Tuesday, January 15, 2008

Kebanjiran Wakil NGO


Sejarah membuktikan aktivis pelajar selalunya menjadi pendukung suara rakyat bila keluar dari kampus. Dahulunya mereka adalah seorang aktivis pelajar tetapi kini adalah pemimpin dalam masyarakat. Tanggungjawab sosial ini berterusan. Ianya tidak mati dalam pagar universiti sahaja. Kondisi politik kampus seolah akademi bagi proses kepimpinan yang seterusnya. Pemimpin pelajar dan aktivis pelajar bersilih ganti menjadi pendukung suara rakyat sejak dekad 60-an hinggalah ke era tahun 2000 ini.

Majoriti kabinet Malaysia sekarang adalah lepasan dari Universiti Malaya. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas pemimpin pelajar. Beliau pernah menjadi Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sesi 1962-1964 ketika dalam pengajian Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya. Dato’ Seri Rafidah Aziz (Menteri Perdagangan dan Industri), Dato’ Seri Ong Ka Ting (Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan), Datuk Azalina Othman Said (Menteri Belia dan Sukan), Dato Seri Shahrizat Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato’ Seri Chan Kong Choy (Menteri Pengangkutan), Dato’ Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi), Dato’ Seri Haji Azmi Khalid (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), kesemuanya adalah lulusan dari Universiti Malaya.

Begitu juga dengan parti pembangkang, kampus adalah pondok pengkaderan bagi menggantikan pucuk pimpinan yang semakin berusia. Era 60-an, aliran sosialisme begitu dominan di universiti. Kelompongan moral yang condong ke arah liberal dalam sosialisme mulai diganti dengan islamisme pada era 70an. Mahasiswa mulai melihat karakter yang demonstran dan alim sebagai pilihan. Mereka yang vokal dan berani memperjuangkan isu "perut" rakyat akan dianggap sebagai hero. Mereka yang tidak mahu bersifat agresif, provokatif dan tidak mahu menentang arus telah dikelompokan sebagai golongan nasionalis. Dekad 60an dan 70an, Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan), dahulunya adalah Presiden Persatuan Bahasa Melayu (PBUM), Ibrahim Ali (Presiden KSITM), Hishamudin Rais (Kolumnis Suara Keadilan) adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Ideologi pelajar telah diwarnai dengan cat merah berjenama sosialis dan demontrasi. Aktivis pelajar tahun 80-an seperti Husam Musa (Naib Presiden PAS) dahulunya adalah Exco PMIUM sesi 1981/82, Takiyudin Hassan (ADUN Bunut Payung, PAS) dahulunya adalah Presiden PMUM sesi 83/84, Mustafa Kamil Ayub (Setiausaha Agung PKR) dahulunya adalah bekas Presiden MPPUKM 84/85 dan Saifuddin Nasution Ismail (Bekas Timbalan Ketua Pemuda Keadilan) dahulunya adalah Presiden PMUPM 85/86 serta Tian Chua (Ketua Penerangan PKR) dahulu adalah bekas mengetuai National Overseas Student Collective (NOSCA) pada tahun 1985 ketika di Sydney Australia. Kesemuanya sekarang ini bersama dengan parti pembangkang PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat).

Sudah menjadi tradisi dalam PAS dan Keadilan untuk memilih bekas-bekas aktivis pelajar bagi memegang jawatan penting dalam parti. Zaharuddin Abdul Rahman yang dulunya adalah Presiden PMIUM sesi 1999/2000 kini telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Khairol Anwar Mat Zuki iaitu bekas Presiden PMIUM sesi 04/05 kini adalah Exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan serta Abdullah Abdul Karim bekas Presiden MPP UKM 2001/2002 telah diberikan tanggungjawab sebagai AJK Dewan Pemuda PAS Pahang. Penyerapan mereka ke dalam organisasi parti PAS adalah secara terancang berlaku setelah PAS menguasai kampus selepas pilihanraya umum 1999. Ada juga aktivis pro PAS yang bertukar kapal kepada pro kerajaan, Asyraf Wajidi Dasuki (Presiden PKPIM 99/2000) sekarang ini sudah menjadi orang kuat Barisan Nasional di Parlimen Tumpat, Kelantan.

