
Apa perasaan kita jika berada dalam situasi negara yang ketenteraman awamnya terganggu?. Kekacauan yang berlaku di Agra pada 29 Ogos 2007, apa yang sedang berlaku di Pakistan setelah kembalinya Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif dan apa yang tercetus di Yangon tentunya mengacau jiwa yang mahukan suasana yang aman.
Bukannya senang mencari kestabilan, ianya menuntut kesepakatan dan tindakan yang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Di Malaysia nikmat ini kita kecapi setelah 446 kita ditindas oleh penjajah. Biarpun baru 50 tahun merdeka, tetapi kita sudah melangkah jauh ke hadapan, hinggalah ke angkasa raya. Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambathan telah mencorak Malaysia yang aman dan damai pada hari ini. Semua ini adalah berkat kesepakatan sosial yang dihormati secara bersama oleh semua kaum. Jika ada indeks ketenteraman awam dibuat di peringkat internasional, amat pasti Malaysia akan tersenarai dalam senarai yang teratas daripada sudut kesepakatan hidup sesama bangsa.
Menurut satu kaji selidik yang dilakukan oleh TNS dan Gallup International dari Zurich, 69 peratus rakyat Malaysia berpandangan positif terhadap kerajaan Malaysia. Berbeza dengan situasi di Bosnia Herzegovina (negara yang benar-benar berlakunya pembersihan etnik), 90% rakyatnya tidak menyakini kerajaan sendiri. Di Cameroon dan Ukraine 83% rakyatnya tidak yakin dengan kerajaan mereka. Di sebuah negara yang menjadi rujukan demokrasi terbaik menurut pandangan Anwar Ibrahim (Pemimpin De Facto PKR) iaitu Amerika Syarikat, hampir 75% rakyatnya tidak yakin dengan kerajaan Amerika Syarikat. Apakah justifikasi sebenar demokrasi bagi pemimpin-pemimpin pembangkang sebenarnya? Nampaknya mereka tidak berhujah dengan fakta dan indikasi yang benar tetapi lebih melemparkan sentimen kepada rakyat agar membenci kerajaan tanpa rasional yang konstruktif.
Menurut kajian itu lagi, Malaysia mencatatkan keyakinan rakyat sebanyak 74% bagi soalan apakah proses pilihan raya di negara ini bebas dan adil. Peratusan ini tinggi berbanding Singapura sebanyak 68% (negara model Lim Kit Siang), Indonesia 58%, India dan Korea Selatan 55%, Hong Kong 51%, Jepun 50%, Filifina 22% dan Pakistan hanya 16%. Ini menunjukkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) sengaja mencetuskan polemik sahaja berhubung dengan perjalanan sistem pilihan raya di Malaysia. Mereka sebenarnya mahu memenuhi kehendak peribadi semata-mata, disebabkan kalah teruk pada pilihan raya 2004, maka tuduhan demi tuduhan dilemparkan untuk memburukan sistem yang sedia ada. Dengan harapan sistem itu boleh digantikan mengikut kehendak hati mereka sahaja. Barulah adil bagi mereka.
69% peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa negara diperintah mengikut kehendak rakyat. Berbanding rakyat di Hong Kong 57%, India 55%, Singapura 47%, Filifina 42%, Indonesia 37%, Jepun 29%, Thailand 26%, Korea Selatan 19% dan Pakistan 19%. Jelasnya keputusan indeks kajian di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia.
Kaji selidik ini melibatkan 60,000 orang yang diwawancara di 56 negara dengan pandangan dan tanggapan mereka ini mewakili lebih daripada 1.4 biliion penduduk dunia. Kajian ini diadakan secara bersemuka dikalangan 1,250 orang penduduk Malaysia antara 2 Julai dan 5 Ogos 2007.
Paling ketara sekali, pembangkang sudah kehilangan cara untuk menarik kembali minat rakyat kepada mereka, maka jalan paling senang untuk meraih populariti dan glamour adalah melalui demonstrasi. Bukankah pembangkang sendiri sudah ada platform dalam parlimen? Mengapa tidak gunakan platform yang sah itu? Bukankah mereka juga dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi untuk berada di situ? Atau parlimen juga sudah lagi tidak diiktiraf sebagai tempat yang sah untuk amalan demokrasi? Jalan raya lebih sesuai?
