

Hanya kumpulan Erdagon yang diketuai Husam didapati hadir. Ini menyerlahkan lagi bahawa ada kalangan ahli PAS sendiri sudah tidak mahu terbabit dalam game Anwar Ibrahim. Kenyataan pahit yang dikeluarkan oleh Haji Hadi Awang bahawa jangan menjadi seperti Mat Jenin, Mohd Sabu dan Mustapa Ali yang menyatakan tidak yakin dengan kerajaan 16 September hanyalah untuk menyelamatkan PAS daripada kehilangan sokongan akar umbi.
(Gambar: Husam masih lagi setia di sisi Anwar dalam satu program ceramah di Seberang Jaya. Mengapa Mustapa Kamil Ayub, Naib Presiden PKR) hanya duduk di barisan belakang sahaja? Ada sesuatu yang istimewa antara Anwar dan Husam hingga mengenepikan Azmin?).

Ahli biasa dalam PAS sedar wujudnya kem antara ulama dan profesional dalam PAS. Bila Anwar menerajui semula pembangkang, kem ulama yang terdiri daripada Mustapa Ali, Haron Din, Haron Taib dan Nasaruddin Mohd Isa seakan dipinggirkan.

Ahli ahli PAS sendiri sedar Tuan Guru Nik Aziz sekarang sudah dikepung oleh puak puak profesional yang diketuai oleh Husam Musa bersama dengan Kamaruddin Jaafar, Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli dan Dr Zulkifli Ahmad. Jika Mustapa Ali tidak menyatakan kenyataan yang pahit terhadap "916", sokongan orang PAS akan mulai goyah disebabkan PAS pun dilihat seolah bersikap "yes boss" kepada Anwar. Mengiyakan apa apa saja termasuklah angan angan Anwar.
(Gambar: Dua keadaan dan sambutan yang berbeza dalam majlis solat terawih. Mengapa kurang sambutan masyarakat Islam di Stadium Kelana Jaya?). Mustapa terpaksa melawan arus semata mata untuk selamatkan maruah PAS. Haji Hadi sendiri belum yakin apakah Anwar akan jadikan negara Islam sebagai teras kerajaan barunya. Keraguan ini timbul kerana PAS sendiri seolah terpaksa mengikut rentak yang dicipta oleh Anwar sendiri. Dalam masa yang sama, Anwar dilihat bersikap terlalu terbuka kepada kaum bukan Islam dan sanggup menawarkan apa sahaja untuk menagih populariti dan undi.
(Gambar: Tahniah kumpulan ulama kerana menang di DUN Sanglang. Bila menang tiada siapa nak sebut mahkamah berlaku adil?). Akhirnya, ahli-ahli PAS sendiri sudah menolak Anwar selaku pemimpin Pakatan Rakyat bila mereka sendiri mahukan Haji Hadi Awang sebagai bakal Perdana Menteri. Apakah suara-suara yang mahukan Haji Hadi itu hadir dari kem ulama? Suara itu mahu selamatkan rumahtangga PAS daripada terus bergelora melayan cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak mahu PAS dikuasai secara diam oleh orang orang Anwar.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Wednesday, September 17, 2008

Kuan Yew Mentertawakan Rakyat Malaysia.

“Malaysia is in undated with accusations and counter accusations. Anwar Ibrahim, former Deputy Prime Minister to Prime Minister Mahathir, claimed he could form a government by September, and that the charge of sodomy against him was baseless and intended to block his bid to form the next government. However Anwar has refused to give the police his DNA which could prove innocence. Instead he made counter-accusations against Deputy Prime Minister Najib Razak. Malaysians are confused and do not know what to believe.” ucapan Lee Kuan Yew (Menteri Mentor Singapura) sempena Kemerdekaan ke-43 Singapura pada 13 Ogos 2008 di Tanjong Pagar, Community Club.
(Gambar: Anwar Ibrahim berucap di satu persidangan yang dianjurkan oleh Foreign Correspondents Association of Singapore pada 5 Mac 2008. Anwar berada di Singapura, 3 hari sebelum hari pengundian pilihan raya umum yang ke-12 iaitu pada 8 Mac 2008. Untuk tahu lebih lanjut apa itu FCA Singapore sila klik).