Malah PAS berani mempertaruhkan calon-calon muda yang pernah menjadi aktivis pelajar untuk menjadi calon PAS dalam pilihanraya umum 2004 yang lepas. Mohd Nazri Din (Naib Presiden PMIUPM 1999/2000) telah menjadi calon PAS di DUN Kubu Gajah, Perak. Seorang lagi ialah Mohd Fadli Mohd Ramly (Presiden MPP UIAM sesi 2002/3) telah bertanding atas tiket PAS di DUN Tioman, Pahang. Kedua-duanya tewas. Sementara itu, Keadilan telah melakukan proses rejuvenate organisasi partinya. Perlantikan Shamsul Iskandar Mat Akin sebagai Ketua Pemuda Keadilan seakan-akan membayangkan Keadilan bakal mempertaruhkan calon-calon baru dalam pilihanraya akan datang. Shamsul Iskandar Mat Akin dahulunya adalah bekas Presiden MPPUIA sesi 96/97. Sentimen UIA warisan Ezam Mohd Noor (bekas pelajar UIA) nampaknya begitu mendominasi Pemuda Keadilan.

Lim Kit Siang yang menjadi Ketua Pembangkang sekarang adalah lulusan University of London dalam bidang undang-undang. Lim Kit Siang pernah menjadi ahli parlimen di Kota Melaka (Melaka), Tanjong dan Padang Kota (Penang) dan kini di Ipoh Timur (Perak). Selama 40 tahun dalam politik, sejak menjadi National Organising Secretary DAP pada 1966, Lim Kit Siang sudah berkelana ke tiga negeri untuk menjadi ahli parlimen. Sama seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor, DAP) juga berkelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Singapura pada tahun 1966. Parti DAP nampaknya lebih berminat dengan calon yang berkelulusan undang-undang. Pemimpin pelajar dan aktivis pelajar adalah pertimbangan kedua selepas kelulusan bagi DAP. Buktinya, Violet Yong Wui Wui, calon DAP yang menang di DUN Pending, Sarawak juga adalah bekas seorang peguam.

Pilihanraya kampus 2007/08 telah diadakan terlebih dahulu sebelum pilihanraya umum yang ke-12. Mood di kalangan pelajar masih cintakan pada perjuangan aspirasi. 19 buah universiti awam menjadi milik Aspirasi. Hanya UIA sahaja yang jatuh ke tangan pro pembangkang. Kemenangan besar Aspirasi 19-1 dalam pilihan raya kampus 2007/08 membuktikan bahawa golongan muda & intelektual di universiti menolak sepenuhnya fahaman politik secara agresif, provokatif dan ganas yang cuba dibawakan oleh kumpulan pro mahasiswa (bertukar nama setelah memakai jenama pro pembangkang mulai pudar dan tidak laku) dalam universiti.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia, pihak pro aspirasi begitu terperanjat sekali dengan penemuan senjata parang kecil yang diedarkan bersama surat seruan untuk berdemonstrasi yang ditulis oleh Abdullah Abdul Karim (Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar PAS). Di Universiti Malaya, ada golongan pelajar pro pembangkang yang membakar "banner" Aspirasi secara terbuka di hadapan pintu pagar kolej ke-9. Kejadian-kejadian ini membuktikan mereka benar-benar kemaruk untuk menang dalam pilhan raya kampus dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapat matlamat mereka.