Paling menghairankan di negara yang aman dan demokrasi ini, ada juga pihak yang belajar tentang undang-undang tetapi tidak memahami dan mengamalkan undang-undang sebagaimana yang sepatutnya. Majlis Peguam Malaysia kebelakangan ini lebih mirip sikapnya kepada sebuah badan politik. Majlis Peguam juga mahu menganjurkan demonstrasi. Pelik, wajarkah Hari Hak Asasi Manusia pada 9 Disember disambut dengan perarakan? Lebih banyak lagi cara sambutan yang boleh diadakan tetapi mengapa demonstrasi yang dipilih sebagai caranya?
Apakah Majlis Peguam tidak mengetahui bahawa undang-undang digubal bersama oleh Wakil Rakyat? Kalau begitu, mengapa Majlis Peguam mahu mengumpulkan seluruh rakyat Malaysia pada 9 Disember di atas jalan raya semata-mata untuk berbicara soal undang-undang dan hak asasi? Jalan raya ditukar menjadi mahkamah manusia. Amat malang sekali, sebagai pengamal undang-undang, Majlis Peguam sendiri tidak mengiktiraf undang-undang yang sedia ada apabila enggan memohon permit untuk mengadakan demonstrasi pada 9 Disember 2007.
Tidak menggemparkan semua jika Annual General Meeting (AGM) Majlis Peguam yang lepas hanya dihadiri oleh segenlintir sahaja ahli Majlis Peguam. Apakah demokrasi juga diamalkan dengan baik dalam Majlis Peguam sendiri, kalau mereka yang dipilih dalam Majlis Peguam sendiri tidak disukai oleh majoriti peguam yang lain? Sepatutnya Majlis Peguam membetulkan terlebih dahulu tongkangnya yang bocor sebelum menyibuk dengan kapal orang lain.
Bukan Bar Council sahaja, ada juga pihak lain yang mahu memperjuangkan hak asasi yang lebih baik di Malaysia tidak pun mengangkat tahap hak asasi itu ke tempat yang baik. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM) dan Hindu Right Action Force (HINDRAF), semuanya lebih "berlakon" seperti orang politik. Langsung tidak menghormati hak asasi "silent majority" rakyat yang lain. Bayangkan apa akan berlaku kalau semua peniaga-peniaga pula berdemonstrasi ke pejabat Hindraf, SUARAM dan HAKAM agar hak asasi mereka juga dihormati. Apa akan berlaku? Tentunya kelam kabut jadinya kalau semua orang memilih jalan raya sebagai tempat menyelesaikan masalah.
Apakah hak asasi di Malaysia ini lebih baik jika ketenteraman awam diganggu, kedai serbanika Caltex diceroboh, kemudahan orang ramai dirosakan, polis dicederakan dan arahan Mahkamah diingkari? Malah nama negara juga diburukkan di negara asing. Di manakah sebenarnya negara tempat tumpah darah yang melahirkan orang yang memburukkan nama negaranya sendiri itu?
Di manakah sekolah yang memberikan pendidikan yang sempurna kepada peguam-peguam yang memburukan negara sendiri ini? Mereka belajar sampai jadi peguam, tetapi langsung tidak bersyukur dengan nikmat yang sudah diperolehi. Semua ini dilakukan oleh orang yang mengakui memperjuangkan hak asasi dan demokrasi di Malaysia. Tidakkah mereka terfikir bahawa orang lain juga mempunyai hak asasi untuk hidup secara aman dan tenteram di Malaysia ini? Majoriti golongan ini adalah lebih ramai. Tetapi mereka masih diam kerana mensyukuri nikmat yang ada.
Hak majoriti rakyat yang lain juga perlu dihormati. Malaysia adalah sebuah negara yang amat unik dan majmuk. Kabinet Malaysia dianggotai oleh ahli parlimen yang berbilang kaum, begitu juga wakil rakyat yang dipilih dari kalangan pelbagai bangsa. Perkara sebegini pastinya tidak akan sama di tempat-tempat yang lain. Jika Malaysia mengamalkan demokrasi cara Singapura, sudah pasti pemimpin India tidak mendapat tempat seperti di Malaysia.