Lee Kuan Yew baru menyambut hari kelahirannya yang ke-85 pada 16 September 2008. Kuan Yew menyatakan bahawa Anwar menjadikan kes sodomi sebagai alasan penghalang 16 September. Kini, Anwar salahkan ISA pula sebagai penyebab tidak jadinya 16 September. Mana satu yang betul? Kuan Yew menyatakan bahawa rakyat Malaysia sudah “confused and do not know what to believe”. Kenapa rakyat Malaysia menjadi bahan tawaan Lee Kuan Yew?. Siapakah majoriti rakyat Malaysia yang keliru tersebut? Apabila Anwar Ibrahim gagal membentuk kerajaan baru pada 16 September kerana kegagalan ahli ahli parlimen BN melompat parti, Anwar membuat tuduhan baru bahawa kegagalan itu adalah disebabkan ISA. Sekali lagi Anwar divert kegagalannya pada tempat yang lain. Dia juga yang tidak bersalah dan betul.
Dengan menyalahkan ISA sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak mengikut keadilan dalam Islam, ramai yang terlupa "perkara asas" mengapa Raja Petra, Teresa Kok dan Syed Azidi (Kickdefella) ditahan. Hina Nabi, tulisan jawi, isu azan dan memperlahankan speaker masjid, Jais dan kempen menterbalikkan bendera Malaysia. Apakah perkara perkara ini tidak sensitif bagi orang Islam? Tidak kira parti PAS, PKR atau UMNO, jika hatinya masih lagi tidak berasa apa-apa kalau perkara tersebut dipertikaikan, tentulah ada sesuatu yang tidak kena dalam hatinya. Apakah zalim kalau menahan untuk siasatan (belum lagi dipenjarakan) seseorang yang menghina Nabi, mengecam tulisan jawi, meminta speaker masjid diperlahankan dan kempen menterbalikan bendera Malaysia?

Ketiga-tiganya tidak dikasari ketika ditahan. Teresa Kok dan Raja Petra dikunjungi sendiri oleh SUHAKAM sebagai badan pemantau hak asasi di Malaysia. Malah Teresa Kok dibenarkan untuk bertemu dengan ibu bapanya semasa dalam tahanan ISA. Diberikan pula ubat herba dan pati ayam oleh keluarganya. Apakah ini tidak dianggap sebagai keadilan? Adakah adil kalau membuat tuduhan zalim dan kejam yang akhirnya akan mengelirukan rakyat?

(Gambar: Muka Hadapan, The Straits Times, 27 Mei 1987. Operasi Spectrum di Singapura menahan "Marxist Conspiracy". Antara yang paling awal ditahan ialah Said Zahari).

Singapura pun ada undang-undang ISA. Pada 1966, Chia Thye Poh (Ahli Barisan Sosialis) ditahan selama 32 tahun menggunakan ISA. Chia Thye Poh menghabiskan sembilan tahun terakhirnya dalam tahanan rumah termasuklah pengurungan di Pulau Sentosa. Pada tahun 1987, ketika Operasi Lalang di Malaysia, di Singapura pula ada Operasi Spectrum. Seramai 22 orang daripada Gereja Roman Katholic dan aktivis sosial ditahan di bawah ISA. Mereka disyaki menjadi ahli kumpulan Marxist yang berusaha untuk membentuk kerajaan Marxist di Singapura.

(Gambar: Muka Hadapan, The Straits Times, 21 Jun, 1987. Menyatakan kerajaan Singapura melepaskan 4 orang tahanan ISA dan menahan 6 orang lagi di bawah ISA dalam plot "Marxist Conspiracy").

Pada Disember 2001, lima belas orang disyaki ahli militan Jemaah Islamiyah (JI) ditahan di bawah ISA kerana dipercayai terlibat dalam plot untuk menyerang kedutaan Singapura. Sepanjang Ogos dan September tahun 2002, 21 orang lagi disyaki militan Jemaah Islamiyah (JI) ditahan di Singapura. ISA digunakan oleh Lee Kuan Yew di Singapura sebagai langkah pre emptive untuk mengekalkan keselamatan negaranya. Bush pernah menyelar Malaysia gunakan ISA sebagai tidak wajar. Apakah Bush terlupa bahawa Singapura dan Britain juga ada ISA?