Mengapa mereka yang berjawatan dalam persatuan yang bersifat agama membuat tindakan yang subversif sebegini? Syeikh Umar Bagharib (Exco Kenegeraaan & Patriotisme Persatuan Mahasiswa Islam UM 2006/07, Jurucakap SMM), Zulkhairi Mat Nor (Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM 2006/07 merangkap Presiden GAMIS) dan beberapa orang lagi exco kanan PMIUM turut berada sama dalam kejadian membakar banner calon di Kolej Kediaman ke-9, UM pada 29 September 2007. Apakah modul membakar banner calon ini adalah sebahagian daripada perkara yang diajarkan dalam usrah? Lebih dahsyat dari itu, mereka ini turut mencemuh seorang pengetua kolej dengan semburan cat bertulis "W*** BACUL" di atas jalan menuju ke pintu pagar utama kolej. Wajarkah seorang pejuang islamik dan intelektual berkelakuan sebegini ?.

Mereka sanggup dan tergamak berbuat begitu kerana PAS & PKR sudah menjanjikan pemimpin dan aktivis pelajar di kampus ini sebagai bakal pewaris kepimpinan parti bila keluar dari universiti nanti. Mereka bakal menjadi ayam sabung untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-12. Pada 8 Januari 2008, pakatan mahasiswa pembangkang ini menubuhkan pula Parti Mahasiswa Negara (PMN) dengan desakan untuk meletakan calon-calon muda dalam pilhan raya umum ke-12. Mereka mengadakan demonstrasi di depan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Kalau diperhatikan betul-betul organisasi PMN ini majoriti orangnya adalah sama dengan mereka yang menganggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Syeikh Umar Bagharib yang menjadi Jurucakap SMM juga menjadi jurucakap kepada PMN. Sekali lagi mereka bertukar kulit dan nama tetapi orangnya masih sama.

Selain kelulusan akademik dan jawatan dalam parti, satu lagi sisi yang pasti menjadi bahan resume bakal-bakal calon nanti iaitu keterlibatan dalam aktiviti sosial dan non goverment organisation (NGO). Kewujudan banyak organisasi NGO memberikan suatu fenomena baru selepas pilihan raya umum 2004. Di universiti, pelbagai nama digunakan untuk menghalalkan kenyataan dan gesaan kepada pihak yang dikecam. Selalunya sasaran itu ialah universiti dan kerajaan. Agak janggal bila pihak yang mendakwa bebas mengecam pihak kerajaan dan universiti semata-mata. Mereka lupa tentang status bebas?. Seolah-olah apa yang dilakukan oleh ahli parlimen pembangkang semuanya betul belaka. Sedangkan mereka ini juga menerima elaun bulanan dan berstatus wakil rakyat tetapi asyik berceramah sahaja hinggakan terlupa kemiskinan rakyat yang diwakili.

Jika ada sebarang penggabungan parti ianya berlaku secara nampak tetapi jika ada sebarang penggabungan antara NGO, adakah ianya dapat dikesan? Beberapa NGO telah digunakan sebagai platform alternatif selain nama parti oleh pembangkang. Syed Shahir Mohamud adalah Presiden Malaysian Trade Union Congress, MTUC. Ezam Mohd Noor menjadi Presiden Movement for Democracy And Anti Corruption, GERAK. Manakala Dr. Irene Fernandez sebagai Presiden Tenaganita. Jamaah Islah Malaysia, JIM pula diletakkan di bawah Haji Zaid Kamaruddin sebagai Presiden. Syed Ibrahim Syed Noh pula menguasai GMI sebagai Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA dan S.Arutchelavan sebagai Setiausaha Agung Pro Tem Parti Sosialis Malaysia. Azmi Abdul Hamid sebagai Presiden Teras.

