Wednesday, April 16, 2008

Memahami Hati Muda


Setiap kata yang ditulis dalam blog adalah lahir dari lubuk hati. Perasaan atau ekspresi yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang tidak diluahkan melalui cara lain tetapi dizahirkan dalam blog. Orang muda makin matang dan makin cerdik. Inilah yang berlaku dalam PRU12. Jika gagal memahami hati orang muda, maka mereka akan lari ke tempat lain. Atau mungkin mereka akan diam menyendiri dari masalah. Mereka malas untuk berbalah, tetapi perasaan dalam hati seumpama api dalam sekam.

Generasi muda perlu didampingi, bukan dipersalahkan. Pendekatan yang "mahabbah" dan hikmah perlu digunakan. Gaya kepimpinan yang ikhlas yang dituntut, bukan gaya yang penuh dengan kepura puraan. Bukan semua anak muda yang nampak teruk dari segi fizikalnya teruk juga dari segi pemikirannya. Bukan semua anak muda yang nampak "smart" dari segi luaran tetapi bagus pemikirannya. Kaedah ini bukan lagi kayu ukur terbaik untuk menilai seorang anak muda. Zaman berubah, maka anak muda harus dididik mengikut arus zaman.

Seumpama anak dan ayah. Jika anak tidak bersetuju dengan pilihan ayah, maka anak akan protes dan lari dari ayah. Biarpun anak bersetuju dengan pilihan ayah, tetapi tidak ramai yang bahagia dengan pasangan yang bukan pilihannya sendiri. Inilah jadinya bila hati tidak difahami, bila hati dipaksa menerima yang dia tidak mahu. Begitulah juga antara pemimpin dan rakyat.

Anak muda yang kritis, bervisi dan penuh kontroversi juga bukannya boleh dianggap sebagai pihak yang berpandangan salah semata-mata. Begitu juga dengan anak muda yang berfikiran lurus, bendul dan "skima" tidak semestinya seorang yang baik dari segi kepimpinan dan pelaksanaan kerja. Bila kreativiti dihalang, maka idea yang baik tidak akan dapat dilaksanakan. Selagi tidak melanggar syari'e dan tidak melampaui batas idea yang baik perlu dipedulikan untuk kepentingan bersama.

Baik siapa pun dia, seorang anak muda punyai kekuatan dan kelemahan diri yang tersendiri. Tiada siapa pun yang dilahirkan sempurna dan terlalu "perfect" berbanding orang lain. Tidak semua anak kecil pandai berlari sebelum boleh berjalan perlahan lahan terlebih dahulu. Tidak semua mereka boleh berjalan dengan baik sebelum boleh merangkak terlebih dahulu. Setiap orang akan berkembang menjadi bertambah baik atau bertambah teruk dari sehari ke hari yang lain. Pembangunan diri yang baik ini perlu diteruskan. Anak muda perlu didampingi bukan dimarahi. Inilah jawapan bagi pencari jawapan.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

3 comments:

Mohd Shamsuddin Damin said...

Assallammualaikum,

Pandangan yang baik. Usaha mesti dilakukan untuk menjaga generasi muda, melatih pemimpin muda, mengukuhkan kewibawaan mereka dan memastikan mereka menghayati teras perjuangan UMNO.

Sebagai tradisi, UMNO memang semestinya mengenengahkan pemimpim-pemimpin muda selangkah demi selangkah supaya mereka dapat berkhidmat dan berbakti. Pemimpin muda hari ini akan menjadi lebih matang untuk menggalas tanggungjawab lebih besar di masa hadapan.

Islam itu agama majoriti ahli UMNO. Roh Islam itu nafas UMNO. Kita jaga Islam, kita jaga Melayu dan kita jaga negara. Kita jaga semua ahli UMNO diseluruh negara. Kita jaga rakyat, InsyaAllah kita mendapat hidayah dan pertolongan dari Allah untuk keluar dari kemelut hari ini dan terus membina jaya.

Pandangan Mohd Shamsuddin Damin
www.teras-umno.com

Abu Sofeyyah DM said...

Ketulusan menjana ketelusan dalam mengelak ketirisan dari mencemarkan kehebatan sebuah perjuangan dalam mendaulatkan Melayu Islam di mana sahaja.

Selamat berblog dan mengisi kekosongan ruang yang dicipta oleh manusia intelek zaman sekarang !

azrinizam said...

perjuangan akan diteruskan. tq