Di Malaysia, biarpun Sungai Siput, Cameron Highlands dan Teluk Kemang bukanlah kawasan majoriti kaum India, tetapi hak untuk menjadi ahli parlimen di situ diberikan kepada kaum India atas sifat perkongsian kuasa. Sungai Siput adalah kawasan marginal penduduk Cina iaitu sejumlah 41.35%. Pengundi India hanyalah sejumlah 22.5% sahaja. Pemimpin Cina dan Melayu berkorban memberikan hak menjadi pemimpin kepada orang India di tempat-tempat ini. Tiada rungutan, semuanya mengundi dan menyokong pemimpin yang telah dipersetujui secara bersama.
Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk A. Vaithilingam meminta Hindraf menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan tuntutan mereka kepada kerajaan atau sesiapa sahaja.
‘‘Mereka (Hindraf) sepatutnya mencontohi kami dengan menyampaikan segala permintaan melalui saluran yang betul, bukannya mengadakan demonstrasi,’’ katanya dalam Utusan Malaysia, 23 November 2007. Menerusi kenyataan ini kita mengetahui bahawa ruang diplomasi masih lagi ada dan belum tertutup sepenuhnya, jadi mengapa perlu demonstrasi? Kalau orang lain boleh menggunakan saluran yang sedia ada, mengapa sesetengah orang tidak mahu pula? Apa masalah mereka?
‘‘Mereka (Hindraf) sepatutnya mencontohi kami dengan menyampaikan segala permintaan melalui saluran yang betul, bukannya mengadakan demonstrasi,’’ katanya dalam Utusan Malaysia, 23 November 2007. Menerusi kenyataan ini kita mengetahui bahawa ruang diplomasi masih lagi ada dan belum tertutup sepenuhnya, jadi mengapa perlu demonstrasi? Kalau orang lain boleh menggunakan saluran yang sedia ada, mengapa sesetengah orang tidak mahu pula? Apa masalah mereka?
Jika marah kepada orang-orang British yang membawa masuk buruh ke Malaysia, mengapa polis pula yang menjadi sasaran? Jika mahu menyerahkan memorandum, mengapa pergi pada hari cuti (Ahad)? Orang yang mahu menyerahkan memorandum akan membawa bersamanya fail dan kertas tetapi mengapa pula batu bata yang dibawa bersama? Amat memalukan jika seorang peguam seperti Uthayakumar tidak tahu bagaimana untuk membezakan antara batu dan fail?
Mengapa memfitnah tuduhan bahawa pembersihan etnik berlaku di Malaysia? Apakah kerana kerjaya peguam sudah tidak lagi menguntungkan maka peguam-peguam sebegini mengadakan bisnes baru dengan menyaman kerajaan British dan berjanji setiap orang akan dapat sejuta ringgit? Tuduhan sebegini amat berat sekali. Karpal Singh (Pengerusi DAP) sendiri tidak bersetuju dengan pandangan Hindraf. "Pada pandangan saya, tidak berlaku pembersihan etnik untuk mana-mana kaum di negara ini" (Utusan Malaysia, mukasurat 1, Jumaat, 1 Disember). Sebagai seorang peguam, Karpal sendiri berdiri atas hujah yang benar.
Hairannya mengapa pula ada seorang Melayu pula sanggup memburukkan bangsanya sendiri dan tanahairnya sendiri di India dengan menyokong tuduhan tuduhan berat sebelah Hindraf. Apakah orang sebegini yang sering bercakap soal demokrasi, berhujah atas fakta yang benar?
Mahukah kita melihat semua perkara di negara kita ini diadili atas jalan raya sahaja? Mahukah kita melihat keadaan aman ini tergadai dengan tuduhan dan sentimen yang berlebihan? Mahukah kita masuk dalam perangkap pihak asing yang sentiasa sahaja menunggu keadaan tidak tenteram di negara kita ini untuk menjadi tuan semula? Tentunya kita tidak mahu, kerana kita mahukan keadaan aman dan tenteram ini untuk semua rakyat Malaysia.
AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)