Penghujung tahun 2007, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) dan Hindu Right Action Force (HINDRAF) turut ikut serta membangkit sentimen kemarahan rakyat kepada kerajaan. Orang yang menggerakan BERSIH dan HINDRAF adalah sama. Perhatikan betul betul mereka juga adalah orang-orang kanan pemimpin pembangkang. Anwar Ibrahim (Pemimpin De Facto PKR) sendiri mengetuai penyerahan memorandum BERSIH kepada Istana Negara pada 10 November 2007. Pada malam 9 November 2007, Anwar Ibrahim bersama dengan Haji Hadi Awang (Presiden PAS) hadir sama menyemarakan semangat demonstran di Taman Melewar Gombak untuk Perhimpunan BERSIH. Semuanya ini dirancang oleh pemimpin pembangkang untuk mencetuskan keraguan rakyat kepada kerajaan dengan menggunakan jenama NGO.

Kebarangkalian berlakunya kebanjiran wakil NGO sebagai calon dalam pilihanraya umum ke-12 adalah besar. Ini kerana dalam pilihanraya umum ke-11, Syed Shahir Syed Mohamud pernah bertanding atas tiket Keadilan di parlimen Kelana Jaya. Dalam siri-siri demonstrasi harga minyak di depan KLCC pada 3 Mac dan 28 Mei 2006, beberapa NGO turut memainkan peranan yang aktif. Pada 7 Januari 2007, kumpulan NGO ini turut terlibat membuat demonstrasi bantahan kenaikan harga tol. Simpati rakyat adalah diharapkan bagi mempotretkan semua usaha ini sebagai suatu pembelaan masalah sejagat rakyat. Inilah objektif awalan yang dikehendaki. Awal tahun 2008 ini, BERSIH mahu menganjurkan Perhimpunan Ke-2 pada 23 Februari dan PROTES juga mahu menganjurkan perhimpunan rakyat pada 26 Januari 2008. Semuanya dirancang oleh pemimpin pembangkang, tetapi menggunakan brand NGO.

Susulan dari itu, tujuan akhirnya adalah untuk menaikkan imej pembela rakyat ini sebagai bakal calon dalam pilihanraya umum nanti. Profil bakal-bakal calon pembangkang dalam PRU12 semakin tebal seiring dengan bilangan demonstrasi yang dilakukan. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menjadi penghalang kepada pertambahan bilangan demonstran. Inilah yang dibenci dan cuba dihapuskan oleh pembangkang. AUKU dilihat sebagai halangan bagi mereka memanipulasikan pelajar. Mereka mahu mengumpulkan bilangan yang lebih ramai. Maka, alasan hak asasi dan tidak demokrasi terpaksa dilontarkan sebagai bahan desakan untuk menuntut akta ini dihapuskan. Jikalau boleh, mereka mahu membawa seluruh 750,000 ribu orang mahasiswa ini di atas jalanraya untuk berdemonstrasi dan menghalang mereka dari menghadiri dewan kuliah.

Muhammad Suhail bin Ahmad (Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM), Hanif Baderun (bekas Presiden GAMIS 05/06), Ahmad Tarmizi Mat Din (Presiden GAMIS),Mohd Nazri Yunos (bekas MPPUM, aktivis PMIUM) adalah antara short list nama yang berkemungkinan ada untuk diketengahkan oleh PAS dan Keadilan sebagai calon mereka dalam pilihanraya umum ke-12 nanti. Mungkin juga mereka ini akan bertanding atas tiket PMN tetapi PMN belum pun lagi didaftarkan secara sah sebagai sebuah parti politik. Jumlah nama ini semakin kecil disebabkan kekalahan besar mahasiswa pro pembangkang dalam pilihanraya kampus pada tahun 2004, 2005, 2006 dan 2007. Kekurangan ini perlu ditampung dengan senarai nama dari wakil lain seperti NGO.

"Pada tahun lepas (2005), kawasan utara dilanda bah. Tahun ini (2006) kawasan selatan dilanda banjir. Mungkinkah pada tahun pilihan raya nanti, kawasan tengah akan dibanjiri pula dengan calon-calon NGO?" (pertanyaan ini ditulis oleh saya dalam artikel Akhbar Mahasiswa pada November 2006). Ya, ianya sudah pun berlaku pada tahun 2007 dan bakal berlaku bila pembubaran parlimen diumumkan nanti.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)