Mungkin ada antara kita yang seronok melihat pemimpin negara jiran menyindir rakyat Malaysia berada dalam keadaan keliru dan tidak tahu mana satu yang hendak dipercayai. Sedang orang lain sibuk memaju dan membangunkan ekonomi negara mereka. Kebanyakan rakyat kita sedang berseronok menari dan berjoget mengikut irama gendang yang dipalu oleh Anwar Ibrahim. Baru terdengar guruh di langit, air tempayan sudah dituang tuangkan. Hujan tak tiba tiba juga. Salahkan guruh, awan, langit dan tempayan kerana hujan yang dicanang tidak turun.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tuesday, September 16, 2008

Salam Nuzul Quran

Kira-kira 1398 tahun yang lepas, turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W. pada tanggal 6 Ogos, 610. Ianya bersamaan dengan 17 Ramadhan, tahun ke-41 keputeraaan Baginda Nabi Muhammad SAW. Al Quran diturunkan pada malam jumaat di Gua Hira. Inilah ayat pertama yang diturunkan kemudian berperingkat-peringkat sehinggalah terkumpulnya 6,666 ayat dalam Al Quran.

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-‘Alaq:1-5)

Al-Quran diturunkan di Gua Hira (gambar). Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran adalah benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi. Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil. Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. Sejauh mana kita mengambil peringatan yang sedia ada.

Sesudah 1398 tahun diturunkan Al Quran, kini hakikatnya keadaan umat Islam di seluruh dunia berada dalam keadaan yang tertekan baik dari segi ekonomi, politik mahu pun kehidupan sosial. Entah mengapa jadi begini. Di mana silapnya? Sedangkan sudah pun diperjelaskan dalam 6,666 ayat Al-Quran tentang apa yang baik dan apa yang tidak.

Namun manusia masih mahu memilih caranya yang tersendiri. Biarpun kebenaran terpancul di depan mata, mereka masih lagi mempercayai sesuatu yang tidak pasti. Lebih buruk lagi kepalsuan sudah dipegang menjadi satu kepercayaan. Umat Islam berpecah dan terus berpecah. Biarpun tentang isu agama (bacaan ayat Al-Quran diminta diperlahankan), ada lagi yang tidak mahu bersatu. Mengapa sampai jadi sebegini?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Anwar: Jangan Jadi Mat Jenin.

(Gambar: Begitu terdesak sekali Anwar untuk berkuasa hingga terpaksa berjumpa Pak Lah untuk meminta jawatan PM?). Semasa perhimpunan Hari Malaysia di Stadium Kelana Jaya pada 15 September 2008, Anwar Ibrahim begitu yakin sekali boleh menubuhkan kerajaan baru tetapi memberi tempoh dua minggu kepada Perdana Menteri untuk mengadakan rundingan.

''Saya memberi masa dua minggu kepada Abdullah untuk membuat keputusan sama ada menerima tawaran ini atau tidak. Kita ingin adakan pertemuan dengan Perdana Menteri bertujuan berbincang untuk peralihan kuasa secara aman dan tenteram selain membebaskan tahanan politik" kata Anwar Ibrahim. Masih lagi yakin jadi PM setelah berlalunya 16 September? Apakah pertemuan dengan PM menunjukkan bahawa Anwar begitu desperate untuk berkuasa? Tidak sabar lagi menunggu PRU13?
"Apa yang saya boleh katakan rakyat sebenarnya telah diperbodoh -bodohkan oleh PKR dan saya tidak nampak asasnya akan berlaku perkara seperti itu," kata Ibrahim Ali (Ahli Parlimen Pasir Mas). Namun masih ramai lagi penyokong Pakatan Rakyat yang begitu taksub dan percaya dengan 916, mengapa mereka bersikap begitu optimis sekali?
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS (gambar) berkata, kerajaan yang digembar- gemburkan oleh Anwar Ibrahim belum menunjukkan apa- apa yang nyata sehinggalah ke hari ini. ''Janganlah hendak jadi Mat Jenin. Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi. Tidak kiralah sama ada Anwar atau UMNO yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini adalah pendirian saya sebagai Presiden Pas,'' kata Haji Hadi. Haji Hadi sudah nyatakan kepada Ketua Pembangkang agar jangan jadi Mat Jenin lagi. Bilakah agaknya Mat Jenin akan berhenti dari berangan?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Monday, September 15, 2008

Pengerusi Masjid Bandar Kinrara Sokong Teresa Kena ISA

(Gambar: Kenyataan Abdul Rahman dalam Malaysiakini). Abdul Rahman Nasir (Pengerusi Masjid Bandar Kinrara) yang menerima petisyen membantah penggunaan pembesar suara untuk beberapa kegiatan agama daripada 189 penduduk, bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan ISA ke atas Teresa Kok (Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Seputeh). Abdul Rahman Nasir berkata, secara umumnya, perkara sensitif membabitkan agama "tidak boleh dimainkan. Perkara ini tidak boleh dimainkan. Terutama sekali di negeri Selangor ini, bukan saja (berkenaan) agama Islam, tetapi apa agama pun (tidak boleh dimainkan)."
Penahanan Teresa Kok (gambar) dipercayai mempunyai kaitan dengan petisyen sekumpulan 189 penduduk sekitar Seksyen 5, Bandar Kinrara yang meminta pihak masjid tersebut memperlahankan penggunaan pembesar suara untuk aktiviti keagamaannya. Perkara itu bagaimanapun dinafikan ahli parlimen Seputeh itu. Masyarakat Islam setempat pula, menurut Abdul Rahman tidak memberikan sebarang reaksi terhadap penahanan itu dan bertindak seperti biasa."Kita tidak ada apa. Sudah lama dah masjid ini dibina. Itulah, persoalannya, kenapa sekarang? Kalau tidak puas hati, pindahlah. Dari dulu lagi waktu hendak beli rumah, pelannya sudah ada, sini masjid, sini taman permainan. Kenapa dulu beli di sini?" katanya.
Pada tahun 2001, Presiden George W. Bush mengatakan bahawa "Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah undang-undang jahat. Tidak wajar ada lagi negara yang punyai undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan." Namun selepas 11 September 2001, Bush menggubal Akta Patriot "Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism Act of 2001" pada 26 Oktober 2001.

Selepas Akta Patriot digubal, Bush memuji pula ISA di Malaysia. Pada 2004 Bush berkata "Kami tidak seharusnya sewenang-wenangnya mengklasifikasi Akta Keselamatan Dalam Negeri Malaysia sebagai undang-undang kejam."

Oleh itu, tindakan Amerika Syarikat memanggil Duta Malaysia untuk memberi penjelasan tentang ISA di Washington adalah tidak wajar. Sepatutnya sebagai pendukung demokrasi dan hak asasi, Amerika Syarikat yang perlu terlebih dahulu memberi penjelasan berhubung tahanan Guantanamao kepada dunia, sebelum boleh mempertikai undang-undang di negara orang lain. Layanan di sana yang tidak mengikut terma hak asasi manusia sebenarnya.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Sunday, September 14, 2008

Misi Ke Taiwan Gagal

(Gambar: Jauh renungan Syed Hussein Ali. Dia sendiri tidak yakin dengan misi 16 September yang dicanangkan oleh Anwar Ibrahim. Malah nama Syed Hussein langsung tiada dalam perancangan kabinet baru Anwar. Apakah peranan PRM tidak diiktiraf oleh Anwar? Mana logo PRM dalam bendera baru PKR?). Dalam satu sidang media pada 9 September, Dr Syed Hussein Ali (Timbalan Presiden PKR) menyatakan bahawa “Ia tidak akan berlaku pada 16 September. Harinya mungkin 17 campur satu atau dua atau tiga tapi tidak lewat dari itu,” berhubung dengan 16 September.
Mustapa Ali (Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS) dan Mohd Sabu (Naib Presiden PAS) sendiri ragu-ragu tentang 16 September. Malah orang orang PAS lebih suka jika Haji Hadi Awang sendiri yang jadi Perdana Menteri. PAS ragu apakah Pakatan Rakyat bersama DAP akan menerima konsep negara Islam yang dibawakan oleh PAS. Pada 8 September, selepas mesyuarat panjang lebar Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin PKR, lima orang utusan PKR dihantar ke Taiwan untuk memujuk ahli parlimen BN keluar parti. Usaha ini dilakukan semata-mata untuk menjaga maruah Anwar yang begitu obses sekali dengan kejayaan 16 September. Janji sudah ditabur, malulah Anwar kalau tidak dapat menjadi PM.

Pada 13 September 2008, PKR telah menghantar lima orang pegawai parti ke Taiwan untuk memenuhi hajat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada 16 September. Gambar, dari kiri, Low Chee Chong (AMT PKR), Elizebeth Wong (Ketua Penerangan Wanita PKR), Fuziah Salleh (AMT PKR), Tian Chua (Ketua Penerangan PKR) dan Saifuddin Nasuiton (Ahli Parlimen PAS, Pengarah Strategik PKR). Mereka gagal kembali pada 14 September 2008, katanya akibat taufan yang melanda Taiwan. Pergi makan angin atau pergi memujuk?

Fuziah Salleh (gambar) menyifatkan kunjungan mereka untuk ‘memburu’ Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya melompat parti sebagai sangat berjaya namun tetap enggan mendedahkan jumlah dan identiti mereka yang sudah bersetuju menyertai PKR. “Kerja sudah siap. Tunggulah sehari dua lagi... kemungkinan akan diumumkan oleh Datuk Seri Anwar (Ibrahim),” katanya. Kenyataan ini untuk menyedapkan hati yang gelisah dengan ISA dan kemungkinan tidak jadinya 16 September? Menurut Datuk Mohamad Aziz (Ahli Parlimen Seri Gading), ketika berada di Taiwan, mereka tidak terserempak pun dengan kelima-lima utusan terbabit. Oleh itu, pemergian kelima-lima utusan ini hanya satu gimik sahaja untuk yakinkan rakyat dan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim.

(Gambar: Khalid terpaksa membuat satu perhimpunan khas untuk kekalkan motivasi penyokong Anwar. Sebagaimana perhimpunan PROTES pada 6 Julai untuk pulihkan sokongan setelah aduan kes Saiful Bukhari). Misi ke Taiwan ini sudah dikira gagal bila Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) menganjurkan sambutan Hari Malaysia pada jam 7 malam, 15 September 2008 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Sepatutnya Khalid Ibrahim buat sambutan untuk raikan Perdana Menteri yang baru. Oleh kerana gagalnya misi memujuk ahli ahlli parlimen BN melompat, maka PKR terpaksa merangka satu perhimpunan untuk memotivasikan kembali ahli-ahli PKR yang kecewa dengan Wawasan 16 September ciptaan Anwar Ibrahim.

(Gambar: Begitu runsing dan kusut wajah-wajah pemimpin PKR memikirkan tentang 16 September). Sebenarnya 16 September atau dikenali sebagai “916” hanyalah dicipta untuk memotivasikan rakyat agar terus sokong Pakatan Rakyat. Melalui 16 September, Anwar boleh terus menabur janji-janji manis seperti pemberian kerusi TPM kepada semua bangsa dan menurunkan harga minyak. 916 hanyalah pentas untuk taburkan janji, kekalkan harapan dan momentum sokongan pada Pakatan Rakyat.
Sedar atau tidak, Pakatan Rakyat bukan lagi pembangkang di lima buah negeri. Mengapa sikap mereka masih lagi bermentaliti membangkang? Kenapa tidak laksanakan program dan perancangan pembangunan yang konstruktif di lima buah negeri tersebut? Khalid Ibrahim menganggap melawat mangsa ribut sebagai membazir, tetapi menganjurkan program himpunkan rakyat di Stadium Kelana Jaya tidak membazir? Mungkin ahli-ahli PKR akan mendapat duit raya nanti.

Pukul 7 malam sudah berkumpul di bulan Ramadhan ini. Apakah ada program berbuka puasa dan terawikh sama di Stadium Kelana Jaya? Harapnya jangan ada konsert tunjuk “P” lagi seperti dalam perhimpunan PROTES. Sebenarnya program Hari Malaysia adalah usaha untuk kekalkan momentum sokongan pada Pakatan Rakyat. Masih ada lagi Sanglang, Kulim Bandar Bharu dan Pensiangan sebagai pentas simpanan Pakatan Rakyat mencipta janji dan harapan kepada rakyat. Inilah projek mega Pakatan Rakyat, iaitu ceramah, perhimpunan dan menabur janji.